Sunday, 17 June 2012

Logic Gate AND

Dunia hari ini adalah dunia elektronik. Segala-galanya memerlukan bantuan dan pertolongan gajet-gajet dan adaptasi teknologi canggih yang terkini. Hatta untuk mencetak penyata KWSP, atau memperbaharui dan melanjutkan tempoh hayat passport, semuanya memperlihatkan bantuan mesin sebagai galang ganti kepada tenaga dan masa yang sebelumnya digalas oleh seseorang manusia. Tentunya, dengan ketergantungan manusia kepada mesin-mesin ini, bererti semakin tergantungannya manusia kepada perkakas-perkakas berasaskan elektronik. Maka, di sinilah kepentingan dan sumbangan elektronik mengambil tempatnya.

 

Dan di antara komponen elektronik yang memainkan peranan besar di dalam kehidupan insani, adalah komponen yang dikenali sebagai logic gate. Dan di antara logic gate asas yang ada di maya pada ini, adalah AND gate, yang menjalankan peranannya berdasarkan jadual seperti di bawah:

 

 

Penerangannya: untuk logic gate memberikan output (katakan C), kesemua inputnya harus memberikan hasil, memberikan masukan, memberikan "kerjasama", kerana AND gate berfungsi berasaskan rumus C=AxB. Ertinya jika salah inputnya tidak memberikan hasil (yakni 0), maka biarpun input yang lainnya memberikan sumbangan, tetap tiada output yang dapat dihasilkan. Malah jika inputnya 3, atau 4, atau berapa banyak sekalipun, selagi ada di kalangan input yang "lepas tangan" dan tidak menyumbang, output yang didamba-dambakan tetap tak akan dikecapi, malah kekal sekadar suatu yang diimpi. Barangkali, ia mengambil inspirasi daripada ayat Al-Quran berikut:

 

وَاتَّقُوا فِتْنَةً لَا تُصِيبَنَّ الَّذِينَ ظَلَمُوا مِنْكُمْ خَاصَّةً ۖ وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ

"Dan jagalah diri kamu daripada (berlakunya) dosa (yang membawa bala bencana) yang bukan sahaja akan menimpa orang-orang yang zalim di antara kamu secara khusus (tetapi akan menimpa kamu secara umum) dan ketahuilah bahawa Allah Maha berat azab seksaNya."

(Surah Al-Anfal [8]:25)

 

Biar saya fikirkan apa contoh aplikasi yang menggunakan logic gate AND ini. Ermm… haa… contoh aplikasinya adalah pada mesin jual air tin. Untuk air tin keluar seperti yang diinginkan sang pembeli, inputnya harus memberikan masukan (yakni "1"), iaitu pada input PILIHAN, sang pembeli tadi harus telah memilih air tin mana yang ia mahukan, dan pada input DUIT TELAH DIMASUKKAN pun harus telah diselesaikan. Selagi kedua-dua input itu tidak selesai (yakni "1"), tiada output yang akan dihasilkan, maka kekallah sang pembeli itu menunggu-nunggu keluarnya air tin itu daripada mesinnya, tersalah tanggap akan maksud tawakal, walhal tawakal itu seharusnya disertai dengan usaha dan iktiar (mengusahakan "1" pada kesemua inputnya).

 

 

Contoh lain adalah mesin tiket KTM. Tiket tetap tidak akan keluar (inilah outputnya) selagi PEMILIHAN DESTINASI tidak jadi "1" (yakni telah dipilih), serta WANG/ PEMBAYARAN telah dilakukan.

 

Biar pun saya sendiri tidak pasti benarkah mesin air tin dan mesin tiket KTM menggunakan logic gate AND atau tidak, tetapi secara teorinya, sepatutnya seperti yang telah nyatakan di atas tadi.

 

Saudaraku,

 

Ada yang bertanya kepada saya, adakah seorang non-Muslim yang melakukan kebaikan, akan beroleh pahala di atas kebaikan yang ia lakukan itu? Maka bagi menjawab persoalan itu, eloklah kita fahami teori, apakah input yang diperlukan, agar AND gate bertema "syarat diterimanya amal" itu dipenuhi.

