Wednesday, 7 November 2012

[copy&paste]: Konsep Ulama' dan Kepimpinannya

"Siapa yang dikatakan Ulama? Siapa yang beri dia pangkat Ulama?" pertanyaan begini sering timbul.

 

"Kalau kita nak lantik Ulama sebagai ketua, apa kriteria yang menentukan seseorang itu Ulama atau tidak?" soalan dikaitkan pula dengan perjawatan dan perlantikan.

 

Apabila seseorang menggali khazanah Islam untuk mencari takrif Ulama, sempit pula dada memikirkan bahawa Ulama seperti itu hanya seperti sebutir pasir di tepian pantai di hari ini. Terlalu sukar untuk dicari calon yang memenuhi kriteria seperti yang dinukilkan.

 

Kesulitan itu bertambah lagi apabila Ulama mahu diangkat sebagai pemimpin. Timbul pula persoalan berkaitan kesarjanaan, apakah ia sinonim dengan kepimpinan?

 

KELUASAN TAKRIF

 

Mungkin pendapat-pendapat yang pelbagai tentang takrif Ulama itu, adalah sebagai petanda kepada luasnya cakupan makna bagi kalimah Ulama, yang disebut dua kali di dalam al-Quran, tetapi tidak diperincikan seperti Allah memperincikan perihal harta pusaka atau wanita mahram, di dalam al-Quran. Ruang yang diberikan tanpa perincian itu bertujuan untuk menyediakan unsur keanjalan pada mendefinisikan Ulama sesuai dengan peredaran zaman, tahap keilmuan dan ketamadunan manusia serta keperluan-keperluan yang diperlukan dalam urusan awam merentas masa.

 

Hanya satu sifat yang melangkaui segala perubahan zaman dan keadaan, bahawa Ulama adalah manusia yang takut kepada Allah:

 

 وَمِنَ النَّاسِ وَالدَّوَابِّ وَالْأَنْعَامِ مُخْتَلِفٌ أَلْوَانُهُ كَذَٰلِكَ ۗ إِنَّمَا يَخْشَى اللَّهَ مِنْ عِبَادِهِ الْعُلَمَاءُ ۗ إِنَّ اللَّهَ عَزِيزٌ غَفُورٌ

"Sesungguhnya, yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah dari kalangan hamba-hambaNya hanyalah orang-orang yang berilmu (Ulama). Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Pengampun." [Faathir 35: 28]

 

Bagaimanakah soal takut kepada Allah ini dapat diukur untuk menentukan siapa yang Ulama dan siapa yang bukan Ulama? Justeru kita bertemu dengan himpunan definisi yang pelbagai oleh sarjana Islam sepanjang zaman yang kesemuanya menjurus kepada makna komitmen penuh seorang hamba kepada segala kehendak, perintah dan larangan Allah Subhanahu wa Ta'aala.

 

KRITERIA NABI

 

Namun, Ulama sebagai pewaris para Nabi, bagaimanakah kualiti yang ada pada seorang Nabi, untuk pewarisan itu menepati kriterianya?

 

Allah Subhanahu wa Ta'aala membantu kita mengungkai persoalan ini melalui dua kisah yang terdapat di dalam al-Quran tentang Musa dan Yusuf 'alayhima al-Solaatu wa al-Salaam.

Tatkala dua orang anak perempuan Nabi Shuaib menemukan Musa dengan bapa mereka berdua, salah seorangnya berkata kepada ayahanda mereka dengan ungkapan yang diabadikan di dalam al-Quran:

 

 قَالَتْ إِحْدَاهُمَا يَا أَبَتِ اسْتَأْجِرْهُ ۖ إِنَّ خَيْرَ مَنِ اسْتَأْجَرْتَ الْقَوِيُّ الْأَمِينُ

"Salah seorang di antara perempuan yang berdua itu berkata: "Wahai ayah (Shuaib), ambilah dia (Musa) bekerja, Sesungguhnya sebaik-baik orang yang ayah ambil bekerja ialah orang yang QAWIYY, lagi AMEEN" [al-Qasas 28: 26]

 

Penjelasan tentang kriteria Musa yang menjadikan beliau sebagai manusia yang paling berkelayakan untuk diupah bekerja diungkapkan sebagai Qawiyy dan Ameen. Pembahagian kualiti Musa kepada dua dimensi Qawiyy dan Ameen ini sangat berguna dalam memahamkan kepada kita apakah yang Allah Subhanahu wa Ta'aala kehendaki dari seorang hamba berkaitan dengan kelayakan dirinya.

 

Sheikh al-Islam Ibn Taimiyyah membahaskan perkara ini di dalam kitabnya, al-Siyasah al-Syar`iyyah fi Islah al-Ra`i wa al-Ra`iyyah sebagai memudahkan kita mengukur kelayakan.

QAWIYY itu bermaksud kekuatan, keupayaan, kemahiran dan segala yang diperlukan untuk sesuatu tugasan itu dilakukan mengikut spesifikasinya. Di dalam bahasa semasa, kalimah Qawiyy ini boleh difahami sebagai nilai KOMPETENSI.

 

AMEEN pula merujuk kepada sifat amanah, bertanggungjawab dan segala kualiti akhlaq seseorang yang mudah untuk difahami sebagai nilai INTEGRITI.

 

Sudah tentulah di dalam suatu pekerjaan, kelayakan tertinggi ialah pada seseorang yang memiliki nilai integriti dan kompetensi yang sama tinggi. Namun realitinya, manusia ada pasang surutnya pada kedua-dua dimensi kelayakan ini. Ada tugasan yang memerlukan keutamaan integriti, ada tugasan yang mesti mengutamakan kompetensi.

Bagi tugasan menguruskan gembala kambing seperti yang bakal dilakukan oleh Musa 'alayhi al-Salaam, QAWIYY (kompetensi pada kekuatan fizikal dan kemahiran menggembala) disebut dahulu sebagai yang utama, berbanding sifat AMEEN (integriti).

 

Akan tetapi bagi tugasan yang bersangkutan dengan menguruskan harta dan wang, integriti dan kompetensi sama penting, dengan keutamaan diberikan kepada integriti berbanding kompetensi. Lalu tatkala Yusuf 'alayhi al-Salaam meminta agar dirinya diposisikan kepada pengurusan perbendaharaan negara, beliau berkata: 

 

قَالَ اجْعَلْنِي عَلَىٰ خَزَائِنِ الْأَرْضِ ۖ إِنِّي حَفِيظٌ عَلِيمٌ

Yusuf berkata: "Jadikanlah daku pengurus perbendaharaan hasil bumi (Mesir); Sesungguhnya aku adalah seorang yang teliti dalam penjagaan (HAFEEZ), lagi mengetahui cara mentadbirkannya (ALEEM)" [Yusuf 12: 55]

 

HAFEEZ itu adalah soal integriti manakala ALEEM pula merujuk kepada ilmu serta kemahiran sebagai nilai kompetensi baginda.

 

Apakah input yang diperlukan untuk mengangkat manusia yang ULAMA berada dari kotak 2 dan 3 kepada Quadrant Par Excellence di kotak 4?

