Sunday 27 March 2011

Video Lucah Tokoh Politik Malaysia

Pihak Futuwwah Training & Consultancy (Futuwwah) ingin menyatakan sokongan kami terhadap pendapat Sahibus Samahah Prof. Madya Dr. Asri (drmaza.com) berkenaan kecelaruan dan kekecohan terbaru dunia politik tanahair terutamanya yang berkaitan dengan isu video lucah seorang ahli politik pembangkang. Berikut kami salinkan kembali kenyataan Dr. Asri:-




VIDEO LUCAH DAN DOSA POLITIK
Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin

Dalam budaya manusia tiada nilai agama dan tamadun berakhlak, isu keaiban peribadi dijadikan mainan golongan yang selekeh. Maka muncullah kisah seks dan skandal peribadi tokoh politik itu dan ini sebagai senjata beracun membunuh musuh politik masing-masing.

Dalam Islam, perbuatan mendedahkan keaiban peribadi sebagai senjata politik adalah perbuatan yang dilarang oleh Allah dan rasulNya. Ia haram. Hanya mereka yang jahil nas-nas agama sahaja yang menyangka itu adalah suruhan syarak. Malangnya praktik ini telah diamalkan oleh ramai tokoh dan penceramah politik sejak dahulu lagi di negara kita ini.

Samada PAS, UMNO dan PKR; ramai individu dalam parti-parti itu telah terbabit dalam perkara yang diharamkan oleh syarak ini. Tuduhan seks, arak, kaki judi dan seumpamanya sudah menjadi ringan di lidah mereka. Bahkan kadang-kala mereka menghina rupa ciptaan Allah yang ada musuh-musuh politik mereka seperti mengatakan si botak, gagap, hidung besar, mamak dan lain-lain. Mereka melanggar pantang larang agama dalam berpolitik.

Wabak inilah sedang memakan diri mereka sendiri. Mereka yang tiada etika dan akhlak telah dan akan terus terbabit dalam hal ini. Sedangkan Nabi s.a.w
“Sesiapa yang menutup (keburukan) seorang muslim, Allah tutup (keburukannya) di dunia dan akhirat” (Riwayat Muslim).
Aib Peribadi

Islam melarang didedahkan aib peribadi yang tidak membabitkan kezaliman terhadap orang lain. Aib peribadi seperti zina, minum arak, berjudi dan seumpamanya hendaklah ditutup semampu mungkin. Jika hendak didakwa, hendaklah di mahkamah dan bukan untuk tontonan orang ramai. Pun begitu, Islam mengetatkan syarat saksi dan proses penyaksian.

Bagi kes zina, jika gagal dipenuhi syarat, penuduh boleh dijatuhkan hukuman qazaf. Tujuannya, untuk mengelakkan perangai suka menuduh dan mendedahkan aib peribadi orang lain. Sebab itu penzina dihukum 100 sebatan dan yang menuduh tanpa empat orang saksi 80 sebatan. Angka yang hampir bagi menunjukkan kesalahan menuduh tanpa empat orang saksi –sekalipun mungkin benar- adalah berat di sisi agama.

Firman Allah(maksudnya):
“Dan orang-orang yang melemparkan tuduhan (zina) kepada perempuan yang terpelihara kehormatannya, kemudian mereka tidak membawakan empat orang saksi, maka sebatlah mereka lapan puluh kali sebat; dan janganlah kamu menerima persaksian mereka itu selama-lamanya; kerana mereka adalah orang-orang yang fasik. (Surah al-Nur: ayat 4).

Nabi s.a.w sendiri mengelakkan agar aib itu didedahkan, bahkan disuruh bertaubat secara sendirian; dengan solat dan istighfar. Dalam riwayat Muslim, seorang lelaki datang kepada Rasulullah dan berkata:
“Wahai Rasulullah, aku mengubati seorang wanita di hujung bandar. Aku telah melakukan kepadanya (seks), cuma aku tidak menyetubuhinya. Inilah aku, maka hukumlah aku apa yang engkau mahu. Lalu ‘Umar (Ibn Khattab) berkata kepadanya: “Allah telah tutupi keaibanmu jika engkau menutupi dirimu”. Nabi s.a.w tidak berkata apa-apa. Lalu lelaki itu bangun dan pergi. Nabi s.a.w menyuruh seorang lelaki memanggilnya dan membaca kepadanya firman Allah (maksudnya) “Dan dirikanlah sembahyang pada dua bahagian siang (pagi dan petang), dan pada waktu-waktu yang berhampiran dengannya dari malam. Sesungguhnya kebaikan itu menghapuskan kejahatan. Perintah-perintah Allah Yang demikian adalah menjadi peringatan bagi orang-orang Yang mahu beringat” (Surah Hud ayat 114). Maka ada seorang bertanya: “Wahai Nabi Allah, ini khas untuknya sahajakah? Jawab Nabi s.a.w: “Bahkan untuk manusia keseluruhannya”.

