Friday 29 April 2011

M.D. Futuwwah Rasmikan Majlis Penutup SASER

Seremban – Pada hari Jumaat, 29hb April 2011, Pengarah Urusan Futuwwah Training & Consultancy, Ir. Faridul Farhan Abd Wahab, atas kapasitinya sebagai seorang Jurutera Profesional muda, telah diberi penghormatan oleh pihak SM Sains Tuanku Munawir (SASER) –salah sebuah sekolah terbaik tanahair untuk beberapa tahun lamanya- untuk merasmikan Majlis Penutup Bulan Sains & Teknologi SASER sekaligus menyampaikan ceramah motivasi kepada seluruh pelajar SASER.

 

Di dalam ceramahnya, Ir. Faridul menyentuh pelbagai isu, daripada kebocoran radiasi di Loji Nuklear Jepun, kepada sejarah tentang betapa berkaitnya Palestin dengan Tanah Melayu, kepada kepentingan kekuatan dalaman (rohani) bagi menampung dan melengkapkan kekuatan intelek, kepada cabaran untuk menjadi multi discipline (Ir. Faridul, selain mempunyai Ijazah di dalam bidang Kejuruteraan, turut mempunyai Sijil dalam Pengajian Syariah) serta kesedaran betapa setiap daripada kita harus memainkan peranan umpama seorang “hero” kepada masyarakat kita yang sedang rosak. Selain itu, beliau turut menegur sebahagian anak muda yang bersikap biadap terhadap guru-gurnya, sedangkan sehebat-hebat Lee Chong Wei, beliau tetap menghargai sekaligus menghargai segala sumbangan dan tunjuk ajar mentornya, Dato’ Misbun Sidek. Selain melaungkan slogan Albert Einstein berbunyi “Science without religion is lame, religion without science is blind” Ir. Faridul turut melaungkan slogan “Uncle Ben” yang memang sering beliau sebut-sebut dalam sebarang program yang dihadirinya: “with great power, comes great responsibility.”

 

Ir. Faridul kemudiannya diberikan penghormatan untuk menyampaikan hadiah kepada semua pemenang pertandingan-pertandingan yang dijalankan sepanjang Bulan Sains & Teknologi ini. Selesai upacara di Dewan, Ir. Faridul telah dibawa melihat pameran yang dijalankan. Pameran itu adalah hasil kreativiti guru dan pelajar-pelajar SASER, hasil adaptasi ilmu sains yang telah mereka pelajari.

 

Selesai menyaksikan “pelancaran roket” oleh para pelajar, Ir. Faridul telah disajikan dengan jamuan ringan oleh pihak pentadbir SASER.

 

Pihak Futuwwah ingin merakamkan penghargaan yang tidak terhingga kepada SASER di atas penghormatan yang diberikan kepada wakil kami, dan berharap Futuwwah akan dapat bekerja sama lagi dengan SASER di masa-masa akan datang.

 

Thursday 28 April 2011

Pemimpin Gereja Katholik kecam TV3 kerana tayangkan video seks

Petaling Jaya: Seorang pemimpin Gereja Katholik membidas TV3 dengan tindakan mereka menyiar potongan dari video seks yang didakwa membabitkan Datuk Seri Anwar IbrahimTV3.

Biskop Paul Tan, yang juga Presiden Konferens Bikop-biskop Katholik Malaysia, mengecam tindakan itu sebagai sesuatu kebiadaban yang tidak boleh dimaafkan.

Semalam, stesyen TV yang ada kaitan dengan kerajaan tersebut telah menyairkan potongan dari apa yang disifatkan bahagian kedua video yang didakwa membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan wanita dikatakan warga China.

“Dari awal lagi, kita melihat satu sikap yang serba membolehkan telah menjadi ciri kepada sikap pihak berkuasa terhadap episod jijik berkenaan,” kata Tan.

“Sekarang sikap itu menjadi lebih biadab: pemaparan bahan yang keji dan buruk dilkakukan di TV awam untuk ditontoni oleh seluruh rakyat lelaki dan perempuan termasuk kanak-kanak.

“Kebiadaban ini tidak boleh dimaafkan dimana kelemahan pihak berkuasa yang tidak bertindak tegas dari untuk menghapuskan ia dari peringkat awal sebagai satu kesilapan yang amat besar.

Tan menggesa pihak berkuasa untuk bertindak tegas dan mengheret mereka yang memiliki dan menayang video seks sebelum “satu kejahatan melahirkan lebih kejahatan lagi selepasnya.”

“Sikap membenarkan tayangan berkenaan, adalah relatifnya merupakan wajah kepada tindakan syaitaniah yang merupakan penyumbang jelas terhadap kerosakan moral yang kita temui di dalam kehidupan.

“Para penjaga undang-undang dan moral (pihak polis) tidak boleh membiarkan penayangan kejahatan yang kurang ajar ini. Mereka perlu bertindak, jika tidak rakyat akan menanggung risikonya,” tegasnya.

 

 

Sumber:  http://greenboc.blogspot.com/2011/04/ketua-gereja-kecam-tv3-kerana-tayangkan.html

 

Wednesday 27 April 2011

Program Sains & Al-Quran SAM BBST

Bandar Baru Salak Tinggi, 23 April 2011 – Pada hari Sabtu, 23 April 2011, pihak Futuwwah Training & Consultancy (FUTUWWAH) telah mengendalikan program “Sains & Al-Quran” kepada semua pelajar tingkatan 4, 5 dan 6 Sek. Agama Menengah Bandar Baru Salak Tinggi (SAMBBST). Program yang memakan masa sehari ini telah dimulakan dengan ceramah “Rahsia Sains di Balik Surah Ar-Rahman” oleh Pengarah Urusan FUTUWWAH, Ir. Faridul Farhan Abd Wahab.

 

Selepas rehat, peserta tingkatan 4 dan 6 dipecahkan kepada beberapa kumpulan sedangkan pelajar tingkatan 5 dihidangkan dengan ceramah bertajuk “Kepentingan Tarbiyah Kepada Pelajar” yang disampaikan oleh saudara Abdullah Din Suhaimi, seorang Jurutera Kanan di sebuah IPP tersohor tanah air. Bagi kumpulan LDK di kalangan pelajar tingkatan 4 dan 6, setiap kumpulan telah dikendalikan oleh barisan fasilitator daripada pelbagai latar belakang merangkumi pelajar IPT, pelajar jurusan perubatan, guru, ustaz, pekersa swasta, arkitek dan sebagainya.

 

Untuk slot petang, kumpulan LDK (tingkatan 4 dan 6) telah menyertai “Explore Race” yang mana di setiap check point, selain perlu menjalankan game tertentu, setiap kumpulan turut dihidangkan dengan pembentangan “Sains Solat” oleh fasilitator bertugas di setiap check point. Untuk pelajar tingkatan 5, mereka menikmati ceramah oleh Pengarah Program kali ini, saudara Mohd Fitri Mustafa dengan tajuk yang sama (Sains Solat).