 

Memang, ALLAH yang Maha Kuasa, bersifat rahmah dan belas kepada semua hamba-Nya. Di sana adanya sifat Ar-Rahman, yang meliputi kesemua makhluknya. Namun, di sana juga ada sifat Ar-Rahim, yang menurut sebahagian besar pendapat, khusus disediakan buat hamba-hambaNya yang mukmin sahaja.

 

Maka untuk "output" sesuatu amal itu menghasilkan "1" (yakni diterima oleh Allah), kesemua tiga inputnya –demikian menurut Ibnu Rajab di dalam Jami' Al-'Ulum wa Al-Hikamnya, juga oleh Syeikh Muhammad Amin Asy-Syanqiti di dalam Al-Islam: din kamil- harus "1" yakni dipenuhi; iaitu:-

 

1)    Ibadah hendaklah dibina di atas akidah yang sahih, sesuai dengan apa yang difirmankan oleh Allah:

 

"Dan sesiapa yang mengerjakan amal soleh, dari lelaki atau perempuan, sedang dia beriman, maka mereka itu akan masuk Syurga dan mereka pula tidak akan dianiaya (atau dikurangkan balasannya) sedikitpun."

(Surah An-Nisa' [4]:124)

 

Berdasarkan nash, tidaklah menjadi syarat dalam menyembelih itu hendaklah menyebut nama Allah (demikianlah kata Hamka dalam Tafsir Al-Azharnya, sebagai hujah dibenarkan makan sembelihan ahli Kitab), tetapi sembelihan itu tidak seharusnya disembelih dengan menyebut nama selain Allah, atau demi sesuatu yang boleh membawa kepada Syirik, seperti menyembelih binatang sekian-sekian sebagai pengorbanan kepada pantai agar rebut tidak melanda dan sebagainya, seperti yang disebutkan di dalam Al-Quran (dan ini adalah tambahan oleh penulis):-

 

"Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai (binatang yang tidak disembelih) dan darah (yang keluar mengalir) dan daging babi (termasuk semuanya) dan binatang-binatang yang disembelih kerana yang lain dari Allah dan yang mati tercekik, dan yang mati dipukul dan yang mati jatuh dari tempat yang tinggi dan yang mati ditanduk dan yang mati dimakan binatang buas, kecuali yang sempat kamu sembelih (sebelum habis nyawanya) dan yang disembelih atas nama berhala…"

(Surah Al-Maidah [5]:3)

 

"Katakanlah (wahai Muhammad): Aku tidak dapati dalam apa yang telah diwahyukan kepadaku, sesuatu yang diharamkan bagi orang yang hendak memakannya melainkan kalau benda itu bangkai atau darah yang mengalir atau daging babi kerana sesungguhnya ia adalah kotor atau sesuatu yang dilakukan secara fasik, iaitu binatang yang disembelih atas nama yang lain dari Allah..."

(Surah Al-An'am [6]:145)

2)    Ikhlas kerana Allah, seperti yang kita semua maklum sesuai dengan apa yang disebut oleh Nabi SAW dalam hadith Arbain Imam Nawawi yang pertama.

 

3)    Bertepatan dengan apa yang dibawa oleh Nabi SAW, kerana di dalam hadith riwayat Imam Muslim (dan turut disebut di dalam hadith Arbain Imam Nawawi), daripada Aisyah R.A, Nabi SAW bersabda;

 

"Sesiapa yang membuat perkara baru di dalam urusan kami ini (Islam) apa yang bukan daripadanya, maka ianya tertolak)"

 

Kata Dr. Yusuf Al-Qaradhawi di dalam Al-Ibadah fi Al-Islam; "hendaklah seorang Muslim dalam ibadahnya mnegikut batasan yang ditentukan untuknya. Tidak mencukupi hanya sekadar bertujuan untuk keredhaan Allah semata, bahkan hendaklah ibadah itu dilakukan dalam bentuk yang disyariatkan ALLAH, dengan kaifiyyat (cara) yang diredhaiNya. Janganlah ibadah seorang Muslim itu ialah apa yang direka oleh manusia berdasarkan hawa nafsu dan sangkaan."

