Thursday, 3 May 2012

FANATIK

Tahukah anda siapakah dia Wadd, Suwaa’, Yaghuts, Ya’uuq dan Nasr? Supaya anda lebih feeling dengan nama-nama mereka, apa kata saya “recap” balik nama mereka sebagai berikut: Tuan Guru Wadd, Al-fadhil Al-Ustaz, Yaghuts, Allamah Asy-Syeikh Ya’uuq dan Sohibus Samahah Nasr.

 

Iya, mungkin memanggil nama-nama di atas dengan “gelar-gelar” sebegitu kurang tepat. Tapi agak perlu untuk kita memahami dan menghayati siapakah gerangannya nama-nama tersebut andainya mereka masih hidup di zaman kita, lau kana bainana. Sebab, Imam Ibnu Katsir menukilkan di dalam kitabnya Qishashul Anbiyaa’ Ibratun li-Ulil Albaab bahawa mereka sebetulnya adalah nama orang-orang soleh dari kaum Nabi Allah Nuh ‘alaihis salam. Sebagai penghargaan atau peringatan (baca: tribute) kepada tokoh-tokoh ini, maka masyarakat pun mendirikan bangunan di bekas-bekas tempat duduk yang pernah ditempati oleh tokoh-tokoh ini. Namun, dek kerja keras nan tak mengenal lelah Syaitan, tribute murni ini lama-kelamaan bertukar bid’ah yang menyesatkan, lalu jadilah “tuan guru-tuan guru” permata umat ini, berhala-hala terawal dalam sejarah panjang kemanusiaan.

 

 

Demikianlah tragedi yang bakal terjadi, tatkala fenomena fanatik dan ketaksuban sudah mula meresap ke dalam sanubari kemanusiaan. Hingga, tatkala turun ayat tentang pengkultusan orang-orang alim dan rahib-rahib (lihat Surah At-Taubah [9]:31) sehingga diangkat seumpama Tuhan (oleh orang-orang Nasrani), Adi bin Hatim radhiallahu ‘anh, seorang convert daripada agama tersebut, pantas membantah. “Sesungguhnya mereka (orang Nasrani) tidak menyembahnya” demikianlah Sayyid Qutb merakamkan  di dalam Fi Zhilal. Namun, sabda Nabi SAW (seperti yang dinukilkan Hamka di dalam Tafsir Al-Azhar); “Bahkan! Kerana sesungguhnya pendeta-pendeta itu mengharamkan yang halal dan menghalalkan yang haram, lalu mereka ikuti sahaja. Itulah dinamai mereka beribadat (memuja) kepada pendeta-pendeta itu.”

 

Saudaraku,

Tragedi malang yang terjadi di dalam tubuh umat, sering kali terjadi tatkala manusia hidup dengan perasaan fanatik dan ketaksuban kepada seseorang, atau sesuatu perkumpulan. Hingga, mereka tidak lagi menilai keadilan dan kebenaran, dari kaca mata dan neraca yang sepatut dan seharusnyanya. Apa sahaja yang dilakukan oleh kumpulan atau tokohnya adalah betul, dan apa saja yang dilakukan dan dikemukakan oleh lawan mereka adalah salah. Hingga, perasaan simpati yang seharusnya timbul secara natural tatkala melihat sesama insan dipukul oleh sesebuah pihak, langsung tidak kedengaran, hanya kerana ia dipihak yang tidak dipersetujui oleh mereka.

 

 

Kerana itulah, para ulama’ senantiasa meletakkan Rabbaniyah sebagai kriteria pertama lagi utama tatkala mengajak manusia kepada kebenaran. Kerana fanatik perkumpulan mahupun individu, sering berakhir dengan pergaduhan, permusuhan dan bermasam muka sesama insan.

 

 Marilah kita ubah semua ini wahai kawan, kerana sejarah telah menitipkan, betapa orang-orang salih di zaman Nuh pun, justeru kemudiannya menjadi berhala-hala yang disembah oleh orang-orang terkemudian. Ingatlah, kita masuk Syurga kerana rahmat Allah dan keimanan, bukan masuk Syurga kerana kita ada “kad keahlian”.

 

Ir. Faridul Farhan adalah seorang Jurutera Profesional & Jurutera Elektrik Kompeten

 

No comments:

Post a Comment