Friday 30 September 2011

Mencari Sakinah

Apabila kita asyik duduk termenung memikirkan nasib diri di sini, merenung jauh mereka di sana hidup penuh keseronokan dan kegembiraan, namun masih tak sedarkah kita tentang hakikat erti kebahagiaan yang sebenar? -Dr MAZA




..wahai jiwa-jiwa yang tenang, kembalilah kepada TuhanMu dengan hati yang puas lagi diredhaiNya.. maka masuklah ke dalam jemaah hamba-hambaKu dan masuklah ke dalam syurgaKu..
 
(Al Fajr 27-30)


 MSMA
-Ya Rob, jadikanllah kami sebahagian dari hamba-hambaMu yang bersyukur-

Sunday 25 September 2011

Light-Emitting Diode (LED)

Hari ini, kebanyakan industri sudah mula beralih kepada lampu LED. Seperti juga t.v LED, biar pun lampu LED sedikit mahal berbanding lampu konvensional biasa (lampu fluorescent), ia mampu menghasilkan kecerahan yang sama seperti lampu konvensional, tetapi dengan menggunakan kuasa (kilowatt) yang lebih rendah. Maka, bila rendah kuasa kilowatt yang digunakan, maka rendahlah pula bil elektrik anda.

 

Oleh kerana LED adalah singkatan kepada Light-emitting Diodes, maka prinsip yang digunakan pun sudah tentu sama seperti diode juga. Diode, hanya mampu mengalirkan arus atau electron, pada satu arah sahaja. Oleh yang demikian, LED hanya beroperasi pada arus terus (D.C) sahaja. Jika arus datang daripada arah yang bertentangan, ia tidak akan dapat melalui sang LED tersebut.

 

Saudaraku,

Perhatikan hadith berikut;

 

“Janganlah ada di antara kamu yang menjadi “imma’ah” (pak turut atau “yes man”) yang (suka) berkata: aku bergantung kepada orang lain, kalau mereka baik, aku pun baik dan kalau mereka buruk, aku pun buruk.

Sebaliknya, hendaklah kamu tetapkan pendirian kamu (berprinsip). Jika manusia baik, kamu pun baik, dan apabila manusia (berkelakuan buruk), kamu menjauhi keburukan mereka”

(Riwayat Tirmidzi)

 

Ini bererti, seorang hero mukmin sejati, ia harus punya prinsip seumpama LED. Jika hal itu berkaitan dengan kebaikan, ia akan “alirkan” kebaikan itu kepada dirinya dan masyarakatnya. Sebaliknya, jika hal itu adalah keburukan, maka ia akan “tetapkan prinsipnya” dengan menjauhi keburukan itu, lantaran ia hanya “satu arah” sahaja, iaitu kebaikan. Lalu, dakwah pun menjadi “energy saving” lantaran tidak perlu tenaga banyak dan menuggu terlalu lama untuk melihat hasil dakwah di tengah-tengah masyarakat.

 

“Hai Nabi, kobarkanlah semangat para mukmin itu untuk berperang. Jika ada dua puluh orang yang sabar di antara kamu, niscaya mereka dapat mengalahkan dua ratus orang musuh. Dan jika ada seratus orang (yang sabar) di antaramu, mereka dapat mengalahkan seribu daripada orang-orang kafir, disebabkan orang-orang kafir itu kaum yang tidak mengerti.”

(Surah Al-Anfal [8]:65)

 

Namun, harus diingat, salah satu dis-advantage lampu,t.v dan lain-lain peralatan elektronik berasaskan LED ini ialah harganya yang mahal. Maka wajar, seorang hero mukmin sejati itu mahal harganya. Jika ia lelaki, dek kerana “mahal” dirinya, hanya wanita-wanita solehah dapat mencuri hatinya. Jika ia perempuan, ia umpama mawar berduri, maka hanya lelaki yang terbaik sahaja mampu memilikinya.