 

Kerana itu wahai saudaraku, dengan sekadar menjawat jawatan tertentu di dalam  NGO Islam, atau mempunyai kelulusan sekian-sekian di dalam bidang pengajian Islam, atau melakukan sesebuah program yang gempak lagi hot, tidaklah bererti amalmu itu bernilai dan bermanfaat untuk Akhiratmu, selagi tiga output yang di atas tidak dipenuhi lagi.

 

Oleh yang demikian ingatlah, syarat diterimanya amal, seumpama logic gate AND, yakni iman, ikhlas dan bertepatan dengan sunnah, sebagai syarat untuk diterimanya segala amal. Wallahu'alam.

 

 

Ir. Faridul Farhan Abd Wahab

Jurutera Profesional  dan Jurutera Elektrik Kompeten

Lulusan Ijazah Kejuruteraan Elektrik dan Sijil Pengajian Syariah

 

 

 

 

 

Monday, 11 June 2012

[JOM]: PRINSIP KEABADIAN TENAGA (CONSERVATION OF ENERGY PRINCIPLE)

Prinsip Keabadian Tenaga –juga dikenali sebagai Hukum Termodinamik Yang Pertama- adalah satu hukum, satu prinsip, satu ketentuan atau satu ketetapan yang menyatakan betapa tenaga itu –baik tenaga kimia, baik tenaga mekanik, baik tenaga elektrik, dan lain sebagainya- tidak boleh dicipta, mahupun dimusnahkan. Ia hanya melalui suatu proses “pertukaran” daripada satu bentuk tenaga, kepada bentuk tenaga yang lainnya.

 

Sebagai contoh, tenaga matahari yang ada di sekeliling kita tidaklah hilang sebegitu sahaja, sebaliknya ia ditransformkan ke suatu bentuk tenaga yang lainnya: kepada tenaga kimia oleh tumbuh-tumbuhan. Kepada tenaga elektrik oleh sel suria (disebut tenaga solar). Kepada tenaga batin oleh Tongkat Ali.... err... ye ke? Pokoknya tenaga itu tidak terhapus, tetapi hanya di”terjemahkan” ke dalam beberapa “bahasa” tenaga yang lainnya, yang sedikit berbeza dengan bentuk tenaga asalnya. Cerita Crayon Sinchan misalnya, sungguh pun diterjemahkan ke pelbagai bahasa, baik ke Bahasa Malaysia di televisyen, mahupun ke Bahasa Indonesia di dalam CD dan Youtube, namun, “tenaga kelawakkannya” tetap sahaja terpelihara, barangkali kerana lawaknya itu memenusi prinsip keabadian (barangkali!)

 

Sumber: myinterestingfacts.com

 

Saudaraku,

 

Sehebat-hebat manusia, kita terpaksa akur akan hakikat ini: tenaga tidak boleh dicipta, tidak dapat dimusnahkan. Oleh itu, menyedari akan dhaifnya diri manusia ini, setiap daripada kita harus sedar betapa we are nobody tanpa Allah S.W.T. Sehingga wajar, Nabi S.A.W sentiasa mengajarkan kita lantunan doa, betapa kita senantiasa memerlukan pemeliharaan dan kasih sayang Allah S.W.T. Sabda Nabi;

 

“Wahai Allah Yang Maha Hidup dan Maha Kekal, dengan rahmat-Mu aku memohon pertolongan. Perbaikilah keadaanku seluruhnya dan janganlah Engkau biarkan nasibku ditentukan oleh diriku sendiri walaupun sekadar sekelip mata.”

(Hadith riwayat An-Nasa’i, daripada Anas bin Malik)

 

“Ya Allah, aku mengharapkan rahmat-Mu. Wahai Tuhanku, perbaikilah seluruh keadaan diriku, dan janganlah Engkau serahkanku kepada diriku sendiri walaupun sekadar sekelip mata.Tiada Tuhan melainkan Engkau”

(Hadith riwayat Abu Daud)

 

Sumber: noforbiddenquestions.com

 

