ABU HANIFAH BIN MOHD KAMAL
Pengurus Besar
Futuwwah Training & Consultancy
Dan hendaklah di antara kamu ada segolongan orang yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh yang makruf dan mencegah dari yang mungkar. Dan mereka itulah orang-orang yang beruntung. (Ali-Imran, 3: 104)
"Mengapa aku tidak melihat burung Hudhud? Apakah dia termasuk di kalangan mereka yang ponteng?" Sulaiman 'alayhi al-salaam bertanya.
Pemeriksaan hari itu, begitu teliti dilakukannya.
Kerajaannya besar. Bukan setakat kerajaan manusia di Timur dan Barat, malah menakluki segala haiwan hingga ke komuniti Jin.
Namun Sulaiman tidak hilang pemerhatian. Tidak hilang kawalan. Baginda tahu siapa yang ada dan siapa yang tiada.
Ketidak hadiran Hudhud menimbulkan murka Sulaiman.
"Sesungguhnya aku pasti akan menghukum Hudhud itu dengan hukuman yang keras, malah aku tidak teragak-agak untuk menyembelihnya sahaja!" begitu sekali kemarahan Baginda.
Ia menggambarkan prihatian dan tegasnya Sulaiman dalam menjaga kabinet, tenaga kerja dan seluruh jentera kerajaannya. Pemimpin yang tidak meremehkan sesiapa, biar pun kakitangannya itu hanya si burung Hudhud.
"Kecuali jika Hudhud mendatangkan penjelasan yang konkrit!" Sulaiman memberi penegasan.
Tegasnya bukan sampai buta dari pertimbangan. Biar pun murka, ruang penjelasan sentiasa ada.
Kisah ini merupakan petikan firman Allah di dalam al-Quran, Surah al-Naml berkenaan Nabi Sulaiman 'alayhi al-Salaam sebagai pemimpin kerajaannya.
"Dan (setelah itu) Nabi Sulaiman memeriksa kumpulan burung (yang turut serta dalam tenteranya) lalu berkata: "Mengapa aku tidak melihat burung Hudhud? Adakah ia dari mereka yang tidak hadir? Demi sesungguhnya! Aku akan menyeksanya dengan seksa yang seberat-beratnya, atau aku akan menyembelihnya, kecuali ia membawa kepadaku alasan yang terang nyata (yang membuktikan sebab-sebab ia tidak hadir. Burung Hudhud itu tidak lama ghaibnya selepas itu, lalu datang sambil berkata (kepada Nabi Sulaiman): "Aku dapat mengetahui secara meliputi akan perkara yang engkau tidak cukup mengetahuinya, dan aku datang kepadamu dari Negeri Saba' dengan membawa khabar berita yang diyakini kebenarannya" [Surah al-Naml 27: 20-23]
PERANAN HUDHUD
Kisah di dalam al-Quran bukan bedtime story. Ia datang dengan 'ibrah yang besar.
Hudhud di dalam kisah ini tidak seharusnya mencerminkan fenomena tasayyub yang boleh berlaku di dalam gerakan Islam. Gejala 'hilang kawalan' dan pandai-pandai sendiri dalam melakukan gerak kerja hingga tidak bergerak selari dengan dasar dan matlamat gerakan Islam, tidak harus bersandarkan kepada kisah ini.
Hudhud tidak lari daripada tujuan dan disiplin gerak kerja sebuah gerakan. Tetapi apa yang hendak ditonjolkan oleh Allah Subhanahu wa Ta'aala di dalam ayat ini adalah sifat penting yang mesti wujud di dalam diri amilin gerakan Islam yang diwakili oleh Hudhud tersebut. Sifat yang dimaksudkan itu adalah kepekaan amilin terhadap peluang-peluang yang wujud di sekitarnya, yang mungkin tidak disedari oleh sebuah gerakan yang sudah mempunyai SOP rutinnya.
Sulaiman alayhi al-Salaam yang kekuatan serta kemampuan Baginda menguasai komuniti manusia, haiwan dan jin, tetap diperlihatkan oleh Allah betapa masih ada perkara yang berlaku di luar pengetahuannya. Dengan kemudahan dan kemahiran, maklumat masih sesuatu yang terlalu luas untuk dikuasai.
Inilah intipati penjelasan yang dikemukakan oleh Hudhud.
"Ada benda yang pengetahuan tuan tidak sampai kepadanya" kata Hudhud.