 

“Wanita-wanita yang keji adalah untuk laki-laki yang keji, dan laki-laki yang keji adalah buat wanita-wanita yang keji (pula), dan wanita-wanita yang baik adalah untuk laki-laki yang baik dan laki-laki yang baik adalah untuk wanita-wanita yang baik (pula)…”

(Surah An-Nur [24]:26)

 

Beralihlah kepada LED, kerana dakwah ini memang memerlukan hero mukmin sejati…

 

 

-penulis, Ir. Faridul Farhan Abd Wahab menaruh minat pada renewable energy yang berbeza daripada “taqlid” terhadap sumber dan sistem yang lama-

 

 

Thursday 15 September 2011

Malaysian Beckham

Firman Allah dalam ayat ke-2 Surah Ibrahim (# surah: 14):-

 

وَوَيْلٌ لِلْكَافِرِينَ مِنْ عَذَابٍ شَدِيدٍ

"…dan kecelakaan besar bagi orang-orang yang kufur ingkar (terhadap Al-Quran) dari azab yang amat berat."

 

Kenapa Allah mencelakakan orang-orang Kafir ini? Jawabnya:-

 

الَّذِينَ يَسْتَحِبُّونَ الْحَيَاةَ الدُّنْيَا عَلَى الْآخِرَةِ

"Orang-orang yang mengutamakan dunia lebih daripada akhirat…"

 

Benar, mencintai dunia melebihi Akhirat bukanlah satu-satunya sebab orang-orang Kafir mendapat kecelakaan. Di sana, pada sambungan muqaddimah ayat ke-3 Surah Ibrahim di atas, Allah juga memaklumkan di antara perangai orang-orang Kafir yang menjadikan mereka mendapat kecelakaan serta azab yang pedih, termasuk juga kerana mereka melakukan usaha-usaha penghalangan perkembangan dakwah ke jalan Allah, serta sering mengharapkan kebengkokan/ penyimpangan terhadap jalan yang benar ini.

 

الَّذِينَ يَسْتَحِبُّونَ الْحَيَاةَ الدُّنْيَا عَلَى الْآخِرَةِ وَيَصُدُّونَ عَنْ سَبِيلِ اللَّهِ وَيَبْغُونَهَا عِوَجًا ۚ أُولَٰئِكَ فِي ضَلَالٍ بَعِيدٍ

"Orang-orang yang mengutamakan dunia lebih daripada akhirat dan menghalangi manusia dari jalan agama Allah, serta menghendaki jalan itu menjadi bengkok terpesong, mereka itulah orang-orang yang terjerumus ke dalam kesesatan yang jauh terpesongnya."

 

Namun, sebagai orang yang beriman, mempunyai satu similiarity dengan sifat orang-orang Kafir sahaja, sudah suatu yang seharusnya menduka citakan. Apatah lagi similiarity ini adalah similiarity yang tidak seharusnya dimiliki oleh mereka-mereka yang mengaku beriman kepada Allah dan Rasul-Nya.

 

Benar, ada juga sifat orang-orang Kafir, yang tidak boleh tidak, pasti ada persamaannya dengan orang-orang Mukmin. Bahkan dengan manusia-manusia lainnya. Itulah sifat kemanusiaan yang Islam tidak pernah tentang, bahkan tidak pernah mencemuh, apa lagi mencelakakan manusia-manusia dengan sifat-sifat itu. Namun, ada juga sifat-sifat, yang hanya selayaknya dimiliki hanya oleh mereka-mereka yang tidak beriman pada Hari Kemudian sahaja.

 

Perhatikan ayat-ayat Surah Ibrahim tadi. Allah tidak menyebut bahawa antara sifat-sifat orang Kafir yang menyebabkan mereka beroleh azab yang pedih, lantaran mereka suka "makan" misalnya. Kerana orang-orang Mukmin pun, perlu makan. Atau mereka dilaknat, lantaran mereka "tidur" misalnya. Kerana perbuatan tidur itu, tidaklah merupakan suatu yang terlarang, apatah lagi menghinakan. Tetapi, ternyata sifat mencintai dunia melebihi Akhirat, adalah salah satu sifat yang akan menjerumuskan manusia ke lembah kebinasaan. Hingga wajar dijauhi oleh mereka-mereka yang roh Islam telah meresap masuk ke hatinya.