Kerana kita tak akan pernah bisa menciptakan tenaga (melainkan mengubahnya sahaja), maka wajar kita memenuhi “Prinsip Keabadian Nikmat,” di mana what we get, we give back. Apa saja nikmat yang kita peroleh, yang kita rasai, yang kita nikmati, wajar sahaja kita “beri” kembali. Beri kembali dalam bentuk syukur. Beri kembali dalam bentuk banyak beribadat. Beri kembali dalam bentuk berjuang menegakkan kalimah Allah. Kerana Prinsip Keabadian Nikmat ini menyebutkan: segala nikmat yang Allah kurniakan, akan kita tukarkan kepada bentuk syukur, kepada bentuk taat, ibadah, serta berjuang berdakwah menyebarkan nikmat kalimah Allah SWT ini. Firman Allah:

 

“Sekiranya kamu bersyukur kepada Ku, nescaya aku tambahkan (nikmat-Ku) untuk kamu. Tetapi sekiranya kamu kufur, nescaya azab-Ku amat pedih”

(Surah Ibrahim [14]:7)

 

Dari-Nya kita datang, kepada-Nya jugalah kita bakal kembali. Sebagaimana Allah telah memenuhi keperluan-keperluan kita, maka marilah kita pula memenuhi “seruan-seruan”nya kembali. Seperti mana tenaga akan kekal “hidup” tatkala ianya ditukarkan ke bentuk tenaga yang lain, nikmat dan rahmat Allah akan terus “hidup” tatkala insan sudi menyahut seruan perjuangan yang dilontar oleh Allah S.W.T. Firman Allah:

 

“Wahai orang-orang yang beriman! Penuhilah (seruan) Allah dan Rasul-Nya tatkala (Allah dan Rasul) menyeru kalian kepada sesuatu yang dapat “menghidupkan” kalian..”

(Surah Al-Anfal [8]:24)

 

Sumber: carian di Google image

 

Ya Allah, janganlah kau tarik “tenaga” yang Dikau kurniakan kepada kami, hingga kami terpaksa mencipta “tenaga” kami sendiri... Kami tidak mampu Ya Allah (hidup tanpa tenaga dan nikmat-Mu), biarpun sekadar sekelip mata cuma...

 

(Artikel ini adalah adaptasi artikel asalnya yang disebar-emailkan pada tahun 2004)

 

Ir. Faridul Farhan Abd Wahab adalah seorang insan, dari sekelian banyak insan, yang dianugerahkan kesempatan oleh Allah menjadi Jurutera Profesional dan Jurutera Kompeten, dan berharap dapat membalas anugerah itu dengan menjadi Mujahid di Jalan Allah...



 

Sunday, 10 June 2012

Respon pemenang Nobel Keamanan terhadap Hijab

TAWAKKULl Karman ialah seorang wanita yang memenangi Anugerah Nobel (Noble Laureate) Keamanan berasal dari Yaman. Beliau juga lebih dikenali sebagai Ibu Revolusi Yaman.

Apabila wartawan bertanya kepada beliau mengenai pakaiannya yang menutup aurat, Hijab (tudung kepala) yang disifatkan sebagai tidak sesuai untuk tahap intelektual dan pendidikan beliau, Tawakkul Karman telah menerangkan dengan cukup jelas untuk kita semua renungi dan ambil iktibar.

Apa jawapan Tawakkul Karman?


"Manusia di zaman awal peradaban hampir telanjang, seiring dengan pencapaian ilmu dan tamaddun manusia, mereka mula mengenakan pakaian. Makin lama makin banyak untuk menutupi tubuh badan mereka.

Apa yang saya pakai hari ini melambangkan pencapaian tertinggi peradaban manusia dan ianya bukan satu langkah kebelakang. Malah, manusia yang mula meninggalkan pakaianlah orang yang ingin mundur dan kembali ke zaman purba."






source: http://milosuam.blogspot.com/2012/06/sebar-respon-pemenang-nobel-keamanan.html#ixzz1xNs7s6an

Friday, 8 June 2012

Dosa

”Kamu semua memuji ketakwaan dan ibadatku, sedang jika dosa-dosa itu mengeluarkan bau, sudah tentu kamu semua tidak akan mendekatiku (dek kerana busuknya bau dosa itu)”

-Muhammad bin Wasi’ Al-Azdi

 

 