 

Dalam tempoh yang singkat ini, tentu banyak perkara lagi yang boleh dikongsikan, namun terhad kerana kekangan masa. Walau bagaimana pun, rata-rata peserta berpuas hati dengan program kali ini. Kami di pihak FUTUWWAH mendoakan kejayaan pelajar-pelajar SAMBBST dan semoga program ini dapat melahirkan pelajar yang tidak sekadar cemerlang akademiknya, tetapi banyak menumbang kepada agama dan Negara.

 

Tuesday 26 April 2011

Program Motivasi Sains & Al-Quran SMA Nilai


NILAI, 24 April 2011 - Pada 23 dan 24 April 2011, telah berlangsungnya Program Motivasi Sains & Al-Quran di Sek. Men. Agama (SMA) Nilai, hasil kerjasama dengan Futuwwah Training & Consultancy. Program ini dihadiri oleh seramai 48 orang pelajar Tingkatan 4 dan 5 manakala dari pihak Futuwwah dihadiri oleh seramai 12 orang fasilitator.

Program bermula dengan Majlis Perasmian oleh Puan Aisyah, wakil guru SMA Nilai di samping ucapan guru kaunselor, Puan Siti Suria dan wakil Futuwwah iaitu Pengurus Besar, En. Abu Hanifah bin Mohd Kamal. Dalam majlis perasmian ini, pihak sekolah mengalu-alukan usaha Futuwwah dalam membantu memperbaiki akademik dan sahsiah para pelajar.

Sejurus majlis perasmian, program bermula dengan Ceramah 1 yang bertajuk "Sains & Al-Quran" yang disampaikan oleh Ustaz Mohd Shahman bin Md Azmi, Senior Consultant Futuwwah. Dalam slot ini, dihidangkan aplikasi Sains menurut acuan Al-Quran dan sekaligus menarik minat para pelajar dalam mempelajari Sains dan Pengajian Al-Quran. Sesudah itu, para pelajar dibahagikan kepada kumpulan-kumpulan kecil untuk slot LDK 1 iaitu "Menuju Puncak IPT" di mana slot ini, para fasilitator yang terdiri dari pelajar IPT dan golongan professional memberi gambaran tentang cabaran dalam mengharungi cabaran akademik ke IPT dan sekaligus memberi motivasi supaya memajukan diri dalam bidang akademik di samping menjaga imej sebagai seorang pelajar Muslim. Selepas solat Zuhur, para peserta terlibat dengan LDK 2 iaitu "Explorace Sains Solat" yang merupakan aktiviti luar di mana setiap kumpulan akan berlumba-lumba untuk menyelesaikan setiap check point. Pada setiap check point, setiap fasilitator akan menjelaskan tentang Sains Solat iaitu hikmah-hikmah yang terselindung sekiranya melakukan ibadah Solat. Pada malam hari, selepas Solat Isyak, berlangsung LDK 3 iaitu "Serangan Pemikiran" yang menerangkan usaha-usaha golongan musuh Islam yang sentiasa berlumba-lumba merosakkan pemikiran umat Islam tanpa disedari. Inilah antara slot yang perlu diberi penekanan untuk memastikan setiap peserta sentiasa berjaga-jaga dalam menghadapi cabaran di luar sana.

Pada keesokan harinya, seawal pukul 5.15 pagi, semua peserta dan fasilitator bangun pagi dan menunaikan ibadah Qiamullail secara berjemaah yang bertujuan mendekatkan hubungan diri dengan Allah. Selesai sarapan pagi, berlangsungnya slot Ceramah 2 iaitu "Kepentingan Tarbiyyah Kepada Pelajar" yang disampaikan oleh En. Abu Hanifah bin Mohd Kamal, Pengurus Besar Futuwwah. Dalam ceramah ini, diberinya penekanan tentang kerosakan ummat yang cukup hebat melanda manusia dan perlunya umat Islam bertindak agresif dengan melaksanakan program tarbiyyah secara konsisten dan berterusan. Tarbiyyah ini lah yang menjamin seseorang atau sesuatu terselamat dari kehancuran dan azab Allah. Selepas itu, slot yang terakhir berlangsung iaitu LDK 4 yang bertajuk "Peranan Pemuda". Dalam slot ini, setiap peserta diberikan gambaran tentang amanah yang perlu dipikul iaitu amanah kepada agama, Allah, ibu bapa, adik beradik, sekolah, guru-guru, rakan-rakan dan masyarakat. Ini kerana, hanya pemuda yang mampu bertindak dan mencorak masyarakat menjadi lebih baik.

Pada akhir program, berlangsungnya Majlis Penutup oleh Puan Rashidah, GPK SMA Nilai. Beliau secara terbuka menyatakan kerisauan sekiranya para pelajar keluar ke masyarakat kerana cabaran yang cukup hebat menanti mereka di luar sana. Beliau juga berharap agar program yang berlangsung ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh para pelajar. Dalam majlis ini, turut disampaikan sijil dan cenderahari kepada semua fasilitator yang terlibat.


Gambar-gambar sepanjang program berlangsung:







 



 
 




ABU HANIFAH BIN MOHD KAMAL
Pengurus Besar,
Futuwwah Training & Consultancy

Monday 25 April 2011

Nasionalisme Seorang Muslim

Nasionalisme dan Kegemilangan Silam
Jika nasionalisme yang dimaksudkan oleh mereka yang berbangga dengan semangat nasionalisme ialah generasi muktahir perlu menurut jejak generasi silam dalam membina hidup gemilang, dihormati, cemerlang, berkeyakinan tinggi dan menjadikan mereka sebagai contoh yang baik; Jika nasionalisme yang dimaksudkan ialah kegemilangan seorang bapa menjadi kebanggaan seorang anak lantaran itu menjadi pembakar semangat dan perangsang. Jika kedua-dua ini yang dimaksudkan, ia adalah satu tujuan yang baik. Bukankah usaha kita membangkitkan hemah generasi masa kini bertujuan supaya mereka mencontohi kehebatan generasi silam.

Rasulullah bersabda: "Manusia ini seperti logam, orang yang terbaik di zaman jahiliyyah adalah orang yang terbaik di zaman Islam, jika mereka memahami."

Nasionalisme dan Ummah
Jika nasionalisme yang dimaksudkan ialah keluarga dan ummah adalah orang yang paling utama untuk menerima layanan baik dan orang yang paling utama dilimpahkan segala sumbangan dan jihad, maksud ini adalah benar. Siapakah yang tidak merasakan bahawa orang yang paling utama untuk menerima sumbangannya ialah bangsanya sendiri yang telah membesarkannya.

Jika nasionalisme yang dimaksudkan ialah kita semua dituntut supaya berusaha dan berjihad, maka menjadi kewajipan setiap pihak untuk berusaha mencapai matlamat ini sehingga dengan izin Allah masing-masing mencapai kejayaan. Inilah pengagihan tugas yang terbaik. Siapa lagi kalau bukan kita yang membekalkan kepada umat Timur dengan pelbagai pasukan dan ketumbukan jihad dalam setiap lapangan sehingga kita bertemu semuanya dalam kemerdekaan dan kebebasan.