 

Di sinilah jawapan kepada kayu mengukur kriteria Ulama' iaitu pada keupayaannya mematuhi seluruh hukum Tuhan pada Syariatullah dan Sunnatullah. Seorang alim yang takutkan Allah bukan hanya takut melanggar hukum Syariat malah juga hukum Sunnatullah. Bukanlah seorang itu dikatakan takutkan Allah apabila dirinya berilmu tinggi tentang halal dan haram, tetapi tidak berasa apa-apa melanggar hukum alam pada pekerjaan dan kehidupannya sedangkan hukum alam itu adalah Sunnatullah yang juga merupakan tuntutan Allah ke atas kita.

 

Justeru, sebelum Allah Subhanahu wa Ta'aala mengisytiharkan bahawa manusia yang paling takut kepada-Nya adalah para Ulama, Allah Subhanahu wa Ta'aala menjelaskan terlebih dahulu senario-senario yang tidak mungkin difahami kecuali oleh manusia yang menjunjung Syariatullah bersama Sunnatullah.

 

 وَإِن يُكَذِّبُوكَ فَقَدْ كَذَّبَ الَّذِينَ مِن قَبْلِهِمْ جَاءَتْهُمْ رُسُلُهُم بِالْبَيِّنَاتِ وَبِالزُّبُرِ وَبِالْكِتَابِ الْمُنِيرِ

Dan jika mereka (yang kafir itu) mendustakanmu, (maka yang demikian itu tidaklah menjadi hal) kerana sesungguhnya orang-orang yang terdahulu sebelum mereka telah juga mendustakan (Rasul masing-masing), mereka telah didatangi Rasul-rasulNya dengan membawa keterangan-keterangan (mukjizat) yang nyata dan Kitab-kitab (nasihat pengajaran) serta Kitab-kitab (Syariat) yang terang jelas.

 

ثُمَّ أَخَذْتُ الَّذِينَ كَفَرُوا ۖ فَكَيْفَ كَانَ نَكِيرِ

Kemudian Aku timpakan orang-orang kafir itu dengan azab yang membinasakan, maka perhatikanlah bagaimana buruknya akibat kemurkaanKu.

 

أَلَمْ تَرَ أَنَّ اللَّهَ أَنزَلَ مِنَ السَّمَاءِ مَاءً فَأَخْرَجْنَا بِهِ ثَمَرَاتٍ مُّخْتَلِفًا أَلْوَانُهَا ۚ وَمِنَ الْجِبَالِ جُدَدٌ بِيضٌ وَحُمْرٌ مُّخْتَلِفٌ أَلْوَانُهَا وَغَرَابِيبُ سُودٌ

Tidakkah engkau melihat bahawa Allah menurunkan hujan dari langit, lalu Kami keluarkan dengan air hujan itu buah-buahan yang berlainan jenis dan rupanya; dan di antara gunung-ganang pula ada yang mempunyai jalur-jalur serta lorong-lorong putih dan merah, yang berlainan warnanya (tua dan muda) dan ada juga yang hitam legam;

 

وَمِنَ النَّاسِ وَالدَّوَابِّ وَالْأَنْعَامِ مُخْتَلِفٌ أَلْوَانُهُ كَذَٰلِكَ ۗ إِنَّمَا يَخْشَى اللَّهَ مِنْ عِبَادِهِ الْعُلَمَاءُ ۗ إِنَّ اللَّهَ عَزِيزٌ غَفُورٌ

Dan demikian pula di antara manusia dan binatang-binatang yang melata serta binatang-binatang ternak, ada yang berlainan jenis dan warnanya? Sesungguhnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah dari kalangan hamba-hambaNya hanyalah orang-orang yang berilmu (Ulama). Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Pengampun. [Faathir 35: 25-28]

 

Ya…

 

Keterangan itu menjelaskan bagaimana seluruh hidupan di alam ini patuh kepada ketetapan-ketetapan Allah Subhanahu wa Ta'aala. Itulah cara mereka takut dan khusyu' kepada Allah, iaitu dengan menjalani kehidupan ini sesuai dengan hukum alam iaitu hukum Allah 'Azza wa Jalla yang Maha Esa. Jika seluruh makhluk di alam ini hidup dengan kepatuhan yang sedemikian rupa, bagaimanakah pula dengan manusia? Kemusnahan kaum-kaum yang engkar kepada perintah Allah (melanggar Syaritullah) adalah hukum Allah ke atas manusia (Sunnatullah).

 

Mampukah dikatakan seseorang itu takutkan Allah, dan dia adalah seorang yang Alim (Ulama), andai dia bersolat khusyu', menjaga halal dan haram dalam kehidupan tetapi dalam masa yang sama menentang hukum alam?

Dia Syariatik.

 

Tetapi dia tidak Saintifik.

 

Dengan ilmu Syariat, dilabelkannya manusia yang menolak Syariat sebagai golongan sekular. Tetapi dalam masa yang sama dia menolak hukum Sains (Sunnatullah) yang sebenarnya menjadikan dirinya juga sekular on the other side of the same coin.

 

KESARJANAAN ERA OTHMANIYYAH

 

Hal ini sangat ketara pada kaedah pembinaan tsaqafah (ilmu dan pemikiran) seseorang untuk melayakkan dirinya dianggap sebagai Ulama' di era Othmaniyyah. Taskopruluzade Ahmet(1495 – 1561), seorang encyclopaedist Othmaniyyah yang terkenal dengan kitabnya Shakaik al-Nu'maniya telah menjelaskan klasifikasi ilmu seorang yang diiktiraf sebagai Alim Ulama. Ilmu-ilmu yang perlu dikuasai adalah:

 

  • The calligraphic sciences: writing implements, styles of writing, etc
  • The oral sciences: the Arabic language amd phonetics, lexicography, etymology, grammar and syntax, rhetoric, prosody, poetry, composition, history and other literary sciences.
  • The intellectual sciences: logic and dialectics.
  • The Spiritual sciences:
  • The theoretical rational sciences: general theology, natural sciences, mathematics.
  • The practical rational sciences: ethics, political sciences.
  • the theoretical religious sciences: the Quran and Sunnah, the sciences devoted to their interpretation – Quranic exegesis, the study of prophetic traditions, Islamic theology and the principles of Islamic law and jurisprudence.
  • The practical religious sciences: practical ethics, etiquette, ihtisab, and all subjects relating to Muslim life and worship.

The Ottoman Empire: The Classical Age 1300 -1600 by Halil Inalcik (1997), page 165.

 

Inilah kriteria individu yang dikenali sebagai kelompok Sarjana atau Ulama di era Othmaniyyah. Kriteria inilah yang diletakkan untuk kelayakan seseorang itu mengisi jawatan mudarris, kadi, mufti dan seterusnya Sheikh ul-Islam.

 

Kesimpulannya, seorang saintis yang menolak hukum Syariat bukan sarjana dan bukan Ulama. Manakala seorang ustaz atau tuan guru yang menolak hukum Sains juga bukan sarjana dan bukan Ulama. Kedua-duanya adalah kelompok songsang yang tidak takut kepada Allah.