Monday, 28 May 2012

[JOM]: HUKUM GERAKAN NEWTON KETIGA

HUKUM GERAKAN NEWTON KETIGA

 

Encik Newton memberitahu saya (melalui perantaraan Encik Wikipedia) bahawa Hukum Gerakan Newton Ketiga tidaklah berbicara akan soal halal-haram. Jauh sekali sunat-makruh. Tetapi, yang sebenarnya sedang “dihukum” oleh Newton justeru berkenaan “tindakan”, bahawa untuk setiap daya tindakan, akan ada suatu daya tindak balas yang mempunyai magnitud yang sama, tetapi bertindak pada arah yang berlawanan dengandaya tindakan tersebut.

 

Sumber gambar: bbc.co.uk

 

Anda faham maksud saya (maksud Newton sebenarnya)? Begini, Encik Wikipedia memberikan contoh seseorang yang berjalan kaki. Demikian ia menolakkan tapak kakinya ke lantai, lantai pula ternyata menolak tapak kaki orang itu ke hadapan. Pada magnitud yang sama, cuma arahnya sahaja yang berbeza. Atau, ketika sebuah buku diletakkan di atas permukaan meja. Ternyata berat sang buku sedang bertindak balas ke atas meja itu, sambil sang meja itu pula sedang melakukan tindak balas dengan daya dan magnitud yang serupa, cumanya pada arah yang bertentangan dengan berat buku tersebut.

 

Nah, berpandukan Hukum Gerakan Newton Ketiga ini, para rakyat yang sedang tertindas harus lega bergembira, sedang para Thaghut dan penguasa zalim harus bersedia. Kerana bagi setiap kezaliman, kekejaman dan tekanan yang dikenakan kepada rakyat jelata, pasti mengundang tindak balas yang mempunyai magnitud yang kekuatan dan impactnya serupa. Mungkin kau tak menyedarinya, tetapi kelak kau akan merasakannya. Firman Allah S.W.T;

 

“Katakanlah: telah datang Al-Haq (kebenaran) dan telah musnahlah kebatilan. Sesungguhnya kebatilan itu sesuatu yang pasti lenyap.”

(Surah Al-Isra’ [17]:81)

 

Apabila penguasa yang zalim, thaghut, atau kuasa-kuasa kejahatan melakukan tekanan atau tindakan yang kejam terhadap para pejuang Islam, pasti wujud daya balas yang justeru sama kuat, pada arah yang bertentangan dengan kuasa kezaliman tersebut. Paksi kejahatan menujahkan tekanan pada arah kebinasaan, tetapi para pejuang Islam pula memberikan “daya” ke arah kebaikan. Dalam erti kata yang lain, tidak ada istilah putus asa, mahu pun mengaku kalah dalam kamus dan diari hidup para pejuang Islam. Masih ingat lagikah kalian dengan hadith tentang kisah Ghulam(pemuda) di dalam kisah ashabul Ukhdud? Ghulam itu ditekan oleh sang raja. Dihantar ke gunung, juga ke laut, untuk dibunuh. Ternyata, tekanan yang diberikan oleh sang raja, justeru dibalas oleh daya yang sama kuat oleh sang Ghulam, hingga saja Sang Raja terpaksa menuruti setiap arahan sang Ghulam, tatkala sang Raja ingin sangat membunuhnya. Akhirnya, Ghulamlah yang kemudiannya menguasai suasana, bukan membiarkan suasana menguasai dan menentukan hala tuju dakwahnya.

 

“Hukum Newton Ketiga” di Mesir sebenarnya telah berjalan sekian lama

 

Kerana itu –barangkali- Abu A’la al-Maududi meninggalkan pesannya kepada kita, agar dengan komitmen yang tegar dan usaha yang berterusan, akan bisa menjadi daya yang justeru mempunyai magnitude yang sama dengan tekanan dan kezaliman para pejuang kejahatan, cumanya pada arah yang berlawanan dengan mereka. Kata al-Maududi; ”Bila kalian menyambut tugas dakwah ini tidak sebagaimana sikap kalian terhadap tugas yang menyangkut urusan peribadi kalian maka dakwah ini akan mengalami kekalahan yang nyata. Oleh kerana itu sambutlah tugas ini dengan ghairah.”

