Monday 28 February 2011

Perlukah Ditegur?

Banyak di antara kita yang berniat baik ketika ingin menegur atau mengkritik rakan-rakan sekerja atau sama tempat belajar atas sebab-sebab tertentu. Namun, seringkali terjadi ia berakhir dengan perhubungan yang rosak, masam muka dan kebencian.
Si penegur percaya orang yang ditegur dapat membaiki dirinya. Biasanya mereka percaya kritikan yang diberi adalah membina yang bertujuan membawa kebaikan. Justeru, banyak orang yakin salah satu cara yang berkesan untuk membantu orang lain adalah dengan menegur kesilapan dan kelemahan mereka, dengan ini dapat membantu mereka menjadi seorang yang baik tingkah laku pada masa hadapan.

Ironinya
Namun, banyak juga pakar psikologi yang berpendapat bahawa tidak ada kritikan yang membina kerana aktiviti mengkritik adalah sejenis aktiviti memberi maklum balas negatif pada orang yang dikritik.
Kebanyakan orang tidak memiliki skill menerima kritikan dengan terbuka. Mereka akan menjadi defensif dan mempertahankan tindakan mereka. Kritikan tertolak.

Faktor
Salah satu faktor yang menyebabkan teguran ditolak adalah cara teguran dilemparkan. Kebiasaannya orang tidak tahu yang mana satu kritikan dan yang mana satu tuduhan.
Contohnya, ayat berikut, “Awak kenalah lebih berdisiplin.” Ini bukanlah teguran, tetapi tuduhan. Kebanyakan kritikan sebenarnya hanya meruntuhkan semangat dan maruah si penerima kritikan. Akhirnya, orang yang dikritik menjadi pasif dan tidak mahu melakukan apa-apa, takut terbuat silap kerana takut ditegur. Semangat sukarela dan daya kreativiti terbunuh.

Penyelesaian?
Apabila terpaksa mengkritik, jangan berlebih-lebihan. Jangan sampai berleter dan marah-marah. Gunakanlah bahasa positif. Gunakan bahasa persuasif. Elakkan bahasa negatif. Elakkan bahasa suruhan.

Contoh ayat negatif: “Awak silap”.
Sebaliknya, katakanlah, “Saya tak bersetuju dengan pandangan awak.”

Contoh ayat suruhan: “Fikir-fikirkanlah…”
“Fikir-fikirkanlah…” adalah sangka buruk terhadap seseorang, seolah-olah menuduhnya malas berfikir.

Jangan mengkritik terlalu am. Ucapkanlah ayat yang lebih spesifik dan lebih tepat. Jangan berkata, “Awak pemalas.” Perkataan pemalas tidak spesifik. Katakan padanya, “Tolong siapkan semua kerja sebelum hari Jumaat.”

Spesifikkan ayat.
Akhir sekali, jangan membuat andaian. “Kenapa awak tak fikir dulu sebelum buat macam ni?” dari mana kita tahu orang itu tidak berfikir habis-habisan? Banyak orang berniat baik apabila menegur, tetapi menyebabkan orang yang dikritik tidak seronok mendapat rakan atau ketua seperti mereka. Niat perlulah disertai dengan cara yang betul, barulah baik hasilnya.

 
Hasil Nukilan,


MOHD ASYRAF MD NOOR
Consultant,
Futuwwah Training & Consultancy

Pengarah Urusan Futuwwah di UniKL-MFI

[Bangi, 14 Feb. 2011] - Pengarah Urusan Futuwwah, Ir. Faridul Farhan Abd Wahab telah dijemput untuk menjadi salah seorang ahli panel untuk Forum "Bicara Cinta" anjuran UniKL-MFI. Beliau turut ditemani oleh pasangan suami isteri lepasan Perancis, saudara Amiruddin dan isterinya, yang turut dijemput untuk menjadi ahli panel forum yang sama.

Forum yang dianjurkan sempena Minggu Menghayatan Islam UniKL-MFI 2011 itu, telah berlangsung pada hari Isnin, 14 Febuari 2011, dan bermula sekitar jam 9.15 malam dan turut dihadiri oleh kira-kira 80 orang mahasiswa dan mahasiswi UniKL-MFI.