Nasionalisme Jahiliyyah
Menghidupkan kembali budaya jahiliyyah yang telah pupus; Mewujudkan semula sejarah yang telah lenyap dengan mengenepikan tamadun baik yang telah bertapak kukuh; Membuang semua yang ada kaitan dengan Islam semata-mata kerana semangat nasionalisme dan semangat kebangsaan seperti mana yang dilakukan oleh sesetengah mereka yang fanatik sehingga tahap menghancurkan semua imej Islam termasuk mengubah nama, huruf dan istilah yang digunakan dan menghidupkan semula budaya jahiliyyah yang telah sekian lama pupus. Jika inilah nasionalisme yang dimaksudkan, maka nasionalisme seperti ini tidak betul dan membawa kesan yang sangat buruk. Ia hanya membawa kerugian teruk kepada negara tersebut. Selain kehilangan segala warisannya dan merendahkan kedudukannya, negara tersebut akan kehilangan segala keistimewaan dan kesuciannya yang paling berharga. Namun, ia tidak sedikit pun akan mencemar agama Allah.

Firman Allah: "Dan jika kamu berpaling (daripada beriman, bertaqwa dan berderma), Dia akan menggantikan kamu dengan kaum yang lain; setelah itu mereka tidak akan berkeadaan seperti kamu." (Muhammad, 47: 38)

Nasionalisme dan Pencabulan
Jika apa yang dimaksudkan dengan nasionalisme ialah berbangga dengan bangsa sendiri hingga ke tahap merendahkan bangsa lain, memusuhi dan memanipulasi bangsa lain demi memartabatkan bangsa sendiri seperti yang dilakukan oleh jerman dan Itali atau mana-mana bangsa yang mendakwa mereka lebih istimewa berbanding bangsa lain, maka, maksud seperti ini adalah suatu yang keji malah bercanggah sama sekali dengan nilai peri kemanusiaan. Tindakan ini sebenarnya membawa maksud memanipulasi semua bangsa manusia demi mencapai suatu yang tidak pasti, suatu yang bukan hakiki dan tidak mendatangkan kebaikan kepada sesiapa.

Dua Teras
Seseorang Muslim tidak perlu melaungkan semangat Firaun atau Phoenix atau Arab atau Syria atau ketuanan bangsa ataupun apa sahaja nama atau gelaran yang menjadi kebanggaan ramai manusia. Namun, kita patut menerima apa yang dikatakan oleh Rasulullah s.a.w. yang merupakan seorang manusia yang sempurna  malah manusia terbaik yang mengajar perkara yang baik kepada manusia, sabda Baginda, maksudnya:

"Allah telah membersihkan kamu daripada nilai jahiliyyah dan budaya berbanggan dengan nenek moyang. Seluruh manusia berasal dari Adam dan Adam daripada tanah. Tiada kemuliaan bagi orang Arab berbanding bukan Arab kecuali dengan ketaqwaan"

Alangkah indah dan adilnya ungkapan ini. Semua manusia daripada Adam dan kerana itu mereka semua setaraf. Manusia hanya berbeza berdasarkan amalan mereka. jadi, sepatutnya mereka bersaing dalam melakukan kebaikan. Sekiranya dua teras ini menjadi landasan kepada bangsa manusia, sudah tentu martabat manusia akan meningkat hingga ke puncak langit.

Pertama: Semua manusia daripada Adam, jadi mereka semua adalah saudara. Oleh itu, mereka perlu saling bekerjasama, bahu membahu, berkasih sayang dan saling memimpin ke arah kebaikan.

Kedua: Perbezaan antara manusia hanyalah berdasarkan amalan mereka. Jadi, masing-masing perlu berusaha supaya dapat mengangkat martabat seluruh manusia.

Apakah ada perkara yang dapat mengangkat martabat seluruh manusia ke tahap ini? Apakah ada didikan yang lebih baik daripada didikan daripada Rasulullah s.a.w. ini?


*Dipetik dari Majmu' Rasa'il Imam Syahid Hasan al-Banna



ABU HANIFAH BIN MOHD KAMAL
Pengurus Besar,
Futuwwah Training & Consultancy

[saifulislam.com]: JANGAN BUNUH HUDHUD ITU

"Mengapa aku tidak melihat burung Hudhud? Apakah dia termasuk di kalangan mereka yang ponteng?" Sulaiman 'alayhi al-salaam bertanya.

Pemeriksaan hari itu, begitu teliti dilakukannya.

Kerajaannya besar. Bukan setakat kerajaan manusia di Timur dan Barat, malah menakluki segala haiwan hingga ke komuniti Jin.

Namun Sulaiman tidak hilang pemerhatian. Tidak hilang kawalan. Baginda tahu siapa yang ada dan siapa yang tiada.

Ketidak hadiran Hudhud menimbulkan murka Sulaiman.

"Sesungguhnya aku pasti akan menghukum Hudhud itu dengan hukuman yang keras, malah aku tidak teragak-agak untuk menyembelihnya sahaja!" begitu sekali kemarahan Baginda.

Ia menggambarkan prihatian dan tegasnya Sulaiman dalam menjaga kabinet, tenaga kerja dan seluruh jentera kerajaannya. Pemimpin yang tidak meremehkan sesiapa, biar pun kakitangannya itu hanya si burung Hudhud.

"Kecuali jika Hudhud mendatangkan penjelasan yang konkrit!" Sulaiman memberi penegasan.

Tegasnya bukan sampai buta dari pertimbangan. Biar pun murka, ruang penjelasan sentiasa ada.

Kisah ini merupakan petikan firman Allah di dalam al-Quran, Surah al-Naml berkenaan Nabi Sulaiman 'alayhi al-Salaam sebagai pemimpin kerajaannya.

 

http://saifulislam.com/wp-content/uploads/2011/04/27_20-23.gif

"Dan (setelah itu) Nabi Sulaiman memeriksa kumpulan burung (yang turut serta dalam tenteranya) lalu berkata: "Mengapa aku tidak melihat burung Hudhud? Adakah ia dari mereka yang tidak hadir? Demi sesungguhnya! Aku akan menyeksanya dengan seksa yang seberat-beratnya, atau aku akan menyembelihnya, kecuali ia membawa kepadaku alasan yang terang nyata (yang membuktikan sebab-sebab ia tidak hadir. Burung Hudhud itu tidak lama ghaibnya selepas itu, lalu datang sambil berkata (kepada Nabi Sulaiman): "Aku dapat mengetahui secara meliputi akan perkara yang engkau tidak cukup mengetahuinya, dan aku datang kepadamu dari Negeri Saba' dengan membawa khabar berita yang diyakini kebenarannya" [Surah al-Naml 27: 20-23]

 

PERANAN HUDHUD

Kisah di dalam al-Quran bukan bedtime story. Ia datang dengan 'ibrah yang besar.