 

DEWAN ULAMA DAN INTELEKTUAL ISLAM

 

Al-Marhum Ustaz Yusuf Rawa dalam kenangan. Kembali ke Rahmatullah pada April 2000

Semasa Muktamar PAS berlangsung pada tahun 1983, Ustaz Yusuf Rawa yang mempelopori konsep Kepimpinan Ulama sebagai reaksi kepada peralihan era Dato' Asri Muda kepada kepimpinan yang baru, beliau (Ustaz Yusuf Rawa) telah menukar nama Dewan Ulama PAS kepada Dewan Ulama dan Intelektual Islam.

 

Katanya:

Pembinaan kembali insan Muslim menerusi program pendidikan dan tarbiyyah akan dikendalikan perlaksanaannya oleh Dewan Ulama dan Intelektual Islam yang akan diberi tugas dan peranan penting dalam penyusunan baru organisasi Parti Islam.

 

Para Ulama dan intelektual Islam merupakan gabungan tenaga yang penting dalam usaha memupuk dan meningkatkan kesedaran Islam di kalangan ummah. Seluruh tenaga PAS di peringkat ahli-ahli dan pimpinan mestilah turut secara aktif bagi membantu para Ulama dan intelektual Islam itu melaksanakan tanggungjawab yang diberikan kepada mereka dalam suasana baru itu.

 

Perubahan Dewan Ulama kepada Dewan Ulama dan Intelektual Islam juga bertujuan untuk memadukan Ulama dan intelektual Islam sekali gus menghapuskan jurang perbezaan keilmuan yang wujud di kalangan mereka dan mengadunkan ilmu serta pengalaman masing- masing dalam konsep, matlamat dan peranan ilmu dalam Islam sehingga dualisma yang memisahkan ilmu Syariat dan ilmu akliyyah itu dihapuskan!

-[Kamaruddin Jaafar (ed.) : Memperingati Yusuf Rawa, pp. 55-66]

 

Sungguh hebat kenyataan Ustaz Yusuf Rawa ini kerana ia sudah pun dibentangkan seawal tahun 1983. Gagasan Kepimpinan Ulama yang diusahakan beliau bukanlah suatu gerakan untuk menghasilkan para MULLAH sebagaimana yang dirisaukan oleh al-Marhum Ustaz Abu Bakar Hamzah. Sebaliknya ia adalah gagasan untuk merawat paradigma sekular sama ada sekular pada menolak agama, atau sekular pada menolak intelektual sains. Ulama yang berkelayakan memimpin ialah ulama yang harmoni pada konsep ini.

 

Apa yang diperlukan oleh PAS untuk memenangkan Islam, adalah para ideologue yang pemikirannya telah dirawat daripada dualisma sekularisma yang memisahkan di antara ilmu Syariat dan ilmu akliyyah itu tadi.

 

Tetapi, apa yang berlaku, hanyalah kepada memadukan golongan Ulama dan intelektual ini di dalam kebersamaan mereka bekerja di dalam satu parti, tetapi memadukan pemikiran, paradigma dan pandangan hidup (worldview) masih belum berlangsung dengan baik.

Golongan agamawan berjaya duduk semeja dengan golongan profesional tetapi proses memadukan disiplin dan ilmu masing-masing tidak berlaku. Golongan agamawan melihat banyaknya bahagian mereka yang perlu dipelajari oleh golongan profesional, tetapi tidak pula jelas pada melihat apa yang perlu agamawan ini ambil daripada disiplin dan ilmu golongan profesional seperjuangannya itu tadi.

 

Pergeseran di antara golongan Ulama' dan profesional, dalam mendefinisikan kelayakan kepimpinan, menunjukkan bahawa cita-cita al-Marhum Ustaz Yusuf Rawa masih jauh dari realiti yang ada. Golongan profesional yang sekular mungkin tidak akan mendekatkan diri kepada PAS, tetapi masalah yang besar ialah bagaimana pula dengan ustaz sekular yang menolak ilmu aqliyyah, Sunnatullah atau ilmu Sains di dalam PAS?

 

Justeru, dalam suasana PAS sedang bergerak menuju kepada kepimpinan negara, keperluan untuk menguasai ilmu secara holistik bagi menghasilkan response yang tepat kepada kemajmukan Malaysia, kecamukan ideologi di dalam politik, ekonomi dan sosial serta gelombang globalisasi yang begitu meruncing, sentimen pergeseran di antara golongan agamawan dengan profesional, hanya akan mengheret PAS berpatah balik ke belakang, lebih ke belakang daripada 1983 yang telah didefiniskan dengan tepat dan jelas oleh al-Marhum Ustaz Yusuf Rawa.

 

Sesungguhnya kelayakan memimpin bukanlah pada agamawan atau Profesional, tetapi pada kemurnian aqliyyah Islam yang dicernakan di dalam kriteria Nabi Musa dan Nabi Yusuf yang kita warisi perjuangannya itu. Itulah ULAMA yang HAKIKI.

 

Kepimpinan Ulama bukan slogan atau retorik, tetapi satu agenda yang menuntut perubahan. Mengubah pemikiran agar berubah pendekatan dan kaedah perjuangan.

 

Selamat maju jaya, buat sekalian pejuang agama!

 

 

HASRIZAL
43000 BSP

Sumber: http://saifulislam.com/?p=227

 

 

Thursday, 6 September 2012

[copy&paste]: FIQH TAWAQQU' - FIQH RAMALAN

Dalam al-Muwafaqat, al-Imam al-Syatibi mencadangkan satu teori fiqh yang disebut sebagai maalat al-Af'al, iaitu melihat kepada implikasi terhadap sesuatu tindakan.

Antara dalil-dalil bersumber dari nas dalam menyatakan bahawa wujudnya fiqh maalat al-'af'al ini adalah seperti berikut;

 

Pertama:

 

Dari sudut hukum asal, memaki sembahan-sembahan selain Allah adalah dibenarkan. Namun begitu, dibimbangi ia memberi implikasi yang buruk disebalik memaki sembahan-sembahan itu, iaitu menerima makian balas terhadap Allah SWT dari mereka dengan prejudis, maka perkara itu diharamkan oleh Allah SWT. Firman Allah,

 

وَلَا تَسُبُّوا الَّذِينَ يَدْعُونَ مِنْ دُونِ اللَّهِ فَيَسُبُّوا اللَّهَ عَدْوًا بِغَيْرِ عِلْمٍ

"Dan janganlah kamu memaki sembahan-sembahan yang mereka sembah selain Allah, karena mereka nanti akan memaki Allah dengan melampaui batas tanpa pengetahuan" (Surah al-'An'am, ayat 108)

 

 

Kedua;

 

Dalam hadis ada dinyatakan bahawa Nabi Muhammad SAW melarang seseorang memaki ibu bapa temannya. Larangan itu kerana melihat kepada implikasi yang bakal diterima, iaitu seperti memaki ibu bapanya sendiri. Ia disandarkan kepada satu hadis, daripada Abdullah bin Amr berkata bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda, "Sebahagian dari dosa besar itu adalah seseorang itu memaki kedua ibu bapanya". Nabi Muhammad SAW ditanya, "Bagaimana mungkin wujud orang yang memaki kedua ibu bapanya?". Berkata Nabi Muhammad SAW,

