Prinsip Keabadian Tenaga –juga dikenali sebagai Hukum Termodinamik Yang Pertama- adalah satu hukum, satu prinsip, satu ketentuan atau satu ketetapan yang menyatakan betapa tenaga itu –baik tenaga kimia, baik tenaga mekanik, baik tenaga elektrik, dan lain sebagainya- tidak boleh dicipta, mahupun dimusnahkan. Ia hanya melalui suatu proses “pertukaran” daripada satu bentuk tenaga, kepada bentuk tenaga yang lainnya.
Sebagai contoh, tenaga matahari yang ada di sekeliling kita tidaklah hilang sebegitu sahaja, sebaliknya ia ditransformkan ke suatu bentuk tenaga yang lainnya: kepada tenaga kimia oleh tumbuh-tumbuhan. Kepada tenaga elektrik oleh sel suria (disebut tenaga solar). Kepada tenaga batin oleh Tongkat Ali.... err... ye ke? Pokoknya tenaga itu tidak terhapus, tetapi hanya di”terjemahkan” ke dalam beberapa “bahasa” tenaga yang lainnya, yang sedikit berbeza dengan bentuk tenaga asalnya. Cerita Crayon Sinchan misalnya, sungguh pun diterjemahkan ke pelbagai bahasa, baik ke Bahasa Malaysia di televisyen, mahupun ke Bahasa Indonesia di dalam CD dan Youtube, namun, “tenaga kelawakkannya” tetap sahaja terpelihara, barangkali kerana lawaknya itu memenusi prinsip keabadian (barangkali!)
Sumber: myinterestingfacts.com
Saudaraku,
Sehebat-hebat manusia, kita terpaksa akur akan hakikat ini: tenaga tidak boleh dicipta, tidak dapat dimusnahkan. Oleh itu, menyedari akan dhaifnya diri manusia ini, setiap daripada kita harus sedar betapa we are nobody tanpa Allah S.W.T. Sehingga wajar, Nabi S.A.W sentiasa mengajarkan kita lantunan doa, betapa kita senantiasa memerlukan pemeliharaan dan kasih sayang Allah S.W.T. Sabda Nabi;
“Wahai Allah Yang Maha Hidup dan Maha Kekal, dengan rahmat-Mu aku memohon pertolongan. Perbaikilah keadaanku seluruhnya dan janganlah Engkau biarkan nasibku ditentukan oleh diriku sendiri walaupun sekadar sekelip mata.”
(Hadith riwayat An-Nasa’i, daripada Anas bin Malik)
“Ya Allah, aku mengharapkan rahmat-Mu. Wahai Tuhanku, perbaikilah seluruh keadaan diriku, dan janganlah Engkau serahkanku kepada diriku sendiri walaupun sekadar sekelip mata.Tiada Tuhan melainkan Engkau”
(Hadith riwayat Abu Daud)
Sumber: noforbiddenquestions.com
Kerana kita tak akan pernah bisa menciptakan tenaga (melainkan mengubahnya sahaja), maka wajar kita memenuhi “Prinsip Keabadian Nikmat,” di mana what we get, we give back. Apa saja nikmat yang kita peroleh, yang kita rasai, yang kita nikmati, wajar sahaja kita “beri” kembali. Beri kembali dalam bentuk syukur. Beri kembali dalam bentuk banyak beribadat. Beri kembali dalam bentuk berjuang menegakkan kalimah Allah. Kerana Prinsip Keabadian Nikmat ini menyebutkan: segala nikmat yang Allah kurniakan, akan kita tukarkan kepada bentuk syukur, kepada bentuk taat, ibadah, serta berjuang berdakwah menyebarkan nikmat kalimah Allah SWT ini. Firman Allah:
“Sekiranya kamu bersyukur kepada Ku, nescaya aku tambahkan (nikmat-Ku) untuk kamu. Tetapi sekiranya kamu kufur, nescaya azab-Ku amat pedih”
(Surah Ibrahim [14]:7)
Dari-Nya kita datang, kepada-Nya jugalah kita bakal kembali. Sebagaimana Allah telah memenuhi keperluan-keperluan kita, maka marilah kita pula memenuhi “seruan-seruan”nya kembali. Seperti mana tenaga akan kekal “hidup” tatkala ianya ditukarkan ke bentuk tenaga yang lain, nikmat dan rahmat Allah akan terus “hidup” tatkala insan sudi menyahut seruan perjuangan yang dilontar oleh Allah S.W.T. Firman Allah:
“Wahai orang-orang yang beriman! Penuhilah (seruan) Allah dan Rasul-Nya tatkala (Allah dan Rasul) menyeru kalian kepada sesuatu yang dapat “menghidupkan” kalian..”
(Surah Al-Anfal [8]:24)
Sumber: carian di Google image
Ya Allah, janganlah kau tarik “tenaga” yang Dikau kurniakan kepada kami, hingga kami terpaksa mencipta “tenaga” kami sendiri... Kami tidak mampu Ya Allah (hidup tanpa tenaga dan nikmat-Mu), biarpun sekadar sekelip mata cuma...
(Artikel ini adalah adaptasi artikel asalnya yang disebar-emailkan pada tahun 2004)
Ir. Faridul Farhan Abd Wahab adalah seorang insan, dari sekelian banyak insan, yang dianugerahkan kesempatan oleh Allah menjadi Jurutera Profesional dan Jurutera Kompeten, dan berharap dapat membalas anugerah itu dengan menjadi Mujahid di Jalan Allah...
No comments:
Post a Comment