Hudhud di dalam kisah ini tidak seharusnya mencerminkan fenomena tasayyub yang boleh berlaku di dalam gerakan Islam. Gejala 'hilang kawalan' dan pandai-pandai sendiri dalam melakukan gerak kerja hingga tidak bergerak selari dengan dasar dan matlamat gerakan Islam, tidak harus bersandarkan kepada kisah ini.

Hudhud tidak lari daripada tujuan dan disiplin gerak kerja sebuah gerakan. Tetapi apa yang hendak ditonjolkan oleh Allah Subhanahu wa Ta'aala di dalam ayat ini adalah sifat penting yang mesti wujud di dalam diri amilin gerakan Islam yang diwakili oleh Hudhud tersebut. Sifat yang dimaksudkan itu adalah kepekaan amilin terhadap peluang-peluang yang wujud di sekitarnya, yang mungkin tidak disedari oleh sebuah gerakan yang sudah mempunyai SOP rutinnya.

Sulaiman alayhi al-Salaam yang kekuatan serta kemampuan Baginda menguasai komuniti manusia, haiwan dan jin, tetap diperlihatkan oleh Allah betapa masih ada perkara yang berlaku di luar pengetahuannya. Dengan kemudahan dan kemahiran, maklumat masih sesuatu yang terlalu luas untuk dikuasai.

Inilah intipati penjelasan yang dikemukakan oleh Hudhud.

"Ada benda yang pengetahuan tuan tidak sampai kepadanya" kata Hudhud.

Hudhud tahu apa yang dilakukannya. Sebelum menjelaskan apa yang mahu dijelaskan, Hudhud terlebih dahulu menyediakan Sulaiman untuk menghargai apa yang bakal diterangkan.

"Aku baru pulang dari Negeri Saba' dengan sebuah Naba'" tegas Hudhud.

Kisah yang dibawa bukan sebarang cerita. Bukan kisah kosong. Ia adalah sebuah Naba', yakni berita penting yang perlu diketahui oleh Sulaiman.

 

TELADAN BUAT DA'I DAN MURABBI

Seorang da'i mesti mempunyai inisiatif positif pada mencari kebaikan. Ke mana atau di mana sahaja beliau berada, biar pun atas nama kerja dan urusan peribadi, matanya tidak harus alpa daripada membaca peluang-peluang dakwah di sekitarnya. Ruang-ruang seperti ini sering berada di luar cakupan jentera dakwah, justeru perlu dimanfaatkan mata peninjau yang berada di mana-mana.

Ia perlu berlaku tanpa menunggu arahan khusus.

Hal ini harus timbul daripada kesedaran dakwah yang tidak terikat dengan masa dan kelapangan da'i. Pengurusannya mungkin separuh masa, tetapi komitmennya sepenuh masa.

Gerakan Islam juga perlu akur bahawa bukan semua perkara mampu direncanakannya hatta ada sahaja perkara penting yang tercicir daripada keupayaan dirinya. Sulaiman alayhi al-Salaam yang merupakan seorang Rasul penerima wahyu, dan dikuatkan lagi dengan kemahirannya yang dikurniakan Allah, masih berhajatkan kepada sumbangan jentera kecilnya bernama Hudhud yang bersikap proaktif meninjau sesuatu yang berada di luar lingkungan ketuanya.

 

MENGHARGAI SUMBANGAN HUDHUD

Saeed Hawwa rahimahullah di dalam siri wacana Jundullah beliau, menegaskan tentang wujudnya dua bentuk penggabungan seseorang di dalam sebuah gerakan Islam.

Penggabungan yang pertama disebut sebagai al-Intimaa' al-Tandheemi (الإنتماء التنظيمي). Ia merupakan penggabungan formal mereka yang tidak lagi bertindak sebagai penyokong, tetapi mengambil kemuliaan menjadi pendukung. Kelompok ini mesti berkualiti kerana integriti serta kompetensi mereka memberikan kesan langsung kepada perjalanan dan perkembangan gerakan yang didukungnya.

Penggabungan yang kedua, disebut sebagai al-Intimaa' al-'Aatifee (الإنتماء العاطفي). Penggabungan yang lebih berbentuk kebersamaan sokongan dan emosi ini, memerlukan kepada keluasan jiwa kepimpinan gerakan Islam untuk melihatnya sebagai sebuah penggabungan. Berbicara secara realistik, penggabungan kedua ini sering lebih besar saiznya berbanding dengan kelompok yang bergabung dengan penggabungan pertama. Atas apa sahaja sebab yang tidak menjadi persoalan di sini, di luar sana ada ramai penyokong atau kelompok yang simpati kepada gerakan Islam. Mereka berada di mana-mana. Berjawatan rendah berjawatan tinggi, malah berada di balik tembok-tembok yang sukar sekali untuk ditembusi oleh sebuah gerakan.

Namun mereka mungkin seperti Hudhud.

Si kecil yang membawa berita besar.

Gerakan Islam mesti menjiwai pembawaan Sulaiman yang amat tegas dalam menekankan disiplin kerja, tetapi cukup rendah jiwa dan diri untuk membuka ruang penjelasan dan pengambilan manfaat hasil tinjaun proaktif si burung Hudhud.

Hari ini, Hudhud itu mungkin orang dalam, mungkin orang luar.

Mereka itu bermaklumat. Resourceful. Mereka membekalkan pelbagai maklumat. Membekalkan statistik. Membekalkan hasil tinjauan. Semuanya untuk mengkayakan Gerakan Islam dengan Naba' di era Perang Maklumat ini.

Hudhud bukan HANYA HUDHUD. Tanpa Hudhud, Kerajaan Sulaiman tidak mencecah Saba' dan penyatuan Makkah dan Palestin tidak berlaku.

Jangan semata-mata dek sarang Hudhud alamatnya tidak bercawangan seperti cawanganmu atau tidak berkawasan seperti kawasanmu, kamu bunuh Hudhud itu!

 

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 AMPANG

Bacaan lanjut:

  1. Seri Taujihat Pekanan Kader PKS Jilid 1
  2. Jundullah Takhteetan oleh Saeed Hawwa

 

 

Sunday 24 April 2011

[ralat]: Ma'na "ar-Rijal"

Demikian selesai mengendalikan program “Sains & Al-Quran” anjuran Futuwwah Training & Consultancy di sebuah sekolah tengahari tadi (Ahad), saya memaksa diri saya untuk ke Pesta Buku di PWTC. Tujuannya cuma satu (dua sebenarnya), iaitu selain untuk menghantar akhi Iduan ke Stesyen Komuter, saya berazam dan bertekad untuk mencari dan membeli kitab “lisanul arab”.  Kitab lisanul arab ini ialah antara kamus bahasa arab yang sangat lengkap, di mana di dalamnya tidak sekadar diberikan makna sesuatu perkataan arab, bahkan dirakamkan juga kata-kata ramai ulama’ tentang definisi perkataan tersebut, beserta syair arab yang menggunakan perkataan itu, hadith dan ayat al-Quran, bahkan turut terdapat footnote juga untuk sebahagian perkataan. Biarpun harganya agak mahal, Alhamdulillah saya membulatkan tekad untuk tetap memilikinya.