Kebetulan, forum itu dianjurkan ketika masyarakat kita sedang sibuk meraikan Hari Valentine pada siang dan malam harinya, serta Sambutan Maulidur Rasul bermula malam itu dan keesokan harinya.

Ir. Faridul sebagai ahli panel yang pertama, selain menjawab pengertian cinta yang sebenarnya, turut memberikan beberapa saranan, antaranya menyambut tarikh 14 Febuari setiap tahun secara reverse psycology iaitu menyambut Hari Valentine dengan cara dan orang yang "halal", iaitu dengan segera berkahwin pada tarikh tersebut. Beliau turut memperingatkan siswa-siswi yang hadir betapa pasangan "boyfriend" atau "girlfriend" mereka yang sering tidak cukup "kuat" untuk membantu kerja rumah ibubapa mereka setiap kali pulang ke kampung, apakah akan cukup "kuat" untuk menjaga diri pasangannya andai mereka ditimpa kecelekaan, lumpuh, wajah menjadi hodoh dan sebagainya? Kerana itu, beliau menyatakan bahawa kekuatan itu akan diperoleh daripada Allah, maka berkahwin dan bercintalah kerana Allah, agar Allah memberikan kekuatan kepada pasangan itu untuk tetap setia biar dalam keadaan susah dan duka.

Forum itu berakhir sekitar jam 11.30 malam.

Sunday 27 February 2011

Belangkasuwa: Necmettin Erbakan


"Innalillah wa inna ilahi raji'un.." Pihak Futuwwah bersama-sama rakyat dunia Islam lainnya, menangisi kehilangan tokoh gerakan Islam Turki -yang juga merupakan bekas PM Turki yang Islami, sebelum digulingkan oleh tentera- iaitu Necmettin Erbakan yang telah pulang ke haribaan Allah pada usia 85 tahun.

Kepergian Erbakan merupakan kehilangan seorang pemimpin  dunia Islam, seorang pemikir Islam, dan politisi yang memiliki komitment menegakkan cita-cita Islam, meskipun semuanya cita-cita itu dihentikan oleh tenteraTurki. Erbakan, saat menjadi perdana menteri Turki telah membuat 'cetak biru' tentang blok negara 'G 8',yang terdiri 8 negara Islam, yang terkemuka, di mana Erbakan telah menyiapkan sistem mata, sistem ekonomi, sestim pertahan, dan kerjasama perdagangan, serta sistem perbankan, tetapi terburu oleh rampasan kuasa tentera.

Kami berdoa moga Allah merahmati rohnya dan menempatkannya di tempat yang teristimewa, yang selayaknya dihuni oleh insan-insan soleh, muslih sepertinya.

Sabar Saat Pukulan Pertama

Siapa sahaja antara kita pasti pernah merasa marah akan sesuatu mahupun seseorang ataupun musibah yang menimpa, seringkali juga impak dari kemarahan yang tiba-tiba itu terkadang mendatangkan kesedihan jika bukan penyesalan.

Nasihat yang biasa didengari jika kita sedang marah adalah sabar. Namun tidak ramai yang mampu bersabar jika tengah merasa marah. Tidak hairanlah Nabi mengucapkan orang yang kuat itu adalah orang yang dapat menahan amarahnya.

Kekuatan tidak diukur dari segi fizikal manusia namun diukur dari segi mental dan emosi, itulah yang Nabi kita pesan, namun ramai juga yang gagal mengaplikasikannya. Kenanglah kembali saat-saat kita merasa marah, kemudian hitung bilakah saat kita mampu bersabar dan tenang setelah kemarahan kita memuncak tadi.

Seandainya kesabaran dan hilangnya kemarahan itu setelah kita menghamburkan kata-kata nista dan menyakitkan hati atau merosakan barang-barang atau yang lebih menyedihkan andai disudahi dengan pukulan ke atas individu lain demi melampiaskan kemarahan yang tiba. Ternyata kita gagal untuk bersabar saat kemarahan mahupun kesedihan itu tiba.