 

إِنَّ مِنْ أَكْبَرِ الْكَبَائِرِ أَنْ يَلْعَنَ الرَّجُلُ وَالِدَيْهِ قِيلَ يَا رَسُولَ اللَّهِ وَكَيْفَ يَلْعَنُ الرَّجُلُ وَالِدَيْهِ قَالَ يَسُبُّ الرَّجُلُ أَبَا الرَّجُلِ فَيَسُبُّ أَبَاهُ وَيَسُبُّ أُمَّهُ

"Seseorang memaki bapa seseorang yang lain, lalu dia memaki balik bapanya dan memaki balik ibunya". (al-bukhari, hadis no : 5516)

 

 

Ketiga;

 

            Daripada Aisyah R.Ha, sesungguhnya Nabi Muhammad SAW ada berkata kepadanya;

 

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لَهَا أَلَمْ تَرَيْ أَنَّ قَوْمَكِ لَمَّا بَنَوْا الْكَعْبَةَ اقْتَصَرُوا عَنْ قَوَاعِدِ إِبْرَاهِيمَ فَقُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَلَا تَرُدُّهَا عَلَى قَوَاعِدِ إِبْرَاهِيمَ قَالَ لَوْلَا حِدْثَانُ قَوْمِكِ بِالْكُفْرِ لَفَعَلْتُ

"Apakah kamu tidak melihat sesungguhnya kaum kamu ketika mereka membina kaabah, mereka membataskan pada qawaed Ibrahim". Aku (Aisyah) bertanya, "Wahai Rasulullah SAW, kenapa tidak kamu kembalikannya pada qawaed Ibrahim?". Nabi Muhammad SAW menjawab, "kalaulah tidak kerana baru kaum kamu meninggalkan kekufuran, pasti aku sudah lakukan" (al-Bukhari, hadis no : 1480)

 

 

 

Jika diperhatikan kepada jawapan Nabi Muhammad SAW, kita dapati bahawa Baginda tidak terus meruntuhkan kaabah dan membaiki kedudukan balik Kaabah pada tapaknya yang sebenar, kerana bimbang melahirkan implikasi yang lebih buruk, iaitu pandangan arab bahawa Nabi Muhammad SAW mengajar kepada mereka meruntuhkan tempat-tempat suci ini.

 

Keempat;

 

Dari Anas bin Malik,

 

أَنَّ أَعْرَابِيًّا بَالَ فِي الْمَسْجِدِ فَقَامُوا إِلَيْهِ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا تُزْرِمُوهُ ثُمَّ دَعَا بِدَلْوٍ مِنْ مَاءٍ فَصُبَّ عَلَيْهِ

bahawa seorang badwi telah kencing dalam masjid. Sebilangan sahabat bangkit (untuk menghalang badwi itu berkencing). Lalu Nabi Muhammad SAW bersabda, "Jangan kamu halang dia kencing". Kemudian Nabi Muhammad SAW menyuruh mendatangkan satu baldi air, dan baginda SAW sendiri yang tuangkan air itu pada tempat kencing badwi tadi. (al-Bukhari, hadis no : 5566)

 

 

Nabi SAW melarang para sahabat dari menghalang Badwi itu kencing kerana, jika menghalang ketika badwi itu sedang kencing akan mendatangkan implikasi yang lebih besar buruknya, iaitu tempat yang kena air kencing dalam masjid itu akan menjadi lebih besar. Juga, mungkin apabila menghalang, menyebabkan badwi itu lari. Ketika itu, implikasinya lebih buruk, iaitu air kencingnya akan kena pada pakaian dan badannya.

 

Dari fikrah itu, ternyata fiqh itu semakin berlaku tajdid dan pembaharuan. Makanya lahir berbagai-bagai teori fiqh yang dapat difahami dalam kerangka kehidupan tanpa menafikan faktor nas-nas syariah.

 

 

Terkini, perbincangan Fiqh Tawaqqu' semakin berkembang. Ia dibicarakan oleh sebilangan besar tokoh-tokoh ilmuan islam yang muktabar, seperti Abdullah Bin Bayyah dan seumpamanya.

 

 

Fiqh Tawaqqu' atau diterjemah sebagai fiqh ramalan adalah kesan dari perbincangan tentang teori Maalat al-af'al atau implikasi terhadap sesuatu. Ia rentetan dari perbincangan tentang teori sad al-zaraie yang dikemukakan oleh Imam Malik, juga teori Fath al-zaraie yang dikemukakan oleh imam al-Qarafi.

 

 

Fiqh ramalan ini satu perbincangan tentang kefahaman yang mendalam dalam memastikan sesuatu yang bakal berlaku. Makanya, dari sekarang dilakukan beberapa tindakan supaya kemaslahatan lebih tercapai untuk masa mendatang berbanding kemudharatan, atau sekiranya diandaikan tercapai kemudharatan, dilakukan beberapa tindakan mengurangkan kemudharatan yang bakal berlaku.

 

 

Ada sebilangan ilmuan menolak teori fiqh tawaqqu' ini dengan alasan bahawa mengandai sesuatu yang bakal terjadi adalah satu perkara yang tertolak. Mereka berdalilkan dengan perkataan Umar bin al-Khattab di atas mimbar pada suatu hari. Iaitu,

 

قال عُمَرُ بْنُ الْخَطَّابِ وَهُوَ عَلَى الْمِنْبَرِ : أُحَرِّجُ بِاَللَّهِ عَلَى كُلِّ امْرِئٍ سَأَلَ عَنْ شَيْءٍ لَمْ يَكُنْ ، فَإِنَّ اللَّهَ قَدْ بَيَّنَ مَا هُوَ كَائِنٌ

Umar menyatakan bahawa orang yang bertanya perkara yang bakal berlaku adalah orang yang meminta bala itu disegerakan berlaku. Makanya ia wajar dibuang. ('Ilam al-Muwaqiin, hlmn 91)

 

 

 

Dijawab pendapat ini dengan satu kisah perbualan antara seorang sahabat bernama qatadah bersama Imam Abu Hanifah. Iaitu, Abu Hanifah bertanyakan perkara yang cukup susah dan ia belum berlaku. Soalan itu menyebabkan Qatadah memarahi Abu Hanifah, kerana bimbang mengundang bala. 