Dan ketika “merasmikan” proses “menikmatinya” (nota: kamus ini di dalam bahasa arab sepenuhnya), antara perkataan yang saya cuba cari maknanya dahulu adalah perkataan “Rijal” atau yang biasa kita terjemahkan kepada “lelaki”.

Dalam banyak pengisian saya, ketika saya menceritakan definisi Ar-Rijal ini seperti yang saya rakamkan dan rawikan daripada murabbi saya, adalah dipercayai makna ar-Rijal adalah “qiamu linafsih wa yuqimu lighairih”. Oleh murabbi saya, dikatakan definisi ini diambil daripada kitab atau kamus lisanul arab.

Satu perangai saya sejak dulu lagi, saya suka menyemak kembali apa-apa input yang saya dapat, baik dari mana pun, baik dari siapa pun. Bukan bererti kita tidak tsiqah, tetapi beginilah disiplin ilmu mengajarkan kita. Maka apa-apa yang disampaikan kepada saya, terutamanya hadith, tidaklah saya terima bulat-bulat, melainkan pasti saya akan cuba sedaya termampu saya untuk check balik status hadith yang sampai ke telinga saya. Setelah memiliki kitab lisanul arab (yang memang telah terlalu lama saya damba-dambakan), kini saya mula mengecheck pula definisi perkataan arab yang pernah di sampaikan kepada saya tadi. Dan salah satunya, iya perkataan ini, ar-Rijal.

Dukacitanya, definisi perkataan itu sebagai qiamu linafsih wa yuqimu lighairih yang konon berasal dari lisanul arab, setelah saya check muka surat-muka surat yang berkenaan di dalam kamus lisanul arab (seriously, perkataan rijal memang makan verhelai-helai pages) ternyata definisi yang diberikan tadi tidak saya jumpai. Maka dengan ini, saya meminta maaf kepada ikhwah dan akhawat yang pernah mendengar penyampaian saya tentang perkara ini, yang biasanya saya sampaikan di bawah tajuk rabbaniyyatud dakwah, di bawah sub-title rabbaniyatur rijal. Tetapi, saya tidak menyatakan definisi yang diberikan sebelum ini salah. Menurut saya definisi itu masih betul, cuma ianya tidak berasal dari kamus lisanul arab. Maka yang perlu dipotong oleh kalian hanyalah sumbernya sahaja iaitu konon ianya berasal dari kamus lisanul arab. Itu saja.

Saya mengucapkan terima kasih kepada murabbi saya yang mengajarkan saya tajuk rabbaniyyatur rijal itu, juga kepada anda yang sudi mendengar pengisian-pengisian saya, serta maaf kerana memberikan sedikit kesalahan fakta. Semoga kalian juga akan ada sikap rajin mengecheck setiap perkataan yang sampai kepada kalian, hingga jadilah kita generasi yang cemerlang, gemilang dan terbilang.


Akhukum,

Ustaz Faridul Farhan Abd Wahab
(p/s – saya tulis title “ustaz” coz mereka yang biasa dengar pengisian saya selalu memanggil saya dengan gelar “ustaz”. Mungkin kerana Sijil Syariah saya kot. Maka kerana pengumuman ini ditujukan kepada mereka, maka saya perlulah perkenalkan diri saya sebagai ustaz)

Wednesday 20 April 2011

MOVE ON

Manchester United sememangnya melahirkan ramai pemain handalan. Sedihnya, ada sebilangan pemain handalan mereka, akhirnya memilih untuk move on, mencuba nasib dengan kelab lain. Lalu kecewalah sebahagian peminat menangisi pemergian Nicky Butt ke Newcastle, Philip Neville ke Everton, Lee Sharpe ke Leeds, dan sebagainya.

Berbanding pemain bintangnya yang lain, yang memang sengaja disingkarkan oleh sang Pengurus Sir Alex Ferguson seperti Jaap Stam, Roy Keane, David Beckham dan sebagainya, nama-nama sebelumnya, seperti Butt dan Neville yang membesar di Man. Utd. hingga ke tahap terpilih mewakili pasukan kebangsaan England, memilih untuk meninggalkan Old Trafford kerana merasa kurang peluang untuk beraksi dengan pasukan utama, lantaran saingan hebat sesama pemain hebat yang ada dalam pasukan The Red Devils itu.

Tetapi, pemergian mereka daripada Man. Utd., langsung tidak bermakna mereka kurang hebat. Mereka akan kekal sebagai asset bagi pasukan mana pun, bahkan mungkin akan tetap ditawarkan kontrak dengan Man. Utd. andai mereka memilih kekal dahulu, sebagai penghargaan di atas kehebatan dan kelincahan mereka. Cuma, terkadang pemain hebat, merasa “kurang hebat” berbanding rakan-rakannya yang lain. Ronaldinho tetap hebat, tetapi akhirnya melihat jalan keluar daripada pasukan Barcelona. Begitu juga mantan kapten Arsenal, Thierry Henry. Sekalipun pernah menjadi tunjang utama Arsenal mahupun pasukan kebangsaan Perancis, akhirnya Nou Camp mengucapkan selamat tinggal kepada khidmatnya.

Maka, terkadang rasa rendah diri ini perlu, agar air mata tawadhuk itu bisa memadamkan api Neraka untukmu. Lihatlah kembali kata-kata penuh indah daripada seorang Ayyub as-Sikhtiyani; “saat mengingat orang-orang soleh, aku merasa seperti tersingkir dari barisan mereka.”

Tawadhuk itu sifatnya move on, sedang ghurur itu umpama “digugurkan.” Maka kejarlah pelangi Syurga di sebalik air mata dek merasa penuh berdosa itu…

Tuesday 12 April 2011

[email]: Hadith Arbain #6

Soalan (via sms)

Apakah praktikal dakwah berkaitan hadith Arbain #6?


Jawapan (via email)

Terima kasih kepada sang penanya di atas kepercayaan yang diberikan kepada saya untuk memberikan pendapat, juga tahniah kepada anda kerana sentiasa mempunyai keinginan dan kesungguhan untuk belajar daripada hadith Nabi-Nya yang mulia, sekaligus berusaha mempraktikkan hadith-hadith yang dipelajari itu di dalam kehidupan seharian. Juga di atas kesedaran betapa nash baik daripada al-quran mahupun as-sunnah adalah suatu yang "hidup", lantas ia akan kekal relevan sepanjang zaman, insyaAllah.