Mari kita mengambil iktibar akan kisah ini:
Dari Anas bin Malik r.a. dia mengatakan kepada perempuannya: "Tahukah engkau si Anu (seorang perempuan"?" Jawabnya: ''"Tahu!'' Kata Anas; "Sesungguhnya Nabi saw. bertemu dengan perempuan itu ketika dia sedang menangis dekat sebuah kubur. Lalu Nabi mengatakan kepadanya: "Bertakwalah kepada Allah dan sabarlah!" Perempuan itu menjawab: "Pergilah engkau, kerana engkau tidak merasakan cubaan saya ini!" Nabi meninggalkan perempuan itu dan meneruskan perjalanannya. Kemudian lalu dekat perempuan itu seorang laki-laki menanyakan: "Apakah yang diucapkan oleh Rasulullah kepada engkau?" Jawab perempuan: "Aku tidak mengetahui (bahawa beliau Rasulullah)." Kata laki-laki: "Sesungguhnya beliau itu Rasulullah saw." Maka datanglah perempuan tadi ke pintu rumah Nabi dan diperolehnya tidak ada pengawal. Perempuan itu berkata: "Ya Rasulullah! Saya tidak mengenal engkau!" Nabi bersabda: "Sesungguhnya kesabaran itu ketika pukulan pertama." (Hadis Sahih Bukhari Jilid 5. Hadis Nombor 1902)

Ternyata bahawa kesabaran yang sebenarnya adalah saat pertama kali kita diuji mahupun ditimpa musibah ataupun kemarahan mula memuncak akibat sesuatu perkara yang menimpa. Pasti tidak ramai yang mampu mengawalnya jika kesabaran yang sebenarnya adalah saat pukulan pertama itu tiba, namun pasti juga ia bukan sesuatu yang mustahil untuk kita teladani. Mohon ALLAH permudahkan kita mampu bersabar saat pukulan pertama menjengah kehidupan seharian kita. Ameen.


Hasil Nukilan,

MOHD HALIMI ABDUL AZIZ
Senior Consultant,
Futuwwah Training & Consultancy

Saturday 26 February 2011

Program Kepimpinan MRSM Kuala Klawang

Objektif:
1.   Menyedarkan pelajar tentang keluasan definisi pemimpin.
2.   Melahirkan pemimpin pelajar yang berkaliber dan dapat membimbing rakan-rakannya yang lain.
3.   Menumbuhkan semangat kerjasama dan setia-kawan di kalangan pemimpin pelajar dan pelajar-pelajar yang lain.
4.   Menjalinkan hubungan ukhwah dan bertukar-tukar pengalaman di antara pemimpin pelajar MRSM Kuala Klawang dengan para professional, serta mahasiswa IPT dalam dan luar negara.

