Showing posts with label Program Motivasi. Show all posts
Showing posts with label Program Motivasi. Show all posts

Tuesday, 26 April 2011

Program Motivasi Sains & Al-Quran SMA Nilai


NILAI, 24 April 2011 - Pada 23 dan 24 April 2011, telah berlangsungnya Program Motivasi Sains & Al-Quran di Sek. Men. Agama (SMA) Nilai, hasil kerjasama dengan Futuwwah Training & Consultancy. Program ini dihadiri oleh seramai 48 orang pelajar Tingkatan 4 dan 5 manakala dari pihak Futuwwah dihadiri oleh seramai 12 orang fasilitator.

Program bermula dengan Majlis Perasmian oleh Puan Aisyah, wakil guru SMA Nilai di samping ucapan guru kaunselor, Puan Siti Suria dan wakil Futuwwah iaitu Pengurus Besar, En. Abu Hanifah bin Mohd Kamal. Dalam majlis perasmian ini, pihak sekolah mengalu-alukan usaha Futuwwah dalam membantu memperbaiki akademik dan sahsiah para pelajar.

Sejurus majlis perasmian, program bermula dengan Ceramah 1 yang bertajuk "Sains & Al-Quran" yang disampaikan oleh Ustaz Mohd Shahman bin Md Azmi, Senior Consultant Futuwwah. Dalam slot ini, dihidangkan aplikasi Sains menurut acuan Al-Quran dan sekaligus menarik minat para pelajar dalam mempelajari Sains dan Pengajian Al-Quran. Sesudah itu, para pelajar dibahagikan kepada kumpulan-kumpulan kecil untuk slot LDK 1 iaitu "Menuju Puncak IPT" di mana slot ini, para fasilitator yang terdiri dari pelajar IPT dan golongan professional memberi gambaran tentang cabaran dalam mengharungi cabaran akademik ke IPT dan sekaligus memberi motivasi supaya memajukan diri dalam bidang akademik di samping menjaga imej sebagai seorang pelajar Muslim. Selepas solat Zuhur, para peserta terlibat dengan LDK 2 iaitu "Explorace Sains Solat" yang merupakan aktiviti luar di mana setiap kumpulan akan berlumba-lumba untuk menyelesaikan setiap check point. Pada setiap check point, setiap fasilitator akan menjelaskan tentang Sains Solat iaitu hikmah-hikmah yang terselindung sekiranya melakukan ibadah Solat. Pada malam hari, selepas Solat Isyak, berlangsung LDK 3 iaitu "Serangan Pemikiran" yang menerangkan usaha-usaha golongan musuh Islam yang sentiasa berlumba-lumba merosakkan pemikiran umat Islam tanpa disedari. Inilah antara slot yang perlu diberi penekanan untuk memastikan setiap peserta sentiasa berjaga-jaga dalam menghadapi cabaran di luar sana.

Pada keesokan harinya, seawal pukul 5.15 pagi, semua peserta dan fasilitator bangun pagi dan menunaikan ibadah Qiamullail secara berjemaah yang bertujuan mendekatkan hubungan diri dengan Allah. Selesai sarapan pagi, berlangsungnya slot Ceramah 2 iaitu "Kepentingan Tarbiyyah Kepada Pelajar" yang disampaikan oleh En. Abu Hanifah bin Mohd Kamal, Pengurus Besar Futuwwah. Dalam ceramah ini, diberinya penekanan tentang kerosakan ummat yang cukup hebat melanda manusia dan perlunya umat Islam bertindak agresif dengan melaksanakan program tarbiyyah secara konsisten dan berterusan. Tarbiyyah ini lah yang menjamin seseorang atau sesuatu terselamat dari kehancuran dan azab Allah. Selepas itu, slot yang terakhir berlangsung iaitu LDK 4 yang bertajuk "Peranan Pemuda". Dalam slot ini, setiap peserta diberikan gambaran tentang amanah yang perlu dipikul iaitu amanah kepada agama, Allah, ibu bapa, adik beradik, sekolah, guru-guru, rakan-rakan dan masyarakat. Ini kerana, hanya pemuda yang mampu bertindak dan mencorak masyarakat menjadi lebih baik.

Pada akhir program, berlangsungnya Majlis Penutup oleh Puan Rashidah, GPK SMA Nilai. Beliau secara terbuka menyatakan kerisauan sekiranya para pelajar keluar ke masyarakat kerana cabaran yang cukup hebat menanti mereka di luar sana. Beliau juga berharap agar program yang berlangsung ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh para pelajar. Dalam majlis ini, turut disampaikan sijil dan cenderahari kepada semua fasilitator yang terlibat.