Oleh kerana sang penanya bertanya kepada saya tentang paktikal dakwah hadith Arbain #6, maka tentunya saya akan menjawab/ memberi pandangan berdasarkan reality dan waqi' (keadaan) semasa, bukan mengcopy and paste syarah hadith tersebut. Hadith Arbain #6 yang ditanyakan adalah seperti berikut:-


HADITS KEENAM
عَنْ أَبِي عَبْدِ اللهِ النُّعْمَانِ بْنِ بَشِيْرٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُمَا قَالَ سَمِعْتُ رَسُوْلَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُوْلُ : إِنَّ الْحَلاَلَ بَيِّنٌ وَإِنَّ الْحَرَامَ بَيِّنٌ وَبَيْنَهُمَا أُمُوْرٌ مُشْتَبِهَاتٌ لاَ يَعْلَمُهُنَّ كَثِيْرٌ مِنَ النَّاسِ، فَمَنِ اتَّقَى  الشُّبُهَاتِ فَقَدْ اسْتَبْرَأَ لِدِيْنِهِ وَعِرْضِهِ، وَمَنْ وَقَعَ فِي الشُّبُهَاتِ وَقَعَ فِي الْحَرَامِ، كَالرَّاعِي يَرْعىَ حَوْلَ الْحِمَى يُوْشِكُ أَنْ يَرْتَعَ فِيْهِ، أَلاَ وَإِنَّ  لِكُلِّ مَلِكٍ حِمًى أَلاَ وَإِنَّ حِمَى اللهِ مَحَارِمُهُ أَلاَ وَإِنَّ فِي الْجَسَدِ   مُضْغَةً إِذَا صَلَحَتْ صَلَحَ الْجَسَدُ كُلُّهُ وَإِذَا فَسَدَتْ فَسَدَ الْجَسَدُ كُلُّهُ  أَلاَ وَهِيَ الْقَلْبُ
[رواه البخاري ومسلم]
Terjemah hadits / ترجمة الحديث  :
Dari Abu Abdillah Nu'man bin Basyir radhiallahuanhu dia berkata: Saya mendengar Rasulullah Shallallahu'alaihi wasallam bersabda: Sesungguhnya yang halal itu jelas dan yang haram itu jelas. Di antara keduanya terdapat perkara-perkara yang syubhat (samar-samar) yang tidak diketahui oleh orang banyak. Maka siapa yang takut terhadap syubhat berarti dia telah menyelamatkan agama dan kehormatannya. Dan siapa yang terjerumus dalam perkara syubhat, maka akan terjerumus dalam perkara yang diharamkan. Sebagaimana penggembala yang menggembalakan hewan gembalaannya disekitar (ladang) yang dilarang untuk memasukinya, maka lambat laun dia akan memasukinya. Ketahuilah bahwa setiap raja memiliki larangan dan larangan Allah adalah apa yang Dia haramkan. Ketahuilah bahwa dalam diri ini terdapat segumpal daging, jika dia baik maka baiklah seluruh tubuh ini dan jika dia buruk, maka buruklah seluruh tubuh; ketahuilah bahwa dia adalah hati ".
(Riwayat Bukhori dan Muslim)


Pelajaran:-

Seorang da'ie islam itu sebaiknya dan sewajarnya menjauhi dan meninggalkan hal-hal Syubhat. Perhatikan, Allah S.W.T menyebut di antara yang halal dan haram itu ada hal مُشْتَبِهَاتٌ . Tetapi, ketika Ia menyuruh kita meninggalkan, yang disuruh kita tinggalkan justeru adalah hal-hal yang الشُّبُهَاتِ. Ini menunjukkan bahawa "level" kesamaran atau ketidak jelasan itu sebenarnya berbeza, maka bila disebut meninggal syubhat, maka memang sangat wajarlah ianya ditinggalkan. Berkenaan perbezaan di antara musytabihat dan syubhat ini, boleh rujuk kuliah Dr. Zulkifli Al-Bakri di radio IKIM (http://www.ikimfm.my/ikimfm/index.php?option=com_content&view=article&id=55)

Yang menyebabkan sang da'ie itu cenderung untuk terjebak ke dalam hal-hal syubhat adalah masalah hati. Cukuplah kita belajar daripada krisis yang melanda gerakan Islam Indonesia, tepatnya dalam kes mantan pendiri Partai Keadilan, K.H. Yusuf Supendi vs. Pimpinan Partai Keadilan Sejahtera (PKS). Jika tuduhan Yusuf Supendi itu benar, maka masalah hatilah yang menyebabkan pimpinan PKS bisa menjadi pragmatis, yakni kecenderungan hati untuk masuk "daerah" yang tidak jelas, di antara kemewahan yang dibenarkan dan kemewahan yang melampaui batas. Tetapi jika tuduhan Yusuf Supendi itu ternyata fitnah, maka masalah hati jugalah yang menyebabkan ia ingin membinasakan saudara-saudaranya sendiri.

Marilah kita berdoa moga Allah berikan kejernihan hati kepada keduanya, agar hati-hati yang kita yakini baik itu (baik K.H. Yusuf Supendi mahupun pimpinan PKS) akan bersatu dan bertaut kembali, kerana ukhuwah islamiyah itu jelas "kehalalannya" sedang dengki dan permusuhan itu jelas "keharamannya".

Wajar, ketika Allah menetapkan misi yang akan diemban oleh Rasul-Nya, "huwallazi ba'asa fil ummiyyina rasulan minhum.."(Surah al-Jumu'ah [62]:2) Ia mulakan dahulu tugas tazkiyah qobla ta'alim, bukan at-ta'alim qobla at-tazkiyah. Kenapa?

Pertama, misi yang dibawa Rasul-Nya adalah misi yang boleh di"warisi". Kerana itu setelah kewafatan ar-Rasul, misi itu masih diteruskan oleh para penggantinya, iaitu di kalangan para sahabat, kemudian tabi'in, kemudian tabi'it tabi'in, seterusnya, seterusnya... hinggalah kepada kita. Misi itu dinamakan sebagai "ad-dakwah dan at-Tarbiyyah".

Kedua, tarbiyah itu disepakati bermula dengan at-tilawah, kerana dakwah dan tarbiyah itu harus selari dan senantiasa merujuk kepada kalam Allah yang agung, agar ia tidak akan pernah terpesong. Dalam konteks hal-hal yang Syubhat tadi, jika telah jelas at-tilawahnya, maka tentunya ia akan jelas stand atau pendiriannya.

Kemudian at-tazkiyyah dahulu sebelum at-ta'lim, kerana kesucian jiwa akan menjamin kita menepati ajaran ar-Rasul dalam hadith yang di atas. Tetapi jika kesucian hati itu dikemudiankan, maka kelebihan at-ta'lim akan digunakan oleh seorang al-akh untuk membenarkan tindak-tanduknya untuk memasuki daeratus syubhat.

Apatah lagi ketika dakwah itu sendiri sudah besar, memasuki mihwar muassasi yang sesungguhnya (masuk gedung parlimen, menguasai jabatan kerajaan dan sebagainya), maka banyak kebijakan politik harus diambil, apatah lagi dalam hal yang "tidak jelas." Dalam hal yang samar-samar, maka kesucian hati inilah yang teramat diperlukan. Dan memang isu-isu kemasyarakatan, akan banyak kesamarannya nanti.