 

 

Namun begitu, Imam Abu Hanifah menyatakan bahawa soalan tersebut adalah sebagai cara untuk kita bersedia untuk berhadapan dengan bala yang bakal menimpa. Jika diketahui, maka kita sudah untuk masuk atau keluar dari bala tersebut. (tarikh Baghdad, jld 6, hlmn 106 )

 

عن النضر بن محمد قال: دخل قتادة الكوفة ونزل في دار أبي بردة فخرج يوما وقد اجتمع إليه خلق كثير فقال: قتادة والله الذي لا إله إلا هو ما يسألني اليوم أحد عن الحلال والحرام إلا أجبته فقام إليه أبو حنيفة فقال: يا أبا الخطاب ما تقول في رجل غاب عن أهله أعواماً فظنت امرأته أن زوجها مات فتزوجت ثم رجع زوجها الأول ما تقول في صداقها وقال لأصحابه الذين اجتمعوا إليه لئن حدث بحديث ليكذبن ولئن قال: برأي نفسه ليخطئن فقال: قتادة ويحك أوقعت هذه المسألة قال: لا قال: فلم تسألني عما لم يقع قال: أبو حنيفة إنا نستعد للبلاء قبل نزوله فإذا ما وقع عرفنا الدخول فيه والخروج منه

 

 

Ia dikukuhkan lagi dengan beberapa keputusan Nabi SAW, seperti dalam sejarah sulh al-Hudaibiyyah. Ini kerana, perjanjian yang dilihat berat sebelah itu dengan berani diterima oleh Nabi SAW kerana menjangkakan kemaslahatan yang lebih besar bakal dikecapi dari pihak umat Islam. Ternyata, keberanian Nabi SAW menerima perjanjian tersebut mendatangkan keuntungan yang cukup gemilang dari pihak Islam.

 

 

KHILAF

 

Secara asasnya, sesuatu ramalan ini diterima dalam syariah berdasarkan syarat-syaratnya. Jika dipenuhi syarat, maka ia adalah fiqh tawaqqu', tetapi ia tidak mencukupi syarat, maka ia tidak boleh disebut sebagai fiqh tawaqqu'.

 

Antara syarat-syaratnya adalah seperti berikut:

 

1- Ia mesti berdasarkan kepada ghalabah al-zan, iaitu sangkaan yang menguasai. Dengan maksud, sesuatu sangkaan itu mempunyai bukti penyokong.

 

 

Ini sepertimana firman Allah yang menyatakan bagi orang yang berpoligami, jika mereka bimbang bahawa mereka tidak boleh berlaku adil, maka hendaklah mereka berkahwin seorang sahaja. (surah al-Nisa', ayat 3)

 

فَانْكِحُوا مَا طَابَ لَكُمْ مِنَ النِّسَاءِ مَثْنَى وَثُلَاثَ وَرُبَاعَ فَإِنْ خِفْتُمْ أَلَّا تَعْدِلُوا فَوَاحِدَةً

 

Jika ikut kepada realitinya, kita tidak tahu apakah kita boleh berlaku adil atau tidak, jika kita tidak berpoligami terlebih dahulu. Namun Quran menyatakan jika bimbang dari berlaku, maka hendaklah kahwin satu sahaja. Menunjukkan, ia tertakluk kepada sangkaan yang mendominasi dalam diri orang yang berpoligami tersebut.

 

 

2- Ia perlu melihat kepada qarinah yang TELAH dan SEDANG berlaku, disamping qarinah itu mempunyai kaitan dengan keadaan yang BAKAL berlaku. Semua ini perlu kepada analisa.

 

Ia dilihat pada perjanjian Hudaibiyyah yang dibuat oleh Nabi SAW. Semasa Nabi SAW menerima perjanjian, Nabi SAW sudah melihat suasana ketika itu, dan kaitannya yang bakal mendapat keuntungan di pihak umat Islam di masa akan datang.

 

 

3- Hendaklah diimbang perkara ini berdasarkan kepada maslahah dan mafsadah. Iaitu, dengan disenaraikan andaian-andaian yang berbentuk keuntungan yang bakal berlaku. Juga diisenaraikan andaian-andaian tentang kerosakan-kerosakan yang bakal berlaku. Lalu, dianalisa untuk memilih tindakan yang boleh mengurangkan kerosakan, jika disana didapati akan berlaku kerosakan. Atau memilih kemaslahatan yang besar, jika disana dapat menghapuskan kemaslahatan tersebut.

 

Ini dilihat kepada tindakan Nabi SAW yang menerima untuk tidak menulis 'bismillah al-Rahman al-Rahim' dan 'Muhammad Rasulullah' dalam perjanjian hudaibiah pada tahun ke 6 hijrah, kerana melihat kemaslahatan yang lebih besar, iaitu umat Islam bukan sekadar boleh menunaikan ibadat Umrah qadha' pada tahun ke 7 hijrah, tetapi berjaya mengambil alih kerajaan Makkah pada tahun 8 hijrah.

 

 

4- Apabila sudah mendapati sesuatu itu bakal mencapai mafsadah atau kerosakan, maka disediakan 'ubat' bagi mengelak dari berlaku kerosakan tersebut. Ia seperti dalam analisa perlaksanaan hudud, didapati bahawa kerosakan yang bakal berlaku adalah penolakan ekoran dari tidak memahami. Makanya disediakan 'ubat' bagi menyelesaikan perkara ini dengan mengadakan kempen berbentuk keilmuan dan sebagainya. Atau misal lain, seperti seseorang doktor itu merasakan bahawa seorang pesakit itu mempunyai tanda-tanda ketika itu bahawa dia bakal ditimpa penyakit kusta, maka disediakan ubat-ubat pencegahan dari tertimpa penyakit tersebut.

 

Ini dapat dilihat dengan tindakan Nabi SAW menyuruh para sahabat membawa segala makanan dan duit ketika hendak menunaikan umrah qadha' pada tahun ke 7 hijrah (perjanjian hudaibiah pada 6 hijrah) untuk diberikan kebajikan kepada rakyat Makkah yang miskin dan berhutang ketika mereka melakukan ibadat. Tindakan itu, menyebabkan Islam menjadi buah mulut dikalangan rakyat makkah yang mendatangkan gelombang rakyat pada tahun selanjutnya, iaitu dalam sejarah Fath al-Makkah.

 

 

KESIMPULAN

 

Teori ini memang agak baru dibincangkan dalam dunia umat Islam, tetapi ia tidak salah dari sudut pengamalannya. Ini kerana, diteliti pada nas-nas dan sirah, didapati ia sudah diamalkan.

 

Teori ini amat penting dibincangkan dan diamalkan bagi mereka yang terlibat dengan ilmu kedoktoran, business, politik dan sebagainya. Ia sebenarnya berasaskan kepada islam yang selayaknya diamalkan.

 

Wallahu 'Alam.

 

Sumber:           http://g-82.blogspot.com/2012/09/fiqh-tawaqqu-fiqh-ramalan.html

 

Tuesday, 17 July 2012

HARTANAH

Soalan: Berapakah harga rumah teres 2 tingkat, berukuran 22’ x 70’, dengan 4 bilik tidur dan 3 bilik air? Tak detail pun takpelah, asal dalam range berapa agak-agak? RM200k? RM400k? RM600k? RM800k?

 

 

 

 

Sebetulnya, sukar untuk memberikan jawapan yang tepat bagi soalan di atas. Kenapa agaknya? Kerana biarpun rumah itu saiznya sama, bilangan biliknya sama, bahkan designnya pun mungkin sama, tetapi anda mungkin terkejut dengan variasi harga yang mungkin boleh diberikan. Akan ada yang berkata RM200k masih boleh dapat, namun ada pula yang membantah, paling murah pun dalam RM500k ke RM600k. Mengapa demikian?