 

إِنَّ الَّذِينَ لَا يَرْجُونَ لِقَاءَنَا وَرَضُوا بِالْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَاطْمَأَنُّوا بِهَا وَالَّذِينَ هُمْ عَنْ آيَاتِنَا غَافِلُونَ

أُولَٰئِكَ مَأْوَاهُمُ النَّارُ بِمَا كَانُوا يَكْسِبُونَ

"Sesungguhnya orang-orang yang tidak menaruh ingatan akan menemui Kami (pada hari akhirat untuk menerima balasan) dan yang reda (berpuashati) dengan kehidupan dunia semata-mata serta merasa tenang tenteram dengannya dan orang-orang yang tidak mengindahkan ayat-ayat (keterangan dan tanda-tanda kekuasasaan) Kami.  Mereka yang demikian keadaannya (di dunia), tempat kediaman mereka (di akhirat) ialah Neraka; disebabkan keingkaran dan kederhakaan yang mereka telah lakukan."

(Surah Yunus [10]:7-8)

 

"ala..satu sifat je.." Betul, sekadar memiliki salah satu sifat, tentunya menyelamatkan kita daripada menjadi seorang Kafir, dek "pakej" sifat yang tidak lengkap. Tetapi, bukankah dengan satu similiarity, seharusnya menjadikan kita merasa rimas lantaran kita sudah one step further ke dalam golongan-golongan yang disesatkan?

 

Safee Sali (pemain bola sepak Malaysia) ketika dipelawa menjalani trial dengan pasukan Cardiff City , kita sudah riuh sekampung. Kebanggan kita bertambah, hidung semakin kembang, riuh semakin randah, tatkala akhbar mereka memuji aksi trial pertamanya, dengan memberi jolokan "Malaysian Beckham" kepadanya. Walhal, beliau masih di peringkat trial, dan Cardiff City, sekadar pasukan Divisyen Dua UK (di belakang EPL). Jadi, apa yang kecoh sangat? Jawabnya, kerana biar pun perjalanan Safee Sali ke pentas Eropah masih jauh, setidak-tidaknya, beliau sudah one step further ke sana.

 

Nah, apakah kita masih tidak terasa bahang, tatkala sudah one step further kepada kesesatan? Moga Allah suburkan kecintaan kepada Akhirat di dalam jiwa-jiwa kita, lalu melayulah kecintaan terhadap kehidupan dunia…

 

 

-penulis, Ir. Faridul Farhan Abd Wahab percaya bahawa cinta pada Akhirat harus dibaja dan disiram selalu-

 

 

Tuesday 13 September 2011

Islam: Antara Isi & Kulit

Buku terbesar mengenai Rasulullah diterbit Saya menggaru kepala apabila selesai membaca berita yang dimuatkan dalam Harian Metro bertarikh 24 Ogos 2011 lalu. Dalam berita itu, khabarnya Arab Saudi menerbitkan buku mengenai Rasullulah yang seberat  1600 Kg dan setebal 420 muka surat. Setiap muka surat berukuran 4x5 meter. Ditulis oleh Abdullah Al-Mosleh, Setiausaha Agung Organisasi untuk Mukjizat Saintifik Di dalam al-Quran dan akan diterjemahkan ke dalam 4 bahasa (tidak dinyatakan bahasa apa) serta akan di masukkan ke dalam Guinness Book of Records

Menurut berita itu lagi, tujuan utama buku itu ditulis adalah untuk “mempromosikan mesej Rasulullah dan memberi gambaran yang sebenar tentang kehidupan dan agama yang dibawa oleh beliau” “Penerbitan buku ini sangat penting waktu ini, ketika musuh Islam melancarkan serangan hebat untuk merosakkan imej beliau”.“ Selian menceritakan sirah Nabi Muhammad, ia juga dikatakan mempunyai 100 fakta saintifik mengenai Rasullullah yang berkait dengan perubatan, kejuruteraan dan pertanaian” kata Muhammad Al-Aulaqi, pengerusi Kumpulan Mashahid yang mengilhamkan penerbitan buku itu. (Sumber:Harian Metro, 24 Ogos 2011 )

Lucu,

Hairan,

dan pelik.

