Tuesday 31 January 2012

SPAM

Bagi anda yang terbiasa menjadikan email syarikat sebagai email utama anda, tentunya anda biasa menggunakan applikasi Microsoft Outlook. Microsoft Outlook atau cuma “Outlook” –begitulah ia biasa dipanggil- merupakan sebuah perisian seperti perisian-perisian email yang lainnya, yang lazim digunakan oleh syarikat-syarikat besar sebagai medium komunikasi maya utamanya. Dan di antara folder yang terkandung di dalam Outlook, adalah folder “Junk E-Mail”, sebuah folder yang sepatutnya menempatkan sebarang email yang disyaki sebagai junk email atau pun spam, baik spam kerana contentnya, mahupun spam kerana pengirimnya.

 

Saudaraku,

 

Begitu saya dan sahabat-sahabat dari syarikat Futuwwah selesai menganjurkan sesebuah program –seperti program motivasi sekolah hujung minggu lalu- lazimnya kami akan menawarkan kepada peserta-peserta sebuah program follow up yang bakal berlangsung secara rutin, insyaAllah. Dan sebelum berlangsungnya pertemuan-pertemuan follow up ini, saya akan berpesan kepada adik-adik peserta sejak awalnya, jika anda sudi hadir, harap anda akan membawa 3 perkara ini;-

 

1)      Al-Quran terjemahan. Siapa yang tiada atau belum ada Al-Quran terjemahan, usahakanlah untuk beli sebuah. Kerana tiada ruginya jika anda memiliki Quran terjemahan, apatah lagi andainya anda meyakini bahawa Quran itu adalah panduan dan pedoman hidup, maka sewajarnya anda memiliki Quran terjemahan, untuk anda baca, renung dan ambil iktibar dalam melayari kehidupan nan fana ini.

 

Namun, jika anda memang dah pakar di dalam Bahasa Arab, maka tidak perlulah Al-Quran terjemahan, bawa saja Quran yang sebenar ke pertemuan kita nanti.

 

2)      Catatan. Melainkan anda mempunyai daya ingatan sehebat Imam Syafi’e, atau ulamak-ulamak lainnya, maka tidak perlulah anda catat apa yang kita bakal bincangkan sepanjang pertemuan kita nanti.

 

3)      Hati yang ikhlas. Kerana tanpa hati yang ikhlas ini, segala apa yang kita bakal kongsikan dan bincangkan, akan menjadi spam atau junk mail kepada diri anda. Lalu wajar, anda akan tetap menjadi diri anda, biarpun selepas kita berprogram. Sebelum dan selepas, seakan tiada perbezaan yang berjaya dikecap.

 

Tapi, andai anda sudi meletakkan kami di luar “blocked sender list” anda, atau tidak menjadikan kata-kata kami sebagai bahan spam dalam hati anda, insyaAllah kebaikan kita akan bisa raih bersama.

 

Saudaraku,

 

Manusia yang tidak bisa meraih manfaat daripada orang lain, boleh jadi kerana mereka sejak awal lagi telah mengkategorikan orang itu dalam senarai spam mailnya. Oleh itu, sangat wajar kita menjadikan pesanan Saydina Ali, betapa “dengarlah apa yang dikatakan, jangan pandang siapa yang berkata” sebagai pedoman hidup kita. Moga lebih banyak “inbox” yang menyinggahi gedung ilmu umat ini.

 

-Ir. Faridul Farhan Abd Wahab “jadikan dosa bahan spam anda”-

 

 

 

Tuesday 24 January 2012

إذا كنت ذا رأي فكن ذا عزيمة…. فإنّ فساد الرأى ان تترددا

 "Jika kamu seorang yang mempunyai pandangan, maka jadilah juga seorang yang mempunyai pendirian. Sesungguhnya suatu pandangan itu akan menjadi rosak, hanya kerana kamu berbelah bagi"

-Abu Tayyib Al-Mutanabbi (915 ~ 965M)-

 

 

Friday 20 January 2012

Mulut Hati

“Kami menulis ini bukan kerana tidak ada pekerjaan, dan bukan pula kerana ada yang mau membacanya. Kami menulis kerana kami merasa ada nasihat yang harus kami sampaikan kepada ikhwah pengemban dakwah, sebagai satu bentuk partisipasi kami dalam ‘perjalanan’ yang diberkati ini. Perjalanan menegakkan dien dan meninggikan panji-panjinya.”

-Dr. Abdullah Azam (Mujahidin ulung jihad Afghanistan)-

 

Ada pepatah menarik yang dikongsikan oleh Trainer “Kursus Menguruskan Harta Pusaka /Faraidh yang saya hadiri hari Jumaat yang lepas. Konon, dalam menggambarkan perbezaan antara seorang lelaki dan seorang wanita; “hati perempuan letaknya di mulut. Mulut lelaki letaknya di hati.” Ternyata, banyak kebenaran juga pepatah ini (bukan pepatah sebenarnya, tetapi lebih kepada kiasan orang zaman sekarang).