Hudhud tahu apa yang dilakukannya. Sebelum menjelaskan apa yang mahu dijelaskan, Hudhud terlebih dahulu menyediakan Sulaiman untuk menghargai apa yang bakal diterangkan.
"Aku baru pulang dari Negeri Saba' dengan sebuah Naba'" tegas Hudhud.
Kisah yang dibawa bukan sebarang cerita. Bukan kisah kosong. Ia adalah sebuah Naba', yakni berita penting yang perlu diketahui oleh Sulaiman.
TELADAN BUAT DA'I DAN MURABBI
Seorang da'i mesti mempunyai inisiatif positif pada mencari kebaikan. Ke mana atau di mana sahaja beliau berada, biar pun atas nama kerja dan urusan peribadi, matanya tidak harus alpa daripada membaca peluang-peluang dakwah di sekitarnya. Ruang-ruang seperti ini sering berada di luar cakupan jentera dakwah, justeru perlu dimanfaatkan mata peninjau yang berada di mana-mana.
Ia perlu berlaku tanpa menunggu arahan khusus.
Hal ini harus timbul daripada kesedaran dakwah yang tidak terikat dengan masa dan kelapangan da'i. Pengurusannya mungkin separuh masa, tetapi komitmennya sepenuh masa.
Gerakan Islam juga perlu akur bahawa bukan semua perkara mampu direncanakannya hatta ada sahaja perkara penting yang tercicir daripada keupayaan dirinya. Sulaiman alayhi al-Salaam yang merupakan seorang Rasul penerima wahyu, dan dikuatkan lagi dengan kemahirannya yang dikurniakan Allah, masih berhajatkan kepada sumbangan jentera kecilnya bernama Hudhud yang bersikap proaktif meninjau sesuatu yang berada di luar lingkungan ketuanya.
MENGHARGAI SUMBANGAN HUDHUD
Saeed Hawwa rahimahullah di dalam siri wacana Jundullah beliau, menegaskan tentang wujudnya dua bentuk penggabungan seseorang di dalam sebuah gerakan Islam.
Penggabungan yang pertama disebut sebagai al-Intimaa' al-Tandheemi (الإنتماء التنظيمي). Ia merupakan penggabungan formal mereka yang tidak lagi bertindak sebagai penyokong, tetapi mengambil kemuliaan menjadi pendukung. Kelompok ini mesti berkualiti kerana integriti serta kompetensi mereka memberikan kesan langsung kepada perjalanan dan perkembangan gerakan yang didukungnya.
Penggabungan yang kedua, disebut sebagai al-Intimaa' al-'Aatifee (الإنتماء العاطفي). Penggabungan yang lebih berbentuk kebersamaan sokongan dan emosi ini, memerlukan kepada keluasan jiwa kepimpinan gerakan Islam untuk melihatnya sebagai sebuah penggabungan. Berbicara secara realistik, penggabungan kedua ini sering lebih besar saiznya berbanding dengan kelompok yang bergabung dengan penggabungan pertama. Atas apa sahaja sebab yang tidak menjadi persoalan di sini, di luar sana ada ramai penyokong atau kelompok yang simpati kepada gerakan Islam. Mereka berada di mana-mana. Berjawatan rendah berjawatan tinggi, malah berada di balik tembok-tembok yang sukar sekali untuk ditembusi oleh sebuah gerakan.
Namun mereka mungkin seperti Hudhud.
Si kecil yang membawa berita besar.
Gerakan Islam mesti menjiwai pembawaan Sulaiman yang amat tegas dalam menekankan disiplin kerja, tetapi cukup rendah jiwa dan diri untuk membuka ruang penjelasan dan pengambilan manfaat hasil tinjaun proaktif si burung Hudhud.
Hari ini, Hudhud itu mungkin orang dalam, mungkin orang luar.
Mereka itu bermaklumat. Resourceful. Mereka membekalkan pelbagai maklumat. Membekalkan statistik. Membekalkan hasil tinjauan. Semuanya untuk mengkayakan Gerakan Islam dengan Naba' di era Perang Maklumat ini.
Hudhud bukan HANYA HUDHUD. Tanpa Hudhud, Kerajaan Sulaiman tidak mencecah Saba' dan penyatuan Makkah dan Palestin tidak berlaku.