Itulah antara perkara yang saya fikirkan.

Kenapa sampai perlu dibuat seberat 1600 Kg, setebal 420 muka surat dan sebesar 4x5m?

Rupa-rupanya ada KPI yang ingin dicapai.

Guiness Book of Records!

Apa-apa pun sekali lagi Ummat Islam berbangga menunjukkan kejahilan mereka dalam mempamerkan Islam. Maaf! Mungkin sedikit kasar bahasa. Tetapai inilah fenomena yang terjadi pada Ummat Islam hari ini. Fokus mereka sudah tersasar jauh. Kita hanya melihat kepada perkara-perkara remeh bahkan seringkali perkara yang tiada manfaat. Saya tidak nafikan, mungkin ada ( itu pun jika ada) sedikit manfaat. Tetapi saya langsung tidak nampak faedah besar yang boleh dihasilkan dengan penerbitan KITAB GERGASI seperti ini. Alasan saya:

  1. Sebelum terbitnya buku ini, telah ada ratusan ribu buku yang ditulis tentang Rasulullah, diterjemah ke ribuan bahasa, bahkan dalam pelbagai bentuk sama ada yang bercetak mahupun eletronik.  Apakah itu tidak memadai? 
  2. Jika mengatakan buku bersaiz GERGASI ini menunjukkan kehebatan kita. Maka  jawapan saya begini: Orang bukan Islam berbangga dengan KITAB (IPAD, Tablet PC, Netbook, dsg) yg boleh memuatkan ribuan kitab digital, mudah dibawa ke sani-sini dan dibaca pada bila-bila masa. Malah dilengkapi dengan audio, video, terjemahan dan segala macam kemudahan. Maka dimana hebatnya KITAB GERGASI kita? 
  3. Adakah ada yang mahu membeli buku sebesar ini? Jika ada pun yang membelinya mudahkah dibawa kesana-sini (bas, komuter dll) untuk dibaca? Andai ada yang membelinya saya pasti ianya bukan untuk tujuan dibaca, sebalik hanya untuk dijadikan pameran di muzium-muzium,  disimpan di dalam almari kaca, disinari lampu Candlelight , dan dikawal rapi oleh pengawal! (harap Muzium Kesenian Islam Malaysia tidak membelinya). Lebih teruk lagi jika ada yang mengenakan tiket untuk melihat KITAB gergasi tersebut!
Kereta Islam
Lama sebelum itu, pada tahun 2007, Proton dikatakan akan bekerjasama dengan pengeluar kereta dari IRAN dan TURKI untuk mengeluarkan kereta berciri Islam. Bila terbaca sahaja tajuk begitu, saya terbayang-bayang bagaimana yang dikatakan kereta berciri Islam. Rupa-rupanya, menurut pengarah urusan Proton Holdings Bhd. pada ketika itu, Datuk Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahi, antara ciri kereta Islam tersebut ialah ia mempunyai kompas, bacaan kiblat, dan tempat meletak tudung serta al-Quran. Aduh! Islami sungguh kereta ini. Terbaik!

Sedih, marah, malu, dan lucu. Adakah kereta Islam yang diwarwarkan hanya mempunyai ciri-ciri seperti itu? Pengeluar kereta Jepun & Eropah sudahpun menggunakan GPS dan segala macam alatan canggih dan terkini, tetapi kereta Islami kita diisi dengan barangan zaman purba! Apakah perlu mewujudkan tempat letak tudung dan Al-Quran sedangkan sekian banyak ruang pada dashboard dan poket pada kerusi kereta yang boleh menempatkan barangan itu? Saya ingatkan kereta Islami tersebut berkualiti tinggi seperti kereta buatan Jepun & Eropah yang tahan lama, jimat minyak, mesra pengguna,system keselamatan yang tinggi, tidak mencemarkan alam dan sebagainya, rupa-rupanya hanya seperti itu!