Tarikh: 11hb sehingga 13hb Februari 2011.
Seramai 42 orang pelajar (lelaki dan perempuan) telah menyertai program kepimpinan pelajar dengan disertai oleh 8 orang fasi lelaki dan 5 orang fasi perempuan. Program bermula secara rasmi selepas solat Isyak Pusat Sumber MRSM Kuala Klawang setelah dirasmikan oleh Guru Hal Ehwal Pelajar.  Kemudian, dijalankan aktiviti suai kenal di antara fasi dan peserta.
Pada hari kedua, slot ceramah disampaikan oleh Pengarah Urusan Futuwwah, Ir. Faridul Farhan bertajuk “Siapakah Pemimpin” bermula pada jam 9.00 am dan berakhir sekitar jam 10.30am. Seterusnya aktiviti diteruskan dengan LDK 1 iaitu “Kerosakan Ummah; Jalan Penyelesaiannay”. Peserta didedahkan dengan masalah-masalah yang berlaku pada masa kini dan jalan penyelesaian yang sepatutnya diambil untuk menangani masalah-masalah tersebut. Aktiviti seterusnya bermula pada jam 2.00 pm, iaitu National Treasure , dimana bahan “Kategori Pelaksanaan Program” disampaikan dalam bentuk ala-ala explorace untuk mengelakkan peserta berasa mengantuk dan menggalakkan pemikiran kreatif dikalangan peserta. Pada sebelah malam pula, LDK 3 dan 4 berjalan bermula dari jam 9.00-10.30pm untuk LDK 3 dan 10.30-11.30pm untuk LDK 4. Dalam LDK 3, peserta diberikan pendedahan mengenai pengurusan sesebuah pasukan bermula daripada aturcara sehinggalah kepada akhir sesuatu urusan. Dari ini, diharapkan agar peserta boleh mula mengatur strategi untuk menguruskan oraganisasi secara terancang. Untuk LDK 4, para pelajar diberikan ruang dan kesempatan untuk merancang aktiviti tahunan Badan Dakwah dan Rohani (BADAR). Antara tujuan dan objektif utama perancangan aktiviti tahunan ini adalah agar peserta mula bergerak dan berfikir secara kreatif dan kritis untuk menarik minat para pelajar lain untuk ikut serta dalam aktivit BADAR, agar kesinambungan BADAR berterusan dengan pelapis-pelapis yang tidak putus-putus.
Pada hari terakhir, slot Ceramah 2 dimulakan pada jam 9.00-10.30am. Ceramah yang bertajuk "Kepentingan Tarbiyah Kepada Pemimpin" telah disampaikan oleh Pengurus Besar Futuwwah, Ustaz Abu Hanifah bin Mohd Kamal. Antara isi penting dalam ceramah tersebut adalah kepentingan tarbiyah walau di mana sekalipun kita berada dan seberapa tinggi sekalipun kedudukan kita. Untuk aktiviti yang terakhir, para peserta diminta untuk membentangkan perancangan-perancangan yang telah dibincangkan semalam dimana para fasilitator akan bertindak sebagai penilai untuk memberikan sedikit komen. Aktiviti yang bermula pada jam 10.30am tamat sejam kemudian. Setelah selesai pembentangan oleh para peserta, berlangsung pula upacara penutup yang disempurnakan oleh Ustaz Kamal, mewakili pihak pengetua.
Setelah 3 hari 2 malam program berlansung dan meneliti komen-komen yang diberikan oleh para peserta, dapat disimpulkan disini bahawa, kebanyakkan peserta mula dapat memahami isi kandungan yang disampaikan oleh para penceramah dah fasilitator. Berdasarkan pemerhatian yang dilakukan ketika pembentangan, para peserta amat kreatif dan kritis dalam usaha untuk menarik pelajar-pelajar lain untuk mengikuti program-program yang akan dianjurkan oleh BADAR. Namun, pemantaun secara berterusan amat perlu bagi memastikan kesinamnbungan tarbiah tetap berjalan walaupun setelah mereka meninggalkan bangku sekolah. Untuk itu, pertemuan secara mingguan akan dijalankan agar proses pemindahan ilmu dapat dilakukakan dengan saksama.

Disediakan Oleh,
MOHAMAD FITRI MUSTAFA      
Ketua Fasilitator,
Program Kepimpinan MRSM Kuala Klawang

Fitrah

Fitrah, itu saja alasan nya, maka benarlah Firman Allah SWT:

Surah ar-Rum
30. Maka hadapkanlah wajahmu dengan lurus kepada agama Allah; (tetaplah atas) fitrah Allah yang telah menciptakan manusia menurut fitrah itu. Tidak ada peubahan pada fitrah Allah. (Itulah) agama yang lurus; tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.

Tiada akan ada perubahan pada fitrah, manusia akan kembali kepada fitrah mereka, naluri asal tujuan penciptaan mereka, Islam, agama tauhid, mesej pengabdian hanya mutlak untuk Allah. Biarpun “modal” asal berjaulah (ziarah), ingin “membantu” wanita di sana keluar dari penindasan. Prinsipnya itu akhirnya terpelanting ke muka sendiri, bila mana fitrah itu kembali.