Gambar-gambar sepanjang program berlangsung:







 



 
 




ABU HANIFAH BIN MOHD KAMAL
Pengurus Besar,
Futuwwah Training & Consultancy

Saturday, 26 February 2011

Program Kepimpinan MRSM Kuala Klawang

Objektif:
1.   Menyedarkan pelajar tentang keluasan definisi pemimpin.
2.   Melahirkan pemimpin pelajar yang berkaliber dan dapat membimbing rakan-rakannya yang lain.
3.   Menumbuhkan semangat kerjasama dan setia-kawan di kalangan pemimpin pelajar dan pelajar-pelajar yang lain.
4.   Menjalinkan hubungan ukhwah dan bertukar-tukar pengalaman di antara pemimpin pelajar MRSM Kuala Klawang dengan para professional, serta mahasiswa IPT dalam dan luar negara.

Tarikh: 11hb sehingga 13hb Februari 2011.
Seramai 42 orang pelajar (lelaki dan perempuan) telah menyertai program kepimpinan pelajar dengan disertai oleh 8 orang fasi lelaki dan 5 orang fasi perempuan. Program bermula secara rasmi selepas solat Isyak Pusat Sumber MRSM Kuala Klawang setelah dirasmikan oleh Guru Hal Ehwal Pelajar.  Kemudian, dijalankan aktiviti suai kenal di antara fasi dan peserta.
Pada hari kedua, slot ceramah disampaikan oleh Pengarah Urusan Futuwwah, Ir. Faridul Farhan bertajuk “Siapakah Pemimpin” bermula pada jam 9.00 am dan berakhir sekitar jam 10.30am. Seterusnya aktiviti diteruskan dengan LDK 1 iaitu “Kerosakan Ummah; Jalan Penyelesaiannay”. Peserta didedahkan dengan masalah-masalah yang berlaku pada masa kini dan jalan penyelesaian yang sepatutnya diambil untuk menangani masalah-masalah tersebut. Aktiviti seterusnya bermula pada jam 2.00 pm, iaitu National Treasure , dimana bahan “Kategori Pelaksanaan Program” disampaikan dalam bentuk ala-ala explorace untuk mengelakkan peserta berasa mengantuk dan menggalakkan pemikiran kreatif dikalangan peserta. Pada sebelah malam pula, LDK 3 dan 4 berjalan bermula dari jam 9.00-10.30pm untuk LDK 3 dan 10.30-11.30pm untuk LDK 4. Dalam LDK 3, peserta diberikan pendedahan mengenai pengurusan sesebuah pasukan bermula daripada aturcara sehinggalah kepada akhir sesuatu urusan. Dari ini, diharapkan agar peserta boleh mula mengatur strategi untuk menguruskan oraganisasi secara terancang. Untuk LDK 4, para pelajar diberikan ruang dan kesempatan untuk merancang aktiviti tahunan Badan Dakwah dan Rohani (BADAR). Antara tujuan dan objektif utama perancangan aktiviti tahunan ini adalah agar peserta mula bergerak dan berfikir secara kreatif dan kritis untuk menarik minat para pelajar lain untuk ikut serta dalam aktivit BADAR, agar kesinambungan BADAR berterusan dengan pelapis-pelapis yang tidak putus-putus.
Pada hari terakhir, slot Ceramah 2 dimulakan pada jam 9.00-10.30am. Ceramah yang bertajuk "Kepentingan Tarbiyah Kepada Pemimpin" telah disampaikan oleh Pengurus Besar Futuwwah, Ustaz Abu Hanifah bin Mohd Kamal. Antara isi penting dalam ceramah tersebut adalah kepentingan tarbiyah walau di mana sekalipun kita berada dan seberapa tinggi sekalipun kedudukan kita. Untuk aktiviti yang terakhir, para peserta diminta untuk membentangkan perancangan-perancangan yang telah dibincangkan semalam dimana para fasilitator akan bertindak sebagai penilai untuk memberikan sedikit komen. Aktiviti yang bermula pada jam 10.30am tamat sejam kemudian. Setelah selesai pembentangan oleh para peserta, berlangsung pula upacara penutup yang disempurnakan oleh Ustaz Kamal, mewakili pihak pengetua.
Setelah 3 hari 2 malam program berlansung dan meneliti komen-komen yang diberikan oleh para peserta, dapat disimpulkan disini bahawa, kebanyakkan peserta mula dapat memahami isi kandungan yang disampaikan oleh para penceramah dah fasilitator. Berdasarkan pemerhatian yang dilakukan ketika pembentangan, para peserta amat kreatif dan kritis dalam usaha untuk menarik pelajar-pelajar lain untuk mengikuti program-program yang akan dianjurkan oleh BADAR. Namun, pemantaun secara berterusan amat perlu bagi memastikan kesinamnbungan tarbiah tetap berjalan walaupun setelah mereka meninggalkan bangku sekolah. Untuk itu, pertemuan secara mingguan akan dijalankan agar proses pemindahan ilmu dapat dilakukakan dengan saksama.