Mujur ada yang menegur. Antaranya Dr. Syed Ali Tawfik al-Attas (Ketua Pengarah IKIM pada masa itu) yang menulis rencananya di dalam Utusan Malaysia bertarikh 18/11/2007. Ulasan dan komentar Ustaz Zaharuddin juga menarik untuk dikongsi.

Nah, isu yang sama. Kegagalan kita dalam memahami perkara isi. Kereta Islami yang kita tonjolkan hanya berupa “bentuk luaran” yang tiada maknanya. Sedangkan dari segi aspek keselamatan, penjimatan bahan api, mesra pengguna dan sebagainya kita abaikan. Bukankah Islam menjaga semua aspek tersebut (keselamatan penumpang, penjimatan, mesra alam dsbg). Seperti kata Ustaz Zaharuddin, silap-silap kereta jenazah juga lebih dianggap sebagai kereta Islam kerana penuh dengan ayat-ayat Al-Quran! Juga jangan sampai nanti timbul pula kereta Islam berbentuk kubah, berserban dan sebagainya! Sekarang, entah apa cerita. Idea kereta Islam sudah tidak kedengaran. Mujur ianya tidak diteruskan.

Capal Rasulullah
Saya juga masih ingat beberapa tahun yang lalu, heboh dipromosikan capal/selipar Rasulullah. Capal berbentuk seperti roket itu dikatakan capal yang mengikut bentuk seperti capal yang dipakai Rasullullah. Maka berduyun-duyunlah masjid dan surau seluruh negara borong sakan capal tersebut.Yang menjadi persoalannya disini ialah:
1) Bagaimana pegeluar capal tersebut tahu bentuk capal Rasululluah tersebut?
2) Jika benar sekalipun bentuk capal tersebut (itupun jika benar kerana sumber rujukan meraka yang meragukan) maka apakah bahan/material yang digunakan pada capal tersebut sama seperti mana yang Rasullullah gunakan? Sepanjang penelitian saya dan pengalaman menggunakan sendiri capal tersebut di masjid, kualitinya tidak ubah seperti selipar jepun biasa yang dibuat dari getah.  


Ironinya, capal tersebut hanya sesuai digunakan untuk ke tandas dan untuk mengambil wuduk!. Saya berasa teramat malu jika mahu mengaku pada orang bukan Islam yang capal tersebut mirip capal Rasullullah. Masakan tidak, pakai tidak sampai 2-3 bulan sudah putus!. Kualiti, jangan ditanya. Terkadang, selipar jepun pun jauh lebih tahan lasak daripada capal Rasullulah tersebut. Nasib baiklah fenomena capal Rasullullah ini tidak lama. Sekarang sudah sunyi sepi. Tidak lagi nampak kelibat capal Rasullullah di masjid-masjid dan surau. Mungkin jawatankuasa masjid sudah serik menggantikan berpuluh capal yang putus saban bulan agaknya. Nama pengeluar capal tersebut (tempatan) juga tidak lagi kedengaran!

Sekali lagi yang menjadi isu di sini ialah kegagalan ummat Islam dalam memahami  agama dan mengikuti sunnah.  Kita lebih mementingkan “kulit/bentuk” berbanding “isi”.  Lihat sahaja kualiti bahan yang digunakan pada capal tersebut. Mengecewakan! Kita berbangga dengan “sunnah” yang bukan sunnah. Rasullullah tinggal dipersekitaran padang pasir, berbatu dan panas, jadi mana mungkin baginda menggunakan capal yang seteruk itu. Sudah pasti baginda menggunkan capal yang tahan lasak!. Sunnah bentuk capal (itupun jika benar bentuk capal seperti yang didakwa) kita ikut, tetapi sunnah kualiti bahan yang digunakan pada capal kita tinggalkan.
Ketika mana pengeluar kasut bukan Islam gah mempromosikan selipar dan kasut buatan mereka yang tahan lasak, pelbagai guna, bahan berkualiti dan sebagainya, kita pula berbangga dengan capal Rasullulah (yang entah betul entah tidak) yang tarikh luputnya hanya 2-3 bulan!. Alangkah baiknya jika kita dapat mencipta selipar dan kasut yang boleh menandingi ciptaan orang bukan Islam. Umpamanya kasut yang jika kita memakainya boleh membuatkan kita bergerak lebih pantas, atau kasut yang tahan lasak berpuluh tahun dan sebagainya. Barulah kita boleh mendabik dada atas nama Islam. Itupun janganlah diletakkan nama capal atau kasut Rasullullah, tetapi khabarkan bahawa Islam mengajarkan ummatnya menghasilkan barang yang berkualiti dan bermanfaat buat manusia.