Di sisi yang lain, ukhti muharikah menjelaskan (http://muharikah.wordpress.com/2011/04/10/trilogi-tarbiyah/#more-1795) susunan tarbiyah adalah sebegini kerana:-
Tilawah = Memberi ilmu agar tahu
Tazkiyah = membersihkan hati, agar termotivasi menjadi mahu
Taalim= mengajarkan dan meningkatkan kapasiti diri sehingga menjadi mampu!

Jika direlatekan hadith ini dengan hadith sebelumnya (hadith Arbain #5) yang berbicara tentang bid'ah, maka akan ada hal-hal yang tidak jelas sama ada benar-benar bid'ah yang diharamkan, atau justeru bid'ah yang masih dibenarkan (mengambil definisi bid'ah oleh saydina Umar R.A). Contoh bid'ah yang jelas diharamkan adalah cara ibadah orang-orang Jahiliyah iaitu dengan cara bersiul dan bertepuk tangan (Surah al-Anfal [8]:35), sehingga orang-orang tua kita bertindak mengharamkan orang-orang Melayu daripada bersiul dan bertepuk tangan. Kalau nak bertepuk tangan, yang tangan kanan tu guna bahagian belakangnya, jangan tapaknya. Inilah asal-usul pantang larang itu barangkali.

Sedang bd'ah yang halal adalah azan menggunakan microphone, seperti yang dipraktikkan pada hari ini.

Apa pun, dalam meneliti isu-isu bid'ah ini, kesucian hati sangat penting, iaitu kita membanteras bid'ah bukan untuk nak tunjuk bagus dan tunjuk lagak, tetapi agar umat benar-benar kembali ke landasannya yang sebenar. Jika ini matlamat kita, tentunya kita tidak akan membiarkan perpecahan hati-hati lalu semakin menjauhi agama. "an aqimud din, wala tafarraqu.." (surah asy-Syura [42]:13).   Nabi S.A.W membiarkan seorang arab badwi melakukan bid'ah dari segi membuang air kecil, kerana memahami "hati" sang badwi tadi.

Dengan kesucian hati inilah, kita akan dapat mendekatkan manusia kepada sunnah yang sebenar (rujuk Surah Ali Imran [3]:159). Oleh yang demikian, husnuz zhan akan berjalan, dengan sentiasa melihat betapa sang pelaku bid'ah itu sebenarnya tulus niatnya untuk beragama –seperti yang diungkapkan dalam kaedah fiqhiyyah "al-umur bi maqasidiha"- cuma tersilap tatacaranya. Maka memarahi dan "memancung" amalannya, sekadar menimbulkan kebencian dan menjauhi dirinya daripada agama. Tetapi ketika kita bisa bertoleransi dalam hal yang tidak sampai jatuh ke bid'ah yang jelas keharamannya, sambil memberikan pemahaman kepada orang yang ingin kita tegur tadi, maka –insyaAllah- kesucian hati kita akan menyebabkan "seluruh tubuh umat" pun menjadi baik juga. Umat yang telah jatuh cinta dengan sunnah dan memahami cara menentukan mana yang benar-benar sunnah, tentunya akan automatic meninggalkan hal-hal yang bid'ah. Dalam erti kata lain "jiwa daie, otak qih" .

Wallahu a'lam.



Ir. Faridul Farhan Abd Wahab 
P.Eng, MIEM, Sijil Pengajian Syari'ah

Monday 11 April 2011

Mereka Contoh Remaja

Pernahkah kita terbayang, siapa contoh yang terbaik untuk kita kagumi dan ikuti? Terdetikkah kita sejenak bahawa hidup yang kita lalui mungkin mengikut jejak contoh yang tidak baik? Setiap manusia pasti akan dipengaruhi seseorang di dalam perjalanan hidupnya. Baik bapanya,ibunya, sahabatnya, bapa saudaranya, atau mungkin juga watak lakonan kegemarannya.

Pengaruh mudah diterima seseorang apabila sifat kagum yang tinggi diletakkan pada seseorang yang lain. Mari kita semak semula, siapa agaknya yang mungkin telah kita terpengaruh dalam menentukan perjalanan kehidupan dan sikap/tabiat kita.

Wahai remaja sekalian, sewajarnya kalian meneliti semula watak contoh kita. Sewajarnya kita terus mencari ciri-ciri watak dan individu-individu yang baik untuk kita contohi. Baik individu itu ditontoni di kaca TV, dibaca didada akhbar dan majalah, dihayati & didengari dalam kisah sejarah dan seerah, dan tidak lupa yang diukir didalam kitab suci al-Quran.

Remaja, tahukah kalian siapa remaja Islam terhebat yang perlu kita kagumi dan contohi? Mari kita selidiki.

1) Zubair bin Al-Awwam.

Berapa umur beliau ketika memeluk Islam? Ibnu Hisham meriwayatkan bahawa Zubair memeluk Islam ketika usianya 16 tahun. Semenjak itu belia di sisi Rasulullah SAW dalam menyebarkan Islam.

Pernah dalam satu peperangan seperti yang digambarkan oleh anaknya Urwah: “Ketika kecilnya beliau telah berperang dan telah mematahkan tangan seorang lelaki, lalu lelaki tersebut bertemu dengan ibunya Sofiah lalu ibunya bertanya: “Kenapa dengan kamu?”, lelaki itu memberitahu bahawa Zubair telah mematahkan tangannya dalam peperangan, seraya ibunya melantunkan sebuah syair menggambarkan bahawa Zubair adalah seorang yang kuat tenaganya serta pantas langkahnya yang bisa menjatuhkan dan mengalahkan orang lain.

Ini bermakna, ketika di sekolah menegah atau di tingkatan 3 lagi Zubair telah bergiat dalam aktiviti Islam! Di bangku sekolah juga, Zubair telah mengalahkan musuh yang menentang Islam!

2) Talhah bin Ubaidullah

Talhah merupakan antara yang terawal memeluk Islam. Diriwayatkan, bahawa Talhah juga telah memeluk Islam seawal usia 15/16 tahun! Siapa Talhah yang perlu remaja kalian kagumi ini? Rasulullah menggelarkan beliau sebagai seorang "Syahid yang hidup". Ini kerana keadaan fizikalnya ketika itu yang sudah cedera akibat terlibat dengan banyak pertempuran bersama baginda.

Hadis Nabi berkenaan kehebatan beliau:
"Barangsiapa yang ingin melihat syahid yang sedang berjalan di muka bumi ini, lihatlah pada Talhah ibn Ubaidillah".

Adakah kecederaan yang di terima Talhah itu kerana kelemahannya dalam ilmu pertempuran? Tidak sama sekali, sesungguhnya luka dan cedera yang diterima Talhah adalah kerana pengorbanan beliau dalam melindungi dan mempertahankan Rasulullah daripada musuh-musuh di medan perang!