 

 

Sebenarnya, harga rumah yang sama saiznya, sama designnya, dan sama bilangan biliknya, boleh bervariasi dek kerana beberapa sebab. Satunya, bergantung kepada siapa developer perumahan tersebut.

 

 

Jika yang memajukan perumahan tersebut adalah sebuah syarikat yang tidak pernah kita dengar; Ah Kaw dan rakam-rakam enterprise (eja rakan pun salah!), maka mungkin anda masih berpeluang untuk mendapatkan rumah sedemikian pada harga RM200k, atau mungkin lebih murah lagi! Namun, jika yang memajukan hartanah tersebut adalah syarikat-syarikat besar lagi well established seperti Sime Darby misalnya, atau UMLand misalnya, atau Futuwwah msailnya (insyaAllah..doakan!) maka wajar saja hartanah tersebut melambung tinggi harganya.

 

 

Begitu juga dengan amal-amal kita. Biarpun amalnya sama, tetapi nilainya di sisi Allah mungkin berbeza. Amalan membaca Al-Quran yang dilakukan oleh Pak Jabit, mungkin jauh lebih tinggi nilainya berbanding amalan membaca Al-Quran yang sama oleh Al-Fadhil Sahibul Fadhilah Syeikhuna Qaridiwi misalnya. Ini kerana Pak Jabit merupakan seorang pelaku amal yang “ternama” dan “well established” di sisi penghuni langit, dek kerana keikhlasan dan ketulusannya dalam beramal, hingga wajar nilai “hartanah amalannya” melambung naik. Sedang Syeikhuna Qaridiwi, meskipun memegang sekian banyak jawatan dalam organasasi berbentuk keIslaman, kerana amal-amalannya disertakan riak, atau ujub, atau bangga, menjadikan nilai “hartanah amalannya” merundum di sisi catatan Malaikat pencatit. Sabda Nabi SAW;

 

 

“Tiga hal yang membinasakan:

1.    Kekikiran yang ditaati,

2.    Hawa nafsu yang ditaati

3.    Seseorang yang bangga dengan prestasi dirinya (ujub)”

(Hadits ini disebutkan oleh Al-Mundziry dalam kitab At-Targhib wa Tarhib 1/162 yang diriwayatkan oleh Al-Bazzar dan Al-Baihaqi serta dibenarkan oleh Syaikh Al-Albani)

 

 

Keduanya, harga rumah bisa jadi berbeza, dek kerana lokasinya yang berbeza. Kerana itu harga bagi sebuah rumah yang saiznya lebih kecil, 20’ x 65’ misalnya, tetapi letaknya di Puchong, boleh jadi jauh lebih mahal berbanding rumah 22’ x 70’ tadi yang letaknya di Bahau misalnya. Kerana nilai hartanah itu sendiri, yang menjadikan nilai rumah itu menjadi mahal, bahkan mungkin berganda bezanya.

 

 

Sumber gambar: almultazam.sch.id melalui carian di Googleimage

 

 

Maka, bulan Ramadhan al-Mubarak, adalah umpama “hartanah” yang dapat memahalkan nilai amal ibadah kita. Masjidil Haram, Masjid An-Nabawi dan Masjidil Aqsa, juga adalah “hartanah” yang dapat menaikkan nilaian amal ibadah kita. Bahkan Lailatul Qadar –yang letaknya di dalam bulan Ramadhan- juga adalah “hartanah” yang dapat boost up nilai amal ibadah kita. Firman Allah;

 

 

“Tahukah kamu apakah itu Lailatul Qadr? Lailatul Qadr itu lebih baik daripada seribu bulan. Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara. Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!”

(Surah Al-Qadr [97]: 2-5)

 

Kerana itu; “Selamat Datang Ramadhan.” Moga ianya menaikkan nilai amalan, dan menjadi “hartanah” yang senantiasa menjadi idaman. Kedatangannya dinanti, pemergiannya dirindui.

 

 

Ir. Faridul Farhan Abd Wahab

Jurutera Profesional  dan Jurutera Elektrik Kompeten

Lulusan Ijazah Kejuruteraan Elektrik dan Sijil Pengajian Syariah

 

 

Friday, 29 June 2012

         Dr.Fathi Yakan dilahirkan pada 9 Februari tahun 1933 di Tripoli, Lubnan. Beliau berjaya memperolehi PhD dalam bidang pengajian Islam dan bahasa Arab, walaupun pada peringkat BA dan MA beliau belajar bidang kejuruteraan. Beliau berkahwin dengan Dr.Muna Haddad Yakan dan dikurniakan lima cahaya mata (empat perempuan dan seorang lelaki). Beliau antara tokoh gerakan Islam di Lubnan dan dunia Islam bahkan antara pelopor yang mengasaskan gerakan Islam di Lubnan bersama-sama dengan kira-kira 50 orang saudaranya yang lain sejurus selepas mereka menziarahi Dr.Mustafa as-Siba'ie di Syria.

Beliau menyumbang tenaga di dalam mempelopori fikrah gerakan Islam di dunia Arab dan telah menyebarkan risalah-risalah dan tulisan-tulisan yang berbentuk ideologi ke dunia Arab dan Islam sebagai panduan generasi kebangkitan Islam dan kebanyakan daripada tulisan-tulisan beliau telah diterjemahkan ke dalam banyak bahasa. Antara tulisannya yang terkenal adalah, "Apa Ertinya Saya Menganut Agama Islam" - Maza Yakni Intima'ie Islam, dan "Masalah Berkaitan Dengan Dakwah dan Pendakwah" - Iadah ad Da'ieah.

Beliau juga pernah memenangi kerusi pada pilihan raya Lubnan pada tahun 1992 dan menyertai Perhimpunan Islam Antarabangsa (International Islamic Conference). Walaupun suatu ketika beliau pernah mengeluarkan kenyataan tidak bersetuju menyertai pilihan raya, kerana ia merupakan perkara baharu yang tidak pernah berlaku pada zaman Baginda Rasulullah S.A.W, tetapi setelah sering gagal untuk menyatakan Islam kepada para pemerintah, beliau akhirnya akur bahawa pilihan raya adalah satu-satunya wadah penting yang dapat menguasai negara dengan Islam jika menang tanpa sebarang pertumpahan darah berlaku.

Ini kerana apa yang menjadi masalah di Lubnan adalah kerana menurut perjanjian Taif ialah pembahagian kuasa secara adil antara golongan-golongan terlibat, Presiden Lubnan mesti merupakan seorang beragama Kristian Maronite, Perdana Menteri adalah daripada kalangan seorang pengikut Sunnah, dan Speaker Parlimen adalah daripada pengikut Syiah. Kepelbagaian pegangan agama dan mazhab yang adakalanya menatijahkan pertikaian sesama bangsa menyukarkan perkembangan Islam di Lubnan kerana orang Islam sentiasa dicengkam dan dipandang serong oleh mereka yang beragama Kristian, khususnya pemerintah. Dan ia turut ditambah dengan sikap ketidak-sepakatan antara pengikut Sunni dan Syiah dalam beberapa perkara.