Roti Canai & Teh Tarik Angkasa
Ketika Malaysia mengumumkan mahu menghantar seorang rakyatnya mengikuti misi ke angkasa, maka timbullah cadangan bodoh supaya kita membawa sekali roti canai dan teh tarik bersama ke angkasa kerana kedua menu tersebut merupakan makan favourite rakyat Malaysia. Jadi, kita boleh bebangga dengan roti canai dan teh tarik angkasa. Maaf! saya tidak rasa Guinness World of Record pun mahu mencatatkan hal sebegini! Yang lebih menyedihkan, cadangan seumpama ini dikeluarkan oleh mereka yang berjawatan tinggi! (Anda boleh baca berita tersebut di sini, bukan sahaja roti canai & the tarik, batik dan sambal belacan juga mahu diangkut!) Mujurlah cadangan tersebut dibatalkan. 


Mengapa kita disibukkan dengan hal-hal sepele (remeh) begitu. Kita tidak nafikan sumbangan dan manfaat menghantar rakyat Malaysia ke angkasa.  Tetapi, orang ke angkasa untuk melakukan kajian berkaitan cuaca, astronomi, dan sebagainya sedangkan kita sibuk fasal makanan! Cadangan supaya mencari kaedah bagimana cara untuk mengekalkan ketahanan roti canai dan teh tarik tersebut amat dangkal. Pada saya, paling tidak, cadangan seperti bagaimana mahu menghasilkan makanan yang boleh mengenyangkan untuk tempoh beberapa hari, bentuk makan yang diubahsuai kepada pil & kapsul dan cecair dan sebagainya yang lebih utama.

Ini kerana di dalam kapal angkasa, ruang terhad, kemudahan air dan tempat simpanan juga terhad. Begitu juga dengan tempat untuk bahan buangan. Jika makanan dibawa dalam bentuk yang asal (seperti beras, roti canai, gandum , dsbg) maka ianya akan menggunakan space yang banyak. Masakan tidak, makanan dalam bentuk pepejal akan menghasilkan bahan buangan yang banyak. Maka tempat bahan buangan juga perlu difikirkan. Jadi, makanan dalam bentuk pil dan cecair lebih sesuai digunakan. Maka, lebih logik jika kita buat kajian fasal benda-benda ini. Atau, paling tidak, kita mampu memberi idea sebegini. Alahai, sudah-sudahlah Malaysia! Jangan biarkan masyarakat luar tertawakan kita!


Kulit Vs Isi
Terbesar,

Tertinggi,

Terkecil,

Terbanyak,

dan segala macam “ter-“ lagi yang kita kejar.

Jika ada manfaat yang besar buat ummat Islam dan manusia, maka kita tidak pertikaikan. Tetapi, realiti yang berlaku di dunia Islam hari ini, banyak “ter-“ itu lebih kepada mencari populariti dan untuk mendapatkan pengiktirafan yang tidak kemana. Adakah anda bangga dengan buku terbesar mengenai Rasullullah? Atau Hotel tertinggi di Dubai? Juga Al-Quran terkecil?

Sebab itu Islam mementingkan kualiti dan pengisian, bukan binaan dan bentuk.Kita bimbang fenomena ‘gila' rupa bentuk Islam tanpa isi akan membawa salah faham terhadap Islam yang sebenarnya. Akhirnya Islam dipandang serong kerana kejahilan umatnya.

MSMA
13 September 2011