Disediakan Oleh,
MOHAMAD FITRI MUSTAFA      
Ketua Fasilitator,
Program Kepimpinan MRSM Kuala Klawang

Friday, 25 February 2011

Program Kepimpinan Sek. Men. Teknik Tuanku Jaafar (STTJ)

KEPONG, 28 Jan- Program Kepimpinan Majlis Tertinggi Asrama Sekolah Menengah Teknik Tuanku Jaafar (STTJ), Negeri Sembilan telah berlangsung di Kem Perah, Kepong pada 28 Januari hingga 30 Januari 2011. Seramai 17 peserta lelaki dan 13 peserta perempuan telah menyertai program tersebut, barisan fasilitator pula seramai 3 orang lelaki dan 3 orang perempuan. Manakala Cikgu Nazry selaku kaunselor sekolah STTJ turut terlibat sepanjang program berjalan di sertai 2 orang guru pengiring perempuan.

Ketibaan para peserta, fasilitator dan guru pengiring disambut oleh wakil dari Kem Perah untuk menguruskan penginapan dan beberapa aktiviti yang telah dijalankan. Program bermula dengan perasmian ringkas serta sesi berkenalan dengan para fasilitator kepada para peserta program. Seterusnya aktiviti “Night Walk” dikendalikan oleh wakil Kem Perah dengan berjalan sekitar kawasan berhampiran.

Pada hari kedua program aktiviti “Jungle Trekking” dimulakan seawal 8 pagi dan dibantu oleh wakil Kem Perah, aktiviti ini disertai oleh semua peserta, fasilitator dan guru pengiring. Aktiviti berjalan hampir dua jam dengan melalui pemandangan sekitar kawasan berhampiran serta menelusuri kawasan hutan FRIM dengan pelbagai informasi baru tentang pokok-pokok serta kegunaannya yang disampaikan oleh wakil Kem Perah. Pengalaman ini memberikan suasana yang baru kepada para peserta di samping menambahkan pengetahuan berharga tentang alam flora yang terdapat di sini.

Di samping itu juga sesi ceramah telah dikendalikan oleh wakil Futuwwah Training and Consultancy iaitu En. Muhammad Nor Fazali Fazil dan En. Mohd Noor Mohd Tahir. Kepetahan dan kepelbagaian teknik dalam menyampaikan ceramah oleh kedua-dua wakil tersebut telah menarik minat yang mendalam kepada para peserta untuk memahami akan penyampaian yang diberikan. Tajuk-tajuk ceramah pada kali ini adalah Siapakah Pemimpin dan Acuan Pemimpin Ideal.

Tidak dilupakan aktiviti Latihan Dalam Kumpulan (LDK) juga telah diselitkan sepanjang program sebagai kesinambungan dari ceramah-ceramah yang telah disampaikan. Di samping juga untuk melihat pemahaman para peserta serta aplikasi yang boleh dimanfaatkan oleh mereka sebagai pemimpin di asrama sekolah yang mereka diami. Begitu juga dimasukan elemen permainan yang ringkas sebelum memulakan LDK yang mempunyai hubung kait akan isu yang dibincangkan di dalam LDK tersebut.

Sebagai kesimpulan dari pemerhatian sepanjang program dan juga hasil dari evaluasi dari para peserta berkenaan program kepimpinan ini menampakan hasil yang memuaskan dari segi penglibatan para peserta dalam setiap sesi soal jawab dan komitmen yang diberikan sepanjang program berlangsung dan objektif program juga sedikit sebanyak telah berjaya dicapai, namun pemahaman para peserta terhadap apa yang telah disampaikan serta impak jangka panjang setelah program ini harus dipantau secara berkala demi melihat hasil yang telah diperoleh oleh para peserta sepanjang program ini dapat diterjemahkan oleh mereka sebagai pemimpin asrama di STTJ.


Disediakan Oleh,

MOHD HALIMI ABDUL AZIZ
Ketua Fasilitator,
Program Kepimpinan SMTTJ