Bukan Bukti Asas
Rakaman video bagi kes maksiat peribadi tidak boleh dijadikan asas bukti. Bagi kes zina hendaklah dengan empat orang saksi. Tiada keperluan untuk pencarian bukti sampingan. Itu soal dosa insan dengan Allah bukan dengan orang lain. Jika ia terlepas, mahkamah Allah di mahsyar tetap ada, atau mungkin dia bertaubat. Tiada pihak yang rugi atau untung melainkan dirinya sendiri.

Kata Dr Yusuf al-Qaradawi mengenai usaha mencegah kemungkaran:
“Kemungkaran itu mesti nyata dan dilihat. Adapun jika pelakunya melakukannya secara sembunyian dari pandangan manusia dan menutup pintu rumahnya, maka tidak seorang pun boleh mengintipnya atau merakamnya secara diam-diam dengan menggunakan alat elektronik atau kamera video atau menyerbu rumahnya untuk memastikan kemunkarannya. Inilah yang ditunjukkan pada lafaz hadis “barangsiapa yang melihat kemungkaran, maka hendaklah dia mengubahnya….”
Dikaitkan kewajipan mengubah itu dengan melihat atau menyaksikan kemunkaran. Tidak dikaitkan dengan mendengar tentang kemunkaran dari orang lain. Ini kerana Islam tidak menjatuhkan hukuman kepada orang yang mengerjakan kemungkaran secara bersembunyi dan tidak menampakkannya. Diserahkan hanya kepada Allah untuk menghisabnya pada hari kiamat. Hisab ini bukan menjadi wewenang seseorang di dunia. Sehinggalah dia melakukannya secara terang-terangan dan menyingkap keaibannya.
Bahkan hukuman ilahi itu lebih ringan bagi orang menutupi kemungkarannya dengan menggunakan tabir Allah dan tidak menampakkan kederhakaannya sebagaimana yang disebutkan dalam hadith sahih: (bermaksud):”Setiap umatku diberikan keampunan kecuali orang-orang yang menampakkan (dosanya)” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Justeru, tiada seorang pun mempunyai wewenang untuk menjatuhkan hukuman terhadap kemungkaran-kemungkaran yang dilakukan secara sembunyian. (Al-Qaradawi, Min Fiqh al-Daulah fi al-Islam, m.s. 124, Kaherah: Dar al-Syuruq).

Berbeza Dengan Kes Kezaliman
Ia berbeza dengan kes jenayah terhadap lain seperti bunuh, curi, rompak, rogol, diliwat secara paksa, rasuah dan seumpamanya. Kes-kes ini perlu dibongkar dan diambil tindakan demi keadilan terhadap mangsa. Rakaman dalam kes-kes ini perlu diusahakan. Islam mengizinkan, bahkan menyuruh didedahkan bahaya atau kezaliman yang dilakukan yang boleh memudaratkan orang ramai dan rakyat.

Jika ada perasuah, atau perompak, atau perogol maka hendaklah diberi amaran kepada orang yang mungkin menjadi mangsa. Itupun hendaklah atas asas bukti yang kukuh, bukan sekadar andaian. Demikian juga boleh mendedahkan kepada pihak yang berkaitan seperti hakim, pengundi dan orang awam tentang kezaliman yang boleh menimpa diri atau orang lain.

Firman Allah: (maksudnya)
“Allah tidak suka kepada perkataan-perkataan buruk yang dikatakan dengan berterus-terang (untuk mendedahkan kejahatan orang); kecuali oleh orang yang dizalimi, dan (ingatlah) Allah sentiasa Mendengar, lagi Maha mengetahui.Jika kamu melahirkan sesuatu kebaikan, atau menyembunyikannya, atau kamu memaafkan kesalahan (yang dilakukan terhadap kamu), maka sesungguhnya Allah adalah Maha Pemaaf lagi Maha Berkuasa”. (Surah al-Nisa: ayat 148-149).