Itulah yang dihadapi oleh seorang wanita, Lauren Booth, wartawan, merangkap pemberita terkenal sebuah media di Amerika Syarikat. Pemergian beliau ke Gaza, mewarnai perjalanan baru kehidupannya, juga titik tolak kepada sejarah kehidupan baru yang bakal beliau hadapi. Merupakan adik ipar kepada bekas Perdana Menteri Britain, ketabahan, dan kesungguhan beliau sangat sukar digambarkan.

“Ia sesuatu yang mengejutkan bagi saya, di sebalik hijab dan burqa (http://en.wikipedia.org/wiki/Burqa), terdapat perkara-perkara yang saya tidak jangka, iaitu kemesraan, kelucuan dan sikap berdikari,” - Lauren Booth.

Bersama Ismail Haneyah

Bukankah telah terbukti, keterbukaan terhadap sesuatu perkara akan dapat membuka minda bahkan jiwa seseorang untuk menilai yang mana satu kebaikan dan mana satu keburukan. Jelas, Lauren melihat dari dimensi yang berbeza, Islam adalah fitrah manusia, bukankah begitu?


 

Hasil Nukilan,

SAIFUL MIZAN SAIDIN
Senior Consultant,
Futuwwah Training & Consultancy

Friday 25 February 2011

Program Kepimpinan Sek. Men. Teknik Tuanku Jaafar (STTJ)

KEPONG, 28 Jan- Program Kepimpinan Majlis Tertinggi Asrama Sekolah Menengah Teknik Tuanku Jaafar (STTJ), Negeri Sembilan telah berlangsung di Kem Perah, Kepong pada 28 Januari hingga 30 Januari 2011. Seramai 17 peserta lelaki dan 13 peserta perempuan telah menyertai program tersebut, barisan fasilitator pula seramai 3 orang lelaki dan 3 orang perempuan. Manakala Cikgu Nazry selaku kaunselor sekolah STTJ turut terlibat sepanjang program berjalan di sertai 2 orang guru pengiring perempuan.

Ketibaan para peserta, fasilitator dan guru pengiring disambut oleh wakil dari Kem Perah untuk menguruskan penginapan dan beberapa aktiviti yang telah dijalankan. Program bermula dengan perasmian ringkas serta sesi berkenalan dengan para fasilitator kepada para peserta program. Seterusnya aktiviti “Night Walk” dikendalikan oleh wakil Kem Perah dengan berjalan sekitar kawasan berhampiran.

Pada hari kedua program aktiviti “Jungle Trekking” dimulakan seawal 8 pagi dan dibantu oleh wakil Kem Perah, aktiviti ini disertai oleh semua peserta, fasilitator dan guru pengiring. Aktiviti berjalan hampir dua jam dengan melalui pemandangan sekitar kawasan berhampiran serta menelusuri kawasan hutan FRIM dengan pelbagai informasi baru tentang pokok-pokok serta kegunaannya yang disampaikan oleh wakil Kem Perah. Pengalaman ini memberikan suasana yang baru kepada para peserta di samping menambahkan pengetahuan berharga tentang alam flora yang terdapat di sini.

Di samping itu juga sesi ceramah telah dikendalikan oleh wakil Futuwwah Training and Consultancy iaitu En. Muhammad Nor Fazali Fazil dan En. Mohd Noor Mohd Tahir. Kepetahan dan kepelbagaian teknik dalam menyampaikan ceramah oleh kedua-dua wakil tersebut telah menarik minat yang mendalam kepada para peserta untuk memahami akan penyampaian yang diberikan. Tajuk-tajuk ceramah pada kali ini adalah Siapakah Pemimpin dan Acuan Pemimpin Ideal.

Tidak dilupakan aktiviti Latihan Dalam Kumpulan (LDK) juga telah diselitkan sepanjang program sebagai kesinambungan dari ceramah-ceramah yang telah disampaikan. Di samping juga untuk melihat pemahaman para peserta serta aplikasi yang boleh dimanfaatkan oleh mereka sebagai pemimpin di asrama sekolah yang mereka diami. Begitu juga dimasukan elemen permainan yang ringkas sebelum memulakan LDK yang mempunyai hubung kait akan isu yang dibincangkan di dalam LDK tersebut.

