Friday 24 February 2012

Selendang

Sabda Nabi S.A.W; "Al-Islam ya'lu wa la yu'la alaih" "Islam itu tinggi, dan
tiada yang lebih tinggi (kedudukan) daripadanya." Namun, kedudukan dan
posisi Islam yang berada di tempat yang tinggi itu, sudah pun "teralih" pada
hari ini. Bukan lagi Islam yang kelihatan tinggi (di mata manusia), tetapi
Barat, Jepun, dan yang lain sebagainya, itulah yang menjadi rujukan, itulah
yang menjadi perhatian, itulah yang menjadi siulan oleh masyarakat moden
kita pada hari ini.

Lalu, berbagai pihak, berbagai "kabilah", berbagai "suku" dan berbagai
"kaum" berusaha untuk mengembalikan semula kegemilangannya. Malangnya,
setiap pihak, setiap "kabilah", setiap hizb (puak) termasuk setiap NGO dan
jemaah, saling bercakaran dalam proses mengembalikan keagungan islam itu.

Saudaraku,

Bagaimana kiranya jika "lau kana bainana", Ar-Rasul musthofa Muhammad Bin
Abdullah S.A.W ada di tengah-tengah kalangan kita, apa Nabi nan mulia
meredhai permusuhan dan pergaduhan di atas nama Islam ini? Dan kira-kiranya,
apakah penyelesaian yang akan diambil junjungan kita nan mulia untuk
menyelesaikan hal yang sebegitu melarat di kalangan para pejuang Islam ini?

Saya jadi teringat dengan masa kira-kira 5 tahun sebelum kenabian. Satu
ketika, Makkah dilanda banjir besar, yang kemudiannya menyebabkan Ka'bah nan
mulia rosak teruk dan perlu diperbaiki. Demikian selesai pemulihan Ka'bah,
kabilah-kabilah Arab mula berselisih akan siapakah yang berhak mendapatkan
kehormatan untuk meletakkan kembali Hajarul Aswad ke posisinya. Perselisihan
berlanjut sehingga 4 atau 5 hari –demikian menurut Mubarakfury dalam Rahiqul
Makhtum dan Al-Butty dalam Fiqhus Shirah- hingga hampir-hampir mengakibatkan
pertumpahan darah.

Lalu, bagaimana Ar-Rasul menyelesaikannya? Dihamparkan sehelai selendang,
diletakkan Hajarul Aswad di atasnya, lalu dijemput setiap ketua kabilah
memegang bahagian hujungnya dan mengangkatnya bersama-sama. Akhirnya,
baginda berjaya menyelesaikan permasalahan tersebut, yang asal ceritanya
terjadi, kerana niat yang murni, tetapi hampir mengakibatkan tragedi.

Saudaraku,

Mengembalikan ketinggian Islam, apa itu bukan matlamat yang suci? Sesuci
mengangkat dan mengembalikan Hajarul Aswad ke posisinya? Namun, apa perlu
matlamat yang suci itu, mengakibatkan persengketaan dan permusuhan, yang
menghancur-leburkan ketulusan dan kemuliaan perjuangan?

وَلَا تَكُونُوا كَالَّذِينَ تَفَرَّقُوا وَاخْتَلَفُوا مِنْ بَعْدِ مَا
جَاءَهُمُ الْبَيِّنَاتُ ۚ وَأُولَٰئِكَ لَهُمْ عَذَابٌ عَظِيمٌ

"Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang yang telah bercerai-berai
dan berselisih pendapat sesudah datang kepada mereka keterangan-keterangan
yang jelas dan mereka yang bersifat demikian, akan beroleh azab seksa yang
besar."

(Surah Ali Imran [3]:105)

Saudaraku,

Apa tidak bolehkah kita sama-sama mengembalikan kemulian Islam ini, dengan
masing-masing di antara kita berperanan, dan mengangkat "selendang"
perjuangan ini bersama-sama? Apa perlukah hanya kelompok kita sahaja yang
mengangkat "hajar Aswad" itu, lalu menafikan dan melukakan kelompok-kelompok
yang lainnya?

Apa perlu kita menuruti jejak langkah kabilah-kabilah Arab sebelum zaman
kenabian, sedang kita mengaku cintakan Allah, cintakan Rasul, cintakan
Islam, tapi melalaikan contoh yang telah Nabi S.A.W teladankan?

Mengapa rela kita menghalang-halangi saudara seperjuangan, hanya kerana
berbeza "kabilah" dengan diri kita? Mengapa perlu kita jatuh-menjatuhkan
saudara seperjuangan, hanya kerana mengutamakan "kabilah" kita? Mengapa
tergamak kita menjadikan kabilah kita "agama" baru, hingga yang diluar
daripada kelompok kita seakan-akan sama tarafnya dengan mereka yang di luar
daripada agama kita?

يَسْأَلُونَكَ عَنِ الشَّهْرِ الْحَرَامِ قِتَالٍ فِيهِ ۖ قُلْ قِتَالٌ فِيهِ
كَبِيرٌ ۖ وَصَدٌّ عَنْ سَبِيلِ اللَّهِ وَكُفْرٌ بِهِ وَالْمَسْجِدِ
الْحَرَامِ وَإِخْرَاجُ أَهْلِهِ مِنْهُ أَكْبَرُ عِنْدَ اللَّهِ ۚ
وَالْفِتْنَةُ أَكْبَرُ مِنَ الْقَتْلِ

"Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), mengenai berperang dalam bulan
haram; katakanlah: Peperangan dalam bulan itu adalah berdosa besar, tetapi
perbuatan menghalangi dari jalan Allah dan perbuatan kufur kepadaNya dan
juga perbuatan menyekat (orang-orang Islam) ke Masjidilharam (di Mekah),
serta mengusir penduduknya dari situ, (semuanya itu) adalah lebih besar lagi
dosanya di sisi Allah dan (ingatlah), fitnah itu lebih besar (dosanya)
daripada pembunuhan.."

(Surah Al-Baqarah [2]:217)

Renungkanlah kembali pesanan UZAR; "Jika kita tidak mampu menyebar & memandu
kebaikan, jangan sama sekali menjadi penghalang bagi mereka yang ingin
menyebarkannya."

Moga Islam akan gah kembali di "Carta Hati." Iya, Islamlah yang berada di
Carta Hati. Dengar ya Najwa Latif…

-Ir. Faridul Farhan Abd Wahab "izinkan saya turut sama memegang "selendang"
itu.."-

No comments:

Post a Comment