Tidak Perlu Suruhanjaya
Tiada keperluan menubuhkan suruhanjaya khas bagi kes-kes maksiat peribadi. Ini hanya akan membazirkan harta rakyat. Al-Imam al-Ghazali (meninggal 505H) dalam kitabnya Ihya ‘Ulum al-Din telah menyebut mengenai rukun-rukun perlaksanaan Hisbah. Hisbah bermaksud perlaksanaan al-Amr bi al-Ma’ruf (menyuruh kepada makruf) apabila ia nyata ditinggalkan, dan al-Nahy ‘An al-Munkar (pencegahan kemunkaran) apabila ia nyata dilakukan.

Rukun ketiga yang disebut oleh al-Imam al-Ghazali ialah:
“Hendaklah kemungkaran tersebut zahir (jelas) kepada ahli hisbah tanpa perlu melakukan intipan. Sesiapa yang menutup sesuatu kemaksiatan di dalam rumahnya, dan mengunci pintunya maka tidak harus untuk kita mengintipnya. Allah Ta’ala telah melarang hal ini. Kisah ‘Umar dan ‘Abd al-Rahman bin ‘Auf mengenai perkara ini sangat masyhur. Kami telah menyebutnya dalam kitab Adab al-Suhbah (Adab-Adab Persahabatan).
Begitu juga apa yang diriwayatkan bahawa ‘Umar r.a. telah memanjat rumah seorang lelaki dan mendapatinya dalam keadaan yang tidak wajar. Lelaki tersebut telah membantah ‘Umar dan berkata: “Jika aku menderhakai Allah pada satu perkara, sesungguhnya engkau telah menderhakaiNya pada tiga perkara. ‘Umar bertanya: “Apa dia?”. Dia berkata: Allah ta’ala telah berfirman (maksudnya: Jangan kamu mengintip mencari kesalahan orang lain). Sesungguhnya engkau telah melakukannya. Allah berfirman: (maksudnya: Masukilah rumah melalui pintu-pintunya). Sesungguhnya engkau telah memanjat dari bumbung. Allah berfirman: (maksudnya: janganlah kamu masuk ke dalam mana-mana rumah yang bukan rumah kamu, sehingga kamu lebih dahulu meminta izin serta memberi salam kepada penduduknya). Sesungguhnya engkau tidak memberi salam. Maka ‘Umar pun meninggalkannya…
Maka ketahuilah bahawa sesiapa yang mengunci pintu rumahnya dan bersembunyi di sebalik dindingnya, maka tidak harus seseorang memasuki tanpa izin daripadanya hanya kerana ingin mengetahui perbuatan maksiat. Kecuali jika ia nyata sehingga diketahui oleh sesiapa yang berada di luar rumah tersebut..”(Al-Ghazali, Ihya ‘Ulum al-Din, 3/28, Beirut: Dar al-Khair 1990).

Ingatan
Muslim hendaklah mengelakkan diri dari terlibat dalam kes-kes seperti ini. Ia menjadi pengajaran kepada semua parti politik. Manusia-manusia yang rendah nilai dan maruah sanggup untuk terbabit dalam hal seperti ini sejak lama dahulu. Mereka ini ada dalam UMNO, PKR dan PAS. Sedangkan Allah berfirman (maksudnya)
“Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip mencari-cari kesalahan orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat antara satu sama lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani. (Surah al-Hujurat: 12).

Bangkit Generasi Baru!
Marilah kita bermufaraqah atau meninggal segala pelakon atau watak yang selekeh dan rela menghalalkan apa sahaja untuk kepentingan politik mereka. Tanpa mengira parti! Mereka mesti diusir dari pemainan bodoh ini. Kita tentang semua pelakon politik yang suka menyelak kain orang. Tak kira kerajaan atau pembangkang. Kita dijadikan ‘penonton bodoh’ yang seakan merelakan apa sahaja watak yang mereka lakunkan. Politik kita memerlukan nafas baru dan dibersihkan dari golongan yang jijik dan kotor ini! Kita perlukan politik idea, bagaimana dan cara membangunkan umat dan rakyat agar hidup berdisiplin, bermaruah dan bertamadun. Bukan cerita-cerita bodoh seperti ini!

Wednesday 23 March 2011

Tahniah Kepada Semua Calon SPM 2010

Pihak Futuwwah Training & Consultancy merakamkan ucapan "Tahniah" kepada semua calon SPM 2010, terutama yang mendapat keputusan yang cemerlang.