Sebagai kesimpulan dari pemerhatian sepanjang program dan juga hasil dari evaluasi dari para peserta berkenaan program kepimpinan ini menampakan hasil yang memuaskan dari segi penglibatan para peserta dalam setiap sesi soal jawab dan komitmen yang diberikan sepanjang program berlangsung dan objektif program juga sedikit sebanyak telah berjaya dicapai, namun pemahaman para peserta terhadap apa yang telah disampaikan serta impak jangka panjang setelah program ini harus dipantau secara berkala demi melihat hasil yang telah diperoleh oleh para peserta sepanjang program ini dapat diterjemahkan oleh mereka sebagai pemimpin asrama di STTJ.


Disediakan Oleh,

MOHD HALIMI ABDUL AZIZ
Ketua Fasilitator,
Program Kepimpinan SMTTJ

Sunday 20 February 2011

Futuwwah Training & Consultancy: Modul Pilihan

Pihak Futuwwah Training & Consultancy telah menyusun suatu modul khas untuk digunakan secara berkala di sekolah-sekolah dan institusi-institusi tempatan, yang diyakini dapat memotivasi para pemuda terhadap pelajaran, selain membina sahsiah yang mulia di kalangan peserta. Modul khas yang dimaksudkan seperti berikut:-

MODUL 1: ALLAH TECHNOLOGY VS. HUMAN TECHNOLOGY
Modul “ALLAH Technology vs. Human Technology” ini membandingkan di antara kehebatan alam semesta ciptaan Allah, dengan keterhadan teknologi ciptaan manusia. Sesuai untuk semua agama, modul ini dapat menginsafkan para pemuda akan kedudukan mereka di sisi Tuhannya, selain melahirkan pelajar yang sentiasa mentadabbur (merenungi) setiap kejadian alam. Modul 3 hari 2 malam ini mengandungi ceramah, LDK serta tayangan, turut membincangkan penyanggahan Teori Evolusi Darwin dari sudut sains, teknik smart learning serta persiapan menghadapi cabaran di IPT.

MODUL 2: SAINS & AL-QURAN
Modul 2 ini lebih kepada follow up berkala secara mingguan kepada Modul 1 yang telah disebutkan di atas. Pihak Futuwwah Training & Consultancy mensasarkan setiap sekolah untuk menubuhkan “Kelab Islam & Sains (KIS)” untuk membincangkan penemuan-penemuan sains yang ada disebutkan di dalam al-Quran, selain menumbuhkan minat di kalangan pelajar untukmengaplikasikan ilmu mereka dengan melakukan R&D mereka sendiri. Program “Perkemahan Cuti Sekolah Kelab Islam & Sains” akan dianjurkan setiap kali cuti sekolah, yang menggabungkan KIS daripada pelbagai sekolah, yang sekaligus dapat merapatkan ukhwah dan menghasilkan networking di kalangan pelajar-pelajar pelbagai sekolah.

MODUL 3: SAINS & SUNNAH
Modul 3 yang memakan masa sehari ini dilaksanakan dalam bentuk ceramah dan LDK, akan membincangkan hubungan kait di antara hadith Nabi S.A.W dengan penemuan-penemuan sains, selain memperkenalkan para peserta dengan ilmu-ilmu asas hadith.

MODUL 4: SAINS SOLAT
Modul 4 yang memakan masa sehari ini dilaksanakan dalam bentuk ceramah dan LDK, akan membincangkan hubungan kait di antara solat dan penemuan-penemuan saintifik. Modul 4 ini dapat menggalakkan para pemuda untuk melakukan, menghayati dan mencintai amalan solat dan seterusnya dapat mencegah mereka daripada melakukan perbuatan dosa dan kemungkaran.

MODUL 5: JEJAK AHMED DEEDAT
Modul 5 ini akan memperkenalkan para pemuda dengan para ulama-ulama Islam, dengan pengkhususan kepada mereka yang terlibat dalam bidang perbandingan agama, seperti Ahmed Deedat, Dr. Zakir Naik, dan sebagainya. Modul 5 ini mengkhususkan kepada perbandingan agama dan latihan amali dakwah. Selain memperkukuhkan aqidah para peserta, modul 5 dijangkan dapat menarik minat masyarakat non-Muslim untuk memeluk Islam.