Oleh kerana itu, Lubnan menjadi negara yang unik dan menagih strategi yang mantap dari gerakan Islam di sana untuk menyebarkan seruan dakwah yang benar kepada seluruh warganegara mereka. Maka Lubnan tidaklah seperti negara-negara Arab lain yang berjiran dengannya. Ini kerana pegangan agama pihak berkuasa menjadi jurang yang membezakan antara mereka dengan rakyat yang menganut pelbagai pegangan aliran pemikiran lain seperti kumpulan Druze yang boleh dianggap sebagai penghalang. Kesungguhan Dr.Fathi Yakan dalam mengaplikasikan Islam sebagai agama yang mesti didaulat, beliau telah menulis buku di atas "Apakah Ertinya Saya Menganut Islam" - dengan kupasan yang cukup mudah difahami bertujuan untuk menyedarkan khususnya rakyat Lubnan beragama Islam tidak kira apapun aliran mereka agar kembali berpegang kepada Islam yang sahih.

Pengalaman beliau bersama Almarhum Dr Mustafa as-Siba'ie yang merupakan pengasas Gerakan Ikhwan Muslimun Syria telah mematangkan beliau untuk menerapkan pendekatan Ikhwan di Lubnan. Tulisan dan penglibatan beliau bersama gerakan Islam dianggap mengancam kedudukan pihak berkuasa sehingga beliau pernah dipenjara malah diseksa dengan disterika seluruh badannya hingga remuk. Ada yang berpendapat bahawa umurnya lebih muda daripada tubuh badannya akibat seksaan yang menimpanya.

Beliau turut terkenal sebagai aktivis yang giat menyampaikan ceramah, pembentangan kertas kerja, forum mengenai Islam selagi dijemput untuk bertindak demikian. Beliau turut terkenal sebagai aktivis yang seangkatan dengan tokoh-tokoh pejuang dari Ikhwanul Muslimin seperti Imam Hassan al Banna dan al Marhum Amin Husaini, Mufti Palestin dalam usaha menjayakan gagasan "Taqrib Bayna Mazahib" di mana beliau pernah mengimami solat di Iran yang diikuti oleh seluruh masyarakat yang bermazhab Syiah. Beliau juga pernah diundang oleh PAS untuk menghadiri muktamar tahunannya, kerana hubungan akrabnya dengan Presiden PAS sekarang iaitu Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Beliau boleh disifatkan sebagai tenaga dakwah yang berjaya kerana pandangan-pandangannya yang jelas mengenai manhaj, prinsip, konsep serta pendekatan dakwah pada era globalisasi ini. apatah lagi bukan daripada graduan Pengajian Islam asalnya, namun kecenderungan yang meluap-luap terhadap Islam menyebabkan beliau menukar bidang dakwah menjadi tesis PhD-nya.

Kesempatan masa terluang yang ada, beliau menggunakan semaksimum dengan menulis buku-buku ilmiah berhubung dengan dakwah, justeru beliau menukar bidang pengajian daripada kejuruteraan kepada pengajian Islam memandangkan keperluan dan kepen-tingannya untuk mengajak rakyat negaranya untuk berpegang kepada Islam. Antara golongan yang menjadi sasaran dalam buku-buku dakwahnya adalah para remaja di kalangan pemuda dan pemudi Islam. Beliau menyifatkan mereka adalah asset yang amat bernilai bagi menyambung tugas yang pernah disandang oleh para Sahabat Rasulullah S.A.W yang majoritinya terdiri daripada golongan remaja. Ini disebabkan tenaga, kesungguhan yang mereka miliki mengatasi golongan yang telah tua.

Begitupun apabila dia menekankan supaya para pemuda melaksanakan matlamatnya yang menginginkan perubahan, ia bererti bukanlah diserahkan tugas itu kepada mana-mana generasi sahaja yang tidak mempunyai ciri-ciri tertentu, tetapi terlebih dahulu dimestikan atau dituntut supaya generasi itu mempunyai sifat-sifat Islam dan berpegang teguh dengan prinsip-prinsip Islam iaitu berkehendakkan generasi Islam yang tulen. Pemuda ialah suatu tenaga yang digunakan oleh Islam untuk memba-ngunkan dan memakmurkan alam tetapi orang lain mempergunakan mereka untuk meruntuhkan umat manusia.

"Sesungguhnya masyarakat manusia hari ini penuh sesak dengan pemuda-pemuda tetapi pemuda-pemuda ini hanyalah yang kosong, hanyut dan terbiar. Pemuda yang tiada peribadi terdiri dari pemuda yang mudah dijadikan tentera oleh kuasa-kuasa jahat dan zalim, disusun oleh parti-parti kufur dan syaitan, pemuda pondan yang tiada kebaikan pada mereka; tetapi keberkatan datang bersama pemuda yang tinggi cita-citanya, demikian antara pandangan tokoh tersohor ini.

 

 

Sumber: http://tarbawi.my/index.php/en/inspirasi/mimbar-ulama/278-tribulasi-matangkan-perjuangan-drfathi-yakan

 

 

 

PROFESIONAL

Saya mengunjungi M&E Exhibition 2012 di KLCC Convention Centre kelmarin. Seperti biasa, terjumpa beberapa kenalan lama secara kebetulan. Sayangnya, kenalan yang memang ingin saya jumpa tatkala alang-alang sudah berada di dasar menara berkembar kebanggaan Malaysia itu, tidak dapat pula saya jumpa. Kenalan itu bernama Azral Bin Abdul Rahim.

 

 

Azral adalah rakan seperjuangan saya tatkala mula mengenali dunia tarbiyah. Sungguh pun hubungan di antara saya dan dia bertukar secara tanzimi tatkala beliau memulakan kerjayanya dengan Motorola di Penang, iaitu saya menjadi murabbi sedang beliau menjadi mutarabbi saya, namun itu tidak pernah mencalitkan penghormatan saya kepadanya biar sedikitpun, bahkan beliau kekal sebagai salah seorang insan yang banyak memberi kesan dalam kehidupan dan kematangan saya. Apatah lagi biarpun usianya hanyalah setahun lebih tua daripada saya (kini beliau 32 tahun), namun designation yang tercatat dalam namecardnya, yakni sebagai Senior Manager di Petronas Carigali, tentunya sedikit-sebanyak menggambarkan kehebatan dan kelebihan dirinya. Saya tidak pasti sama ada beliau memecahkan rekod Rafizi Ramli sebagai Senior Manager termuda di syarikat petroleum nasional itu, namun setidak-tidaknya beliau tergolong sebagai antara Senior Manager termuda Petronas, that’s for sure! Seperti diri saya juga; saya tidak pasti sama ada saya merupakan Jurutera Elektrik Kompeten termuda tanah air, tetapi sekurang-kurangnya saya berjaya menjadi antara yang termuda di Negara kita, Alhamdulillah!