Jangan semata-mata dek sarang Hudhud alamatnya tidak bercawangan seperti cawanganmu atau tidak berkawasan seperti kawasanmu, kamu bunuh Hudhud itu!
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 AMPANG
Bacaan lanjut:
Dulu, tidak berapa lama dahulu, untuk orang kampung seperti saya menelusuri bandar Kuala Lumpur demi sesebuah urusan, sungguh merupakan suatu yang sangat cuba dielakkan. Biar berbekal peta di simpanan, simpang siur ibu kota cosmopolitan yang bercambah seiring kemajuan, memang suatu yang sangat menakutkan. Dan demikian tersilap simpang, entah bagaimana mahu kembali ke “pangkal jalan.”
Kini, biar ceruk mana asal kalian, bertandang ke Bandaraya kemegahan warga kota, tiada lagi yang perlu dikau khawatirkan. Berbekal alat GPS di tangan, nyatakan saja destinasi anda, selagi GPS “terhubung” dengan langit, petunjuk jalan ‘kan sentiasa kalian dapatkan.
Begitulah, seperti terjaminnya haluan para pemandu yang terhubung dengan satelit di langit via GPS, manusia yang sentiasa terhubung dengan “langit” juga, tidak gentar dengan dugaan dan cabaran yang bakal mendatang. Wajar, Ustaz Anis Matta, Sekjen Partai Keadilan Sejahtera (PKS) Indonesia meluahkan pandangan; “sepanjang kita terhubung dengan langit, tidak ada mudharat di bumi yang perlu dikhawatirkan.” Nah, apakah kalian tidak mendengar gambaran Allah terhadap “kekasih-kekasih-Nya” yang senantiasa “on-line” dengan diri-Nya?
“Ingatlah, sesungguhnya wali-wali Allah itu, tidak ada kekhawatiran terhadap mereka dan tidak (pula) mereka bersedih hati.”
(Surah Yunus [10]:62)
Saudaraku,
Mukmin yang sentiasa terhubung dengan “langit”, akan sentiasa beroleh bimbingan dan pedoman dalam mencari lorong-lorong keluar dari segenap persoalan. Seperti firman-Nya di dalam surah At-Thalaq [65] ayat 2-3, ketaqwaan itu sering membukakan jalan keluar buat segala permasalahannya di bumi. Hingga wajar, sasaran utama ghazwul fikri (serangan pemikiran) adalah dengan memutuskan hubungan makhluk dengan Khaliqnya tadi (ifsadul akhlaq). Kerana apabila mukmin mula melemah “signal”nya dengan “langit”, dunia tidak lagi berada di bawah genggaman takhluknya, bahkan dunia itulah yang menguasai dan bertakhta di hatinya.
“Dan janganlah kamu seperti orang-orang yang lupa kepada Allah, lalu Allah menjadikan mereka lupa kepada diri mereka sendiri. Mereka itulah orang-orang yang fasik.”
(Surah al-Hasyr [59]:19)
Setiap kali umat Islam mula berlunak dan berjinak dengan dunia, maka setiap kali itulah izzah dan kekuatannya makin melemah saat berhadapan dengan para musuh-musuhnya. Al-Wahan (cinta dunia), kata Nabi, menjadi punca hilangnya ketakutan musuh kepadanya, bahkan sekadar menjadi bahan ratahan oleh kaum-kaum yang tidak pernah redha keimanan bertakhta di jagat raya. Hingga, saat Raja Perancis ditanya akan mengapa ia tidak berusaha untuk merampas kembali wilayah Sepanyol dari genggaman tangan umat islam di zaman tabi’in Abdul Rahman Al-Ghafiqi, ia pantas berkata; “Saya melihat mereka ini adalah manusia yang mempunyai pegangan dan keikhlasan. Dengan dua perkara ini mereka tidak memerlukan jumlah yang ramai atau senjata yang cukup. Mereka mempunyai keyakinan dan kejujuran yang sudah cukup untuk menggantikan perisai dan kuda.”
”Kita akan tunggu hingga mereka mula mengaut kekayaan. Apabila mereka mula memiliki rumah dan istana. Apabila mereka mula bersaing memiliki amah dan khadam. Apabila mereka mula berlumba untuk merebut kuasa. Ketika itu kita akan berjaya kalahkan mereka dengan cara yang sangat mudah tanpa perlu bersusah payah”.
GPS oh GPS! Kini, ku tidak perlu khawatir lagi dari tersesat jalan…