MODUL 6: SUNNAH & KEMASYARAKATAN
Modul 6 ini boleh digunakan sebagai silibus usrah sekolah dan akan membincangkan hadith-hadith Nabi S.A.W, tetapi dilihat dari perspektif moden. Modul ini akan melahirkan mukmin yang profesional di kalangan masyarakat kita.

Pihak Futuwwah Training & Consultancy terus giat dalam melakukan penyelidikan untuk menghasilkan modul-modul baru di samping melakukan penambahbaikan modul-modul sedia ada. Dengan penambahbaikan ini, moga-moga pihak Futuwwah Training & Consultancy dapat berkongsi ilmu, idea dan maklumat baru kepada pelajar-pelajar sekolah dan IPT khususnya dan seluruh masyarakat umumnya. 

Saturday 19 February 2011

Futuwwah Training & Consultancy: Pengenalan

Futuwwah Training & Consultancy adalah sebuah syarikat yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (no. pendaftaran syarikat: NS/001353/2011). Dengan moto “Dari Pemuda Kepada Pemuda”, Futuwwah Training & Consultancy menjadikan perkhidmatan motivasi dan bimbingan (training and consultancy) sebagai core business.
Ia diasaskan oleh sekumpulan professional lulusan universiti tempatan yang berpengalaman luas menjalankan program-program motivasi di sekolah-sekolah dan kolej-kolej persediaan. Barisan penceramah dan konsultan Futuwwah Training & Consultancy terdiri daripada gabungan profesional pelbagai bidang serta mahasiswa-mahasiswi terbaik universiti dalam dan luar negeri, serta berpengalaman luas mengendalikan program-program motivasi dan kepimpinan di pelbagai institusi, antaranya:-
  • MRSM Taiping (Ceramah Motivasi)
  • SMKA Simpang Lima, Selangor (Motivasi)
  • SM Sains Seremban (Kursus Kepimpinan Pelajar)
  • SAM Rendah Hishamuddin Sungai Bertek, Selangor (Khidmat Tuisyen)
  • Sek. Men. Sains Alam Shah (ASiS), Cheras (Motivasi)
  • Sekolah Sultan Alam Shah (SAS), Putrajaya (Motivasi)
  • Sek. Men. Sains Selangor (SMSS), Cheras (Motivasi dan Bengkel Smart Solat)
  • MRSM Kuala Klawang (Program Kepimpinan)
  • Sek. Agama Men. Tunku Ampuan Jamaah (SAMTAJ), Shah Alam (Motivasi)
  • Sek. Agama Men. Bestari (SAMBEST), Subang Jaya (Ceramah)
  • Kolej Pembantu Perubatan Negeri Sembilan (Ceramah)
  • Kolej Matrikulasi Negeri Sembilan (Ceramah)
  • Ikatan pelajar Islam Poland (Motivasi)
  • Quranic Youth Club Universiti Islam Antarabangsa (QYC UIA) (Program Kepimpinan)
  • AUSIS – WAMY Kursus Intensif Bahasa Arab (Ceramah)
  • Kolej Mara Banting (Motivasi)
  • Kolej Politek Mara, Bangi (Ceramah)

Pihak Futuwwah Training & Consultancy juga mempunyai kepakaran untuk mengendalikan program-program seperti berikut:-
  • Program Motivasi Pembelajaran
  • Program Sains dan al-Quran
  • Program Kepimpinan Pelajar
  • Program Nuqaba’
  • Ceramah Kerjaya
  • Mengendalikan Khidmat Tuisyen
  • Dan lain-lain

Dengan kemunculan laman web atau blog rasmi Futuwwah Training & Consultancy ini, diharap dapat memudahkan dan mendekatkan lagi urusan core business kami dengan masyarakat. Semoga ia menjadi salah satu wadah yang terbaik bagi kami dalam memberi khidmat serta menyampaikan maklumat dan fikrah kepada masyarakat.