Monday, 28 May 2012

[JOM]: HUKUM GERAKAN NEWTON KETIGA

HUKUM GERAKAN NEWTON KETIGA

 

Encik Newton memberitahu saya (melalui perantaraan Encik Wikipedia) bahawa Hukum Gerakan Newton Ketiga tidaklah berbicara akan soal halal-haram. Jauh sekali sunat-makruh. Tetapi, yang sebenarnya sedang “dihukum” oleh Newton justeru berkenaan “tindakan”, bahawa untuk setiap daya tindakan, akan ada suatu daya tindak balas yang mempunyai magnitud yang sama, tetapi bertindak pada arah yang berlawanan dengandaya tindakan tersebut.

 

Sumber gambar: bbc.co.uk

 

Anda faham maksud saya (maksud Newton sebenarnya)? Begini, Encik Wikipedia memberikan contoh seseorang yang berjalan kaki. Demikian ia menolakkan tapak kakinya ke lantai, lantai pula ternyata menolak tapak kaki orang itu ke hadapan. Pada magnitud yang sama, cuma arahnya sahaja yang berbeza. Atau, ketika sebuah buku diletakkan di atas permukaan meja. Ternyata berat sang buku sedang bertindak balas ke atas meja itu, sambil sang meja itu pula sedang melakukan tindak balas dengan daya dan magnitud yang serupa, cumanya pada arah yang bertentangan dengan berat buku tersebut.

 

Nah, berpandukan Hukum Gerakan Newton Ketiga ini, para rakyat yang sedang tertindas harus lega bergembira, sedang para Thaghut dan penguasa zalim harus bersedia. Kerana bagi setiap kezaliman, kekejaman dan tekanan yang dikenakan kepada rakyat jelata, pasti mengundang tindak balas yang mempunyai magnitud yang kekuatan dan impactnya serupa. Mungkin kau tak menyedarinya, tetapi kelak kau akan merasakannya. Firman Allah S.W.T;

 

“Katakanlah: telah datang Al-Haq (kebenaran) dan telah musnahlah kebatilan. Sesungguhnya kebatilan itu sesuatu yang pasti lenyap.”

(Surah Al-Isra’ [17]:81)

 

Apabila penguasa yang zalim, thaghut, atau kuasa-kuasa kejahatan melakukan tekanan atau tindakan yang kejam terhadap para pejuang Islam, pasti wujud daya balas yang justeru sama kuat, pada arah yang bertentangan dengan kuasa kezaliman tersebut. Paksi kejahatan menujahkan tekanan pada arah kebinasaan, tetapi para pejuang Islam pula memberikan “daya” ke arah kebaikan. Dalam erti kata yang lain, tidak ada istilah putus asa, mahu pun mengaku kalah dalam kamus dan diari hidup para pejuang Islam. Masih ingat lagikah kalian dengan hadith tentang kisah Ghulam(pemuda) di dalam kisah ashabul Ukhdud? Ghulam itu ditekan oleh sang raja. Dihantar ke gunung, juga ke laut, untuk dibunuh. Ternyata, tekanan yang diberikan oleh sang raja, justeru dibalas oleh daya yang sama kuat oleh sang Ghulam, hingga saja Sang Raja terpaksa menuruti setiap arahan sang Ghulam, tatkala sang Raja ingin sangat membunuhnya. Akhirnya, Ghulamlah yang kemudiannya menguasai suasana, bukan membiarkan suasana menguasai dan menentukan hala tuju dakwahnya.

 

“Hukum Newton Ketiga” di Mesir sebenarnya telah berjalan sekian lama

 

Kerana itu –barangkali- Abu A’la al-Maududi meninggalkan pesannya kepada kita, agar dengan komitmen yang tegar dan usaha yang berterusan, akan bisa menjadi daya yang justeru mempunyai magnitude yang sama dengan tekanan dan kezaliman para pejuang kejahatan, cumanya pada arah yang berlawanan dengan mereka. Kata al-Maududi; ”Bila kalian menyambut tugas dakwah ini tidak sebagaimana sikap kalian terhadap tugas yang menyangkut urusan peribadi kalian maka dakwah ini akan mengalami kekalahan yang nyata. Oleh kerana itu sambutlah tugas ini dengan ghairah.”

 

Kalau saja daya kita dalam bekerja menghasilkan daya berlawanan kepada diri kita, baik yang dinamakan kepuasan, baik yang dinamakan naik pangkat, baik yang namanya bonus dan sebagainya, tentunya kesungguhan dalam dakwah pasti membatalkan seruan-seruan pasukan kebatilan.

 

Hukum Gerakan Newton Ketiga. Tolong pesan pada Encik Newton wahai Encik Wikipedia, bahawa “kaki” yang sedang diinjakkan oleh pasukan kebatilan, sedang ditujah oleh kekuatan “lantai” pihak kebenaran!

 

 

Ir. Faridul Farhan Bin Abd Wahab merupakan seorang Jurutera Profesional berdaftar dengan Lembaga Jurutera Malaysia (BEM) serta Jurutera Elektrik Kompeten berdaftar dengan Suruhanjaya Tenaga Malaysia. Mempunyai Ijazah di dalam bidang Kejuruteraan Elektrik serta Sijil di dalam bidang Syariah, kini merupakan Penolong Pengurus di salah sebuah Stesyen Janakuasa Elektrik tempatan.

 

 

No comments:

Post a Comment