 

Kalau saja daya kita dalam bekerja menghasilkan daya berlawanan kepada diri kita, baik yang dinamakan kepuasan, baik yang dinamakan naik pangkat, baik yang namanya bonus dan sebagainya, tentunya kesungguhan dalam dakwah pasti membatalkan seruan-seruan pasukan kebatilan.

 

Hukum Gerakan Newton Ketiga. Tolong pesan pada Encik Newton wahai Encik Wikipedia, bahawa “kaki” yang sedang diinjakkan oleh pasukan kebatilan, sedang ditujah oleh kekuatan “lantai” pihak kebenaran!

 

 

Ir. Faridul Farhan Bin Abd Wahab merupakan seorang Jurutera Profesional berdaftar dengan Lembaga Jurutera Malaysia (BEM) serta Jurutera Elektrik Kompeten berdaftar dengan Suruhanjaya Tenaga Malaysia. Mempunyai Ijazah di dalam bidang Kejuruteraan Elektrik serta Sijil di dalam bidang Syariah, kini merupakan Penolong Pengurus di salah sebuah Stesyen Janakuasa Elektrik tempatan.

 

 

Thursday, 24 May 2012

Ikan Puyu

Semalam, ketika singgah di pasar malam, saya sempat membeli ikan puyu 4 ekor buat santapan kami sekeluarga. Sepanjang hidup saya, inilah kali pertama saya berjumpa orang yang menjual ikan puyu. Sungguh pun sejak sekolah rendah, saya terbiasa ke kedai dan pasar malam kerana memang menjadi “orang suruhan” ibu saya untuk membeli barang-barang keperluan, namun, memang belum pernah saya ketemu orang yang menjual ikan puyu. Langsung, tak pernah!

Lantas, jika ikan puyu tidak dijual di pasaran, bagaimana saya boleh tahu akan kelazatan ikan puyu ini?

Bila dikenangkan kembali, saya berpeluang menyantap nasi berlaukkan ikan puyu, hanya ketika berpeluang pulang ke kampung rumah tok-nenek saya. Biasanya, ikan puyu itu diperolehi jika ada mana-mana sepupu saya, ataupun adik-adik saya, yang mengambil  kesempatan untuk memancing di sawah yang mengelilingi rumah atuk saya. Ertinya, lokasi geografi rumah atuk, di tengah-tengah bendang sawah padi, benar-benar membawa “berkat” sekaligus pengalaman meratah ikan puyu yang mungkin tidak akan pernah dialami oleh sebahagian besar rakyat Malaysia.

Saudaraku,

Mari kita renungkan kembali, betapa nikmatnya makanan yang kita makan. Betapa nyamannya tempat yang kita diami. Betapa masih beruntungnya kita di dalam kehidupan kita ini. Memang, kita sering menginginkan banyak impian-impian yang lainnya, yang belum tertunai, bahkan mungkin tak kan pernah tertunai, sehingga kita lupa akan segala keberuntungan yang sudah sedia ada di depan mata. Hingga kita alpa, betapa “nasib malang” yang menimpa kita, justeru masih lebih bernasib baik berbanding sebahagian manusia lainnya. Hingga kita leka, betapa “… jika kamu menghitung nikmat Allah, tidaklah dapat kamu menghinggakannya. Sesungguhnya manusia itu, sangat zalim dan sangat mengingkari (nikmat Allah).” (Surah Ibrahim [14]:34)

Seperti betapa nikmatnya ikan puyu; baru betul-betul terasa, tatkala kita tidak lagi berpeluang untuk meratahnya. Andai saja saya lebih menghargai kesempatan makan ikan puyu di kampung, maka saat-saat itu tentunya menjadi saat-saat yang sangat menggembirakan buat saya. Bahkan hanya saja saya bisa menghargai nikmat-nikmat lain yang dirasakan pada setiap kesempatan, tentunya “ajaban li amrul mukmin”, seperti disabdakan Nabi, benar-benar akan lahir dari diri saya.