Remaja sekalian, siapa sebenarnya yang kalian sedang sanjungi dan contohi? Kisah dua sahabat di atas hanya 2 dari yang lain. Masih banyak yang menjadi remaja kegemilangan Islam. Masih berdegil dan terus bermimpi untuk mencontohi Juara Akademi Fantasia? Masih tergila kepada penyanyi remaja Justin Bieber? Atau mungkin watak Harry Porter?

Ayuh remaja sekalian, jejaki contoh yang terbaik, jadikan mereka sebagai impian dan ikutan. Mereka yang antaranya ialah Zubair dan Talhah. Semoga Allah bersama kalian.


Hasil Nukilan,
Abdullah Din Suhaimi

Futuwwah di SAMBEST

Pada 10 April 2011, Pengarah Urusan Futuwwah, Ir. Faridul Farhan Abd Wahab, telah dijemput untuk memberikan talk di Sek. Agama Menengah Bestari (SAMBEST), Subang Jaya bagi mengisi slot di antara Maghrib ke Isyak. Hadir sama ke program tersebut adalah 2 orang Senior Consultant Futuwwah, Sdr. Mohd Shahman Azmi dan Sdr. Saiful Mizan Saidin.

Dalam talk kali ini, Ir. Faridul telah menyentuh tentang bencana terkini yang menimpa negara Jepun, dari isu gempa bumi kepada isu Tsunami kepada kebocoran dan pencemaran radiasi yang berlaku di salah sebuah loji janakuasa nuklear di Fukushima. Sebagai seorang jurutera kanan di loji janakuasa tempatan, Ir. Faridul telah menerangkan juga kepada para pelajar tentang kemungkinan matahari terbit dari sebelah Barat berdasarkan teori kejuruteraan. Dengan memberikan contoh overhead crane dan lori pindah rumah, Ir. Faridul kemudiannya menyimpulkan betapa sebarang bencana mahu pun isu semasa tidak lagi harus dibatasi oleh sempadan geografi, seperti mana tragedi yang menimpa loji janakuasa nuklear Fukushima kini telah merebak dan memberi kesan kepada negara-negara lain. Oleh yang demikian, isu yang menimpa umat Islam di Palestin, Libya dan sebagainya, tidak lagi menjadi isu setempat, seperti juga bencana yang melanda negara Jepun.

Pihak Futuwwah mengucapkan terima kasih kepada pihak SAMBEST kerana sudi menjemput kami untuk berkongsi dengan adik-adik di sana.

Tuesday 5 April 2011

Captain Three Lions

Tiba-tiba, kem latihan pasukan bola sepak England kecoh dengan ura-ura arm band (lilitan ketua pasukan) milik jaguh Man. Utd., Rio Ferdinand bakal dilucutkan, untuk diserahkan kembali kepada “pendahulunya”, John Terry. Biar pun kecoh seketika, tetapi isu siapa yang bakal mengemudi pasukan The Three Lions ini bukanlah menjadi agenda utama, kerana yang paling mustahak ialah permainan bola sepak itu sendiri. Wajar, dua lagi tokoh kapten, sorang bernama Frank Lampard, dan yang sorang lagi bahkan memegang lilitan kapten itu di kelab asalnya, Liverpool -itulah Steven Gerard- langsung tidak menunjukkan “berahi” mereka untuk merebut gelar “kapten” itu. Hatta anak muda sepotensi Wayne Rooney pun –yang oleh banyak orang disebut-sebut mempunyai apa yang “diperlukan” untuk mengepalai The Three Lions- pun tidak menghangatkan keadaan dengan berbicara keinginan untuk bergelar “kapten.”

Ramai pemain yang berpotensi dalam sesebuah pasukan. Bahkan ramai juga yang punya bakat memimpin dan layak bergelar “kapten.” Tetapi daripada sekian banyak bintang di atas padang, hanya beberapa orang sahaja yang menyebut secara terbuka keinginan, keghairahan dan kemaruk diri mereka untuk bergelar “kapten.” Salah seorang daripadanya (yang menyatakan secara terbuka minatnya untuk menjadi kapten)  adalah David Beckham, yang akhirnya diserahkan tanggung jawab itu untuk beberapa tahun lamanya. Tetapi hakikatnya, seorang pemain bola akan sentiasa focus dan all out untuk pasukannya, bukan untuk jawatan kapten. Dan sebegitulah seharusnya dengan dai’e Islam.

Di dalam tarbiyah, kita disogokkan dengan kisah sahabat Nabi R.A dan juga kisah-kisah tabi’in. Anehnya, pelakuan, sikap dan jiwa kita terlalu jauh daripada kehidupan generasi ulung ini. Ini mungkin dek kerana kisah sahabat dan tabi’in ini sekadar “pemberian contoh”, bukan “dijadikan contoh.” Kita hanya membaca kisah mereka, tetapi tidak mengambil pelajaran dan menghidupkan panduan-panduan yang diberikan mereka di dalam kehidupan. Lalu berpecahlah dai’e-dai’e Islam sesama mereka, lantaran sebuah fenomena yang bahkan mampu dihidu oleh orang yang di luar kalangan mereka (baca: orang umum), iaitu fenomena hubbur riasah (cintakan pangkat dan kedudukan).

Para pendahulu kita, baik di kalangan para sahabat R.A mahupun para tabi’innya, sentiasa benci kepada jawatan, tetapi sentiasa terkehadapan dalam bab dakwah dan jihad. Perhatikanlah kata-kata salah seorang tokoh di kalangan tabi’in, tepatnya Abdul Rahman Al-Ghafiqi. Al-Ghafiqi, saat ditawarkan pangkat dan kedudukan oleh Gabenor Andalus Al-Samah Bin Malik, beliau bahkan menjawab;

“Wahai gabenor, saya ini rakyat biasa. Saya datang ke negeri ini untuk berada di barisan hadapan tentera Islam. Saya telah mewakafkan diri saya ini untuk mencari keredaan Allah. Saya hunuskan pedang saya ini untuk menegakkan kalimah Allah di muka bumi. Dengan izin Allah, engkau akan dapati saya akan sentiasa bersamamu selagi engkau berada di atas kebenaran. Saya adalah orang yang paling mentaatimu selagi engkau mentaati Allah dan rasul-Nya, kecuali dalam soal yang membabitkan kuasa dan kedudukan.”

Kita mempunyai ramai “tokoh” dan “pemimpin”, sayangnya kita kekurangan “pekerja” dan “mujahidin.” Sedangkan yang diperlukan oleh umat ini ialah “khadam” yang sentiasa berkhidmat untuk mereka, dan merasakan betapa jawatan yang paling hebat dan diidam-idamkannya hanya satu:- kuli kepada dakwah, hamba kepada Allah.

“Dan katakanlah: "Bekerjalah kamu, maka Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang mukmin akan melihat pekerjaanmu itu..”
(Surah at-Taubah [9]:105)

Marilah kita kembali ke barisan hadapan “pekerja” dakwah, bukan orang yang hanya mahu berada di posisi “mengarah” pasukan dakwah. Bahkan yang namanya “panglima” dakwah itu, tempatnya di saf hadapan, bukan hanya “mengaum” dari kejauhan.