 

Saudaraku,

 

Sering, tatkala kita berbicara tentang kerjaya masing-masing, “udara perbincangan” bisa menjurus kepada dua keadaan, sama ada hanyut di dalam perbualan berkisar keduniaan semata-mata, yang tidak mendatangkan apa-apa saham kepada kehidupan Akhiratmu, atau bisa juga lebih segar dan lebih sihat, hingga mendatangkan keuntungan buat agamamu dan umat. Iaitu tatkala engkau melihat, bagaimana kejayaan dalam kehidupan dunia, berjaya menghantarmu kepada kebahagiaan dalam kehidupan di Akhirat.

 

Ustaz Anis Matta, Setiausaha Agung parti berbasis Ikhwanul Muslimin di Indonesia, iaitu Partai Keadilan Sejahtera (PKS), tatkala membicarakan tentang topic “Makanatur Rasul” (kedudukan/ posisi Rasul) beliau membangkitkan persoalan yang wajar: sering manusia yang berjaya dalam kerjaya dan karier hidupnya, tidak bisa perform dalam usaha dakwahnya, sebaliknya mereka yang cemerlang dalam usaha dakwahnya, sekadar menjadi manusia biasa dalam urusan hidup sehari-harinya. Namun Ar-Rasul Al-Musthofa Muhammad ibni Abdullah S.A.W, cemerlang dalam kedua-duanya; baik dunia mahupun Akhirat. Beliau memang guru dakwah dan tarbiyah kita, tapi jangan lupa beliau juga seorang businessman yang maha berjaya! Bahkan gelar Al-Amin, itu beliau peroleh sebelum diangkat menjadi Rasul lagi!

 

Kerana itu wahai saudaraku, apalah salahnya kita benar-benar mengambil iktibar daripada kejayaan Dr. Muhammad Mursi yang berjaya diangkat menjadi Presiden dari kalangan rakyat yang pertama untuk Republik Mesir. Sebagai kader gerakan Ikhwanul Muslimin, mana mungkin ia akan dipilih sebagai tokoh ke masyarakat, andainya gerak kerja dakwah dan tarbiyahnya sumbang, sekadar “ikhwan” pada kad keahlian semata. Namun, kemapanan ia membentuk ribuan manusia lewat usrah atau halaqah, tidak menjadikannya lingkup dari segi performance pada kaca mata manusia pencinta dunia. Bukankah ia berjaya memperoleh hingga gelar PhD di dalam bidang engineering, sekaligus membuktikan kejaguhannya juga dalam bidang keilmuan dunia?

 

 

Sebetulnya, wahai saudaraku, gerakan Islam seantero dunia mempunyai ramai lagi tokoh-tokoh yang bisa menjadi role model tentang keseimbangan (dan kecemerlangan) hidup dunia dan Akhirat. Mereka-mereka inilah yang kelak akan memenuhi tuntutan ustaziyatul alam (guru peradaban dunia) lantaran kecemerlangan mereka baik dari sisi vertical (hubungan dengan Pencipta) mahupun sisi horizontal (hubungan sesama manusia). Agak-agak, apakah rahsia kecemerlangan mereka?

 

 

One thing for sure, seorang Muslim tidak seharusnya mempunyai denial syndrome. Senantiasa memberikan alasan untuk segala kegagalannya, sedang yang sebetulnya, ia sendiri yang tidak mahu mujahadah (strive) untuk mengecap perkara yang didenynya itu.

 

Sebagai contoh. zaman sekarang, adalah zaman media. Semua kita mengakui, betapa berkesannya media dalam melancarakan ghazwul fikr (serangan pemikiran) yang merosakkan pemikiran umat manusia. Hatta Kerajaan sendiri akhirnya mengakui peranan bloggers dalam memberikan impak pada PRU-12 yang lalu. Sayangnya, para da’ie Islam, dalam menyikapi kebanjiran tulisan-tulisan yang memesongkan pemikiran, tidak bersungguh menulis, atau sekadar menulis kerana hobi, atau minat, atau mengisi masa lapang, bukan atas inisiatif ianya sebuah tanggung jawab. Lalu bila tidak mampu istiqamah, pantas menyatakan slogan “ana ingin bina manusia, kelak merekalah yang akan menulis.” Maka apakah anda kira penulis-penulis tegar seperti Syed Qutub, atau Said Hawwa, atau Dr. Yusuf Al-Qaradhawi, sekadar jaguh dalam dunia penulisan dan tidak langsung membina manusia?

 

 

Seperti itu jugalah; jika anda sudah alang-alang menjadi engineer, apakah salah anda berusaha bersungguh-sungguh menguasai dan performe dalam kerjayamu sebagai engineer, hingga mampu beroleh title Ir., dan seterusnya mengecap maqam tertinggi dunia kejuruteraan seperti Jurutera Kompeten, Jurutera Servis dan sebagainya? Jika anda seorang doktor, apalah salahnya anda berusaha bersungguh-sungguh hingga mampu menjadi Specialist misalnya? Atau seorang Arkitek, mampu menjadi contoh kepada para arkitek yang lain, dan juga mad’u-mad’unya, betapa ia mampu aktif di dalam dakwah, namun tetap mampu beroleh gelar Ar.? Barulah kehidupan kita sehari-hari umpama “engineer di siang hari, murabbi di malam hari, da’ie Islam sepanjang hari”, insyaAllah….

 

Saudaraku,

 

Telah berlalulah generasi yang cemerlang pencapaian dunianya, lalu lingkuplah performance tarbiyahnya. Kita bukanlah generasi itu wahai saudaraku! Maka marilah kita tanamkan keazaman betapa kita mampu menjadi contoh yang hidup, bukan sekadar contoh yang berkata-kata, betapa Mukmin itu memang mengkagumkan, ajaban kata Nabi, sehingga dunia benar-benar menjadikan kita ustaz yakni rujukan mereka. Kita punya title-title seperti Dr. atau Ir. atau Ar. atau Sr., atau kelulusan-kelulusan seumpama Msc. atau MBA atau PhD dan sebagainya, namun tetap tegar istiqamah membina manusia, bertemu mereka dari minggu ke minggu, memberikan keteladanan betapa anda mampu berjaya dalam kedua-dua bidang (duniawi mahupun ukhrawi), bukan sekadar memegang jawatan dalam sekian-sekian organisasi mahupun gerakan.

 

Title dunia bukannya apa wahai kawanku. Namun ia juga bisa membawa kepada title yang bisa dikagumi oleh para penghuni langit. Mujahadahlah wahai sahabatku, kerana Malaysia juga punya ramai insan sekaliber DR. Muhammad Mursi, insyaAllah!

 

 

Saudaramu,

Ir. Faridul Farhan Abd Wahab

 

 

p/s – saya sedang mempersiapkan diri untuk mengambil peperiksaan bagi menjadi Project Management Professional (PMP®), sebuah competency yang diiktiraf di peringkat antarabangsa untuk bidang Project Management. Doakan moga dipermudahkan.

p/s – sumber gambar melalui pencarian di Google Image. Google menunjukkan saya ke blog ini http://permataperjuangan.blogspot.com. Gambar Dr. Mursi solat pula di sini news--updates.blogspot.com.