Untuk itu, kepekaan hati diperlukan. Seperti makan ikan puyu tadi; jasad mungkin merasa kekenyangannya, tetapi hatilah yang mengajar diri untuk menghargainya. Kata Ibnu Taymiyyah; “Hati bisa merasakan apa yang tidak bisa dipandang oleh mata.”

Kerana itu, wahai saudaraku, kita harus mendidik diri untuk senantiasa melihat dengan mata hati. Bangun tidur, mata mungkin melihat perkara sama yang membosankan, tetapi hati melihat keindahan nikmat kehidupan, lalu memuji-muji Allah di atas nikmat yang DIA kurniakan. Begitulah seterusnya, dan seterusnya, dalam setiap kehidupan kita. Hingga, di dalam hadith riwayat Muslim (juga Ibnu Majah), Nabi SAW menggambarkan betapa kesedihan yang dialami dalam kehidupan duniawi, justeru tidak terasa tatkala diganjari dengan nikmat Syurga. Sabda Nabi SAW;

 

“Pada Hari Kiamat dibawa seorang penduduk dunia paling nikmat kehidupannya yang menjadi orang ahli neraka. Dia dicelup ke dalam neraka satu celupan sahaja, kemudian dia ditanya: “Wahai anak Adam, pernah engkau melihat kesenangan? Pernah engkau mendapat kenikmatan? Jawabnya: “Tidak! Demi Allah, wahai Tuhanku!”.

Lalu dibawa seorang penduduk dunia yang paling derita kehidupannya yang menjadi ahli syurga. Dia dicelup ke dalam syurga dengan satu celupan sahaja, kemudian dia ditanya: “Wahai anak Adam, pernahkah engkau melihat penderitaan? Pernahkah engkau mengalami kesusahan? Jawabnya: “Tidak! Demi Allah, wahai Tuhanku!. Aku tidak pernah melihat penderitaan. Aku tidak pernah mengalami kesusahan”

 

Ikan puyu mungkin dikau tak kan pernah berpeluang merasainya, duhai saudaraku. Namun, syukurilah segala lauk-pauk, sama ada enak atau tidak, yang berada di hadapan matamu, kerana satu saat kau akan merindui dan merasakan betapa nikmatnya saat Allah kurniakannya kepadamu.

 

Ir. Faridul Farhan Abd Wahab

Jurutera Profesional (BEM) dan Jurutera Kompeten (Suruhanjaya Tenaga)

Lulusan Ijazah Kejuruteraan Elektrik dan Sijil Pengajian Syariah

 

 

 

 

 

Monday, 14 May 2012

HYDRAULIC JACK

 

 

Antara penghargaan yang harus kita berikan kepada mereka-mereka yang berjiwa jurutera, adalah penambaikan kepada teknologi sedia ada, atau –dalam bahasa subjek Kemahiran Hidup PMR- disebut sebagai "inovasi." Dan, di antara inovasi yang ternyata semakin bermanfaat dan banyak memudahkan hidup kita, adalah inovasi yang dilakukan kepada jack kereta sedia ada. Daripada jack biasa yang didapati secara percuma di dalam kereta-kereta, di mana kita harus memusing-musingkan kepala (crank) jack tersebut, kepada pengenalan hydraulic jack yang lebih memudahkan dan kurang memenatkan, di mana kita hanya "mengepam" kepala atau handle jack itu untuk mengangkat kereta ke ketinggian yang kita inginkan. Sungguh mudah, biarpun harganya sedikit lebih mahal daripada jack sedia ada.

 

Saudaraku,

 

Ada hal yang bisa kita pelajari daripada sang hydraulic jack tersebut. Biar pun sang jack hanyalah rekaan manusia, tetapi kerana ia amat berguna lagi banyak membantu di saat kita kesusahan dek pencit yang menyinggahi tayar kereta kita, maka ucapan "terima kasih" harus kita berikan kepadanya, tetapi dengan cara "mengenang" kebaikan dan kelebihan yang ada pada dirinya. Seringkali, manusia memandang manusia yang lainnya dengan pandangan yang rendah, hingga tidak sedar betapa ada banyak potensi-potensi kebaikan yang bisa ia manfaatkan daripadanya, andai saja ia sudi merendahkan dirinya. Lihatlah bagaimana Allah merakamkan antara manusia-manusia terawal yang menginapi bumi ini –tepatnya Qabil- saat ia sudi mengambil manfaat daripada seekor burung gagak;