 

Orang perempuan, dek kerana hatinya “terletak” di mulut, kerana itulah –barangkali- mereka suka membebel. Satu lagi, mereka (perempuan) ingin mendengar ucapan cinta terbit daripada mulut suami mereka. Berbeza dengan orang lelaki, dek kerana mulutnya terletak di hati, mereka lebih suka memendam perasaan. Kurang membebel, serta sukar mengungkapkan kata cinta. Hingga, akhbar tempatan pada hari Ahad yang lepas melaporkan konon seorang artis terkenal mentweet di dalam tweeternya, lebih kurang (maksudnya, coz dia guna Bahasa Inggeris..) “mudah untuk mengungkapkan I love You. Tapi sulit untuk memaksudkan/ mengikhlaskan ungkapan itu di dalam hati..”

 

Saudaraku,

Sama ada anda setuju atau tidak dengan pepatah/ ungkapan di atas, sedar tidak sedar, ianya sangat dekat dengan diri seorang aktivis dakwah. Terkadang, hati sang aktivis dakwah berada di mulutnya. Hingga, setiap patah perkataan yang terbit dari mulutnya, justeru lahir tulus dari hatinya. Seperti mana manis bicaranya, sebegitulah jernih isi hatinya. Hingga –dek kerana tidak mengharap melainkan keredhaan Allah dan petunjuk hidayah menyinari orang yang diserunya- biarpun dilecture, dikhutbah oleh orang-orang yang Jahil, yang terbit daripada mulut sang aktivis tidak lain melainkan ungkapan penuh kesejahteraan, kata-kata penuh kedamaian, doa petunjuk penuh kebaikan:

 

“Dan hamba-hamba Tuhan Yang Maha Penyayang itu (ialah) orang-orang yang berjalan di atas bumi dengan rendah hati dan apabila orang-orang jahil menyapa mereka, mereka mengucapkan kata-kata yang baik.”

(Surah Al-Furqan [25]:63)

 

Ia umpama sepohon pokok: mereka melemparinya dengan batu, ia justeru membalas dengan menghadiahkan buah yang ranum.

 

Terkadang pula, di saat yang lain, mulut sang aktivis disemadikan di hati. Hingga, jiwanya tetap besar di saat kedukaan, demi melayani, demi menyantuni dan demi  membahagiakan insan yang lain. Air matanya terlalu mahal untuk ditumpahkan di depan khalayak, lantaran ketegaran, kesabaran, ketahanan dan ketabahan harus ia pamerkan, agar dapat memperkuatkan manusia di sekelilingnya. Ia menjadi umpama robot [1]: tak punya perasaan, atau –yang terlebih tepatnya- dilayan bak tiada perasaan.

 

“Sesungguhnya telah datang kepadamu seorang rasul dari kaummu sendiri, berat terasa olehnya penderitaanmu, sangat menginginkan (keimanan dan keselamatan) bagimu, amat belas kasihan lagi penyayang terhadap orang-orang mukmin.

Jika mereka berpaling (dari keimanan), maka katakanlah: "Cukuplah Allah bagiku; tidak ada Tuhan selain Dia. Hanya kepada-Nya aku bertawakal dan Dia adalah Tuhan yang memiliki Arasy yang agung"

(Surah At-Taubah [9]:128-129)

 

Maka wajar, Dzat Yang Maha Agung, Allah Azza Wa Jalla memberikan penghargaannya kepada para aktivis, lantaran “peranan” lelaki dan wanita yang sering ia mainkan.

 

“Tidaklah sama antara mukmin yang duduk (yang tidak turut berperang) yang tidak mempunyai uzur dengan orang-orang yang berjihad di jalan Allah dengan harta mereka dan jiwanya. Allah melebihkan orang-orang yang berjihad dengan harta dan jiwanya atas orang-orang yang duduk satu derajat. Kepada masing-masing mereka Allah menjanjikan pahala yang baik (surga) dan Allah melebihkan orang-orang yang berjihad atas orang yang duduk dengan pahala yang besar,

(yaitu) beberapa derajat daripada-Nya, ampunan serta rahmat. Dan adalah Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”

(Surah An-Nisa’ [4]:95-96)

 

Hargailah para aktivis dakwah. Curahkanlah empati kepada mereka, kerana hati yang terbit di mulut, dan mulut yang dipendamkan di hati, justeru menjadikan mereka orang yang terhormat.

 

" Kita tidak boleh takabur dengan mencari nama, tetapi kita tidak terlarang berusaha mencari kehormatan dengan memperbaiki budi sendiri. Gila hormat tidak boleh. Tetapi menjadi orang yang terhormat, haruslah jadi tujuan hidup"

-Pak Hamka-

 

Biasa dengar mata hati? Maka kini dengarkanlah pula “mulut hati.”

 

 

[1]        http://faridul.wordpress.com/2008/02/01/daie-islam-umpama-robot%E2%80%A6-penghargaan-buat-para-pembaca/

 

 

-Ir. Faridul Farhan Abd Wahab “Tuhan, maniskanlah mulut hatiku”-