 

فَبَعَثَ اللَّهُ غُرَابًا يَبْحَثُ فِي الْأَرْضِ لِيُرِيَهُ كَيْفَ يُوَارِي سَوْءَةَ أَخِيهِ ۚ قَالَ يَا وَيْلَتَا أَعَجَزْتُ أَنْ أَكُونَ مِثْلَ هَٰذَا الْغُرَابِ فَأُوَارِيَ سَوْءَةَ أَخِي ۖ فَأَصْبَحَ مِنَ النَّادِمِينَ

"Kemudian Allah hantarkan seekor burung gagak (menyuruhnya) mengorek-ngorek di bumi supaya diperlihatkan kepada (Qabil) bagaimana cara menimbus mayat saudaranya. (Qabil) berkata: Wahai celakanya aku! Alangkah lemah serta bodohnya aku, aku tidak tahu berbuat seperti burung gagak ini, supaya aku dapat menimbuskan mayat saudaraku?. Kerana itu menjadilah dia dari golongan orang-orang yang menyesal."

(Surah Al-Maidah [5]:31)

 

Saudaraku,

 

 

Lihatlah bagaimana sang hydraulic jack meninggikan keretamu. Kau harus "mengepam" kepala atau handlenya ke bawah, untuk sang jack meninggi dan meninggi makin ke atas. Ertinya, dengan cara ia bergerak ke bawah, merendah, maka dengan cara itulah ia meninggikan keretamu. Lihatlah apa yang dipesankan oleh para ulama'; "barangsiapa yang tunduk merendah kepada Allah, maka Allah akan mengangkat dan meninggikan dirinya." Sedarlah, bahawa kemuliaan itu datang, ketinggian itu hadir, dan kejayaan itu menjulang, bukan kerana hebat dan mulianya diri kita, sebaliknya lantaran Allah sudi menganugerahkan semua itu kepada kita.

 

قُلِ اللَّهُمَّ مَالِكَ الْمُلْكِ تُؤْتِي الْمُلْكَ مَنْ تَشَاءُ وَتَنْزِعُ الْمُلْكَ مِمَّنْ تَشَاءُ وَتُعِزُّ مَنْ تَشَاءُ وَتُذِلُّ مَنْ تَشَاءُ ۖ بِيَدِكَ الْخَيْرُ ۖ إِنَّكَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ

"Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu."

(Surah Ali Imran [3]:26)

 

Saudaraku,

 

Yang namanya tawadhu' itu, bukan kita yang menggelarkan diri kita dengannya. Sebaliknya, orang lain yang melihat ianya ada di dalam diri kita, lantaran naturalnya pelakuan seharian kita. Sebahagian orang mungkin menyangka, bahawa dengan "angkat bakul sendiri" itu ia bisa menambahkan kemuliaan dan kekaguman orang terhadapnya, sebaliknya ia tidak sedar betapa ia mungkin kelihatannya meninggi, tetapi ia justeru sedang jack "keretanya" sampai terbalik!

 

Saudaraku,

 

 

Sedarlah betapa kemuliaan itu datang pada kerendahan. Seperti meningginya kereta di saat handle sang jack itu kita tolak KE BAWAH. Maka, senantiasa renungilah pesanan seorang qudwah buat kita semua, seorang Murabbi yang sangat lembut hatinya, tapi beroleh kemuliaan yang luar biasa, KH Rahmat Abdullah;

 

 

Merendahlah,

 

engkau kan seperti bintang-gemintang

 

Berkilau di pandang orang

 

Diatas riak air dan sang bintang nun jauh tinggi

 

Janganlah seperti asap

 

Yang mengangkat diri tinggi di langit

 

Padahal dirinya rendah-hina

 

 

(Rahmat Abdullah)

 

 

-penulis, Ir. Faridul Farhan Abd Wahab, adalah seorang Jurutera Profesional (BEM) dan Jurutera Kompetan (Suruhanjaya Tenaga). Beliau bercadang mengurang durasi kekerapan blognya kepada 2 minggu sekali, insyaAllah-