Bagi yang kurang cemerlang, nasihat kami janganlah berputus asa kerana mungkin ada pelangi indah menanti di akhir ribut badai. Hadapilah musibah dan kedukaan dengan sabar dan shalat, seraya bermuhasabah dan berusaha memperbaiki diri. Janganlah ditiru perangainya sebahagian "ahlud dunia" yang menghadapi kegagalan dengan berbuat kemaksiatan.

Dengan keputusan yang diperolehi ini, diharapkan adik-adik redha, berbaik sangka dan terus-menerus mendekatkan diri dengan Allah di samping terus berusaha untuk mencapai kejayaan yang lebih gemilang pada masa akan datang.


Abu Hanifah bin Mohd Kamal
Pengurus Besar,
Futuwwah Training & Consultancy

Monday 21 March 2011

Global Positioning System (GPS)

Dulu, tidak berapa lama dahulu, untuk orang kampung seperti saya menelusuri bandar Kuala Lumpur demi sesebuah urusan, sungguh merupakan suatu yang sangat cuba dielakkan. Biar berbekal peta di simpanan, simpang siur ibu kota cosmopolitan yang bercambah seiring kemajuan, memang suatu yang sangat menakutkan. Dan demikian tersilap simpang, entah bagaimana mahu kembali ke “pangkal jalan.”

 

Kini, biar ceruk mana asal kalian, bertandang ke Bandaraya kemegahan warga kota, tiada lagi yang perlu dikau khawatirkan. Berbekal alat GPS di tangan, nyatakan saja destinasi anda, selagi GPS “terhubung” dengan langit, petunjuk jalan ‘kan sentiasa kalian dapatkan.

 

Begitulah, seperti terjaminnya haluan para pemandu yang terhubung dengan satelit di langit via GPS, manusia yang sentiasa terhubung dengan “langit” juga, tidak gentar dengan dugaan dan cabaran yang bakal mendatang. Wajar, Ustaz Anis Matta, Sekjen Partai Keadilan Sejahtera (PKS) Indonesia meluahkan pandangan; “sepanjang kita terhubung dengan langit, tidak ada mudharat di bumi yang perlu dikhawatirkan.” Nah, apakah kalian tidak mendengar gambaran Allah terhadap “kekasih-kekasih-Nya” yang senantiasa “on-line” dengan diri-Nya?

 

“Ingatlah, sesungguhnya wali-wali Allah itu, tidak ada kekhawatiran terhadap mereka dan tidak (pula) mereka bersedih hati.”

(Surah Yunus [10]:62)

 

Saudaraku,

Mukmin yang sentiasa terhubung dengan “langit”, akan sentiasa beroleh bimbingan dan pedoman dalam mencari lorong-lorong keluar dari segenap persoalan. Seperti firman-Nya di dalam surah At-Thalaq [65] ayat 2-3, ketaqwaan itu sering membukakan jalan keluar buat segala permasalahannya di bumi. Hingga wajar, sasaran utama ghazwul fikri (serangan pemikiran) adalah dengan memutuskan hubungan makhluk dengan Khaliqnya tadi (ifsadul akhlaq). Kerana apabila mukmin mula melemah “signal”nya dengan “langit”, dunia tidak lagi berada di bawah genggaman takhluknya, bahkan dunia itulah yang menguasai dan bertakhta di hatinya.

 

“Dan janganlah kamu seperti orang-orang yang lupa kepada Allah, lalu Allah menjadikan mereka lupa kepada diri mereka sendiri. Mereka itulah orang-orang yang fasik.”

(Surah al-Hasyr [59]:19)

 

Setiap kali umat Islam mula berlunak dan berjinak dengan dunia, maka setiap kali itulah izzah dan kekuatannya makin melemah saat berhadapan dengan para musuh-musuhnya. Al-Wahan (cinta dunia), kata Nabi, menjadi punca hilangnya ketakutan musuh kepadanya, bahkan sekadar menjadi bahan ratahan oleh kaum-kaum yang tidak pernah redha keimanan bertakhta di jagat raya. Hingga, saat Raja Perancis ditanya akan mengapa ia tidak berusaha untuk merampas kembali wilayah Sepanyol dari genggaman tangan umat islam di zaman tabi’in Abdul Rahman Al-Ghafiqi, ia pantas berkata; Saya melihat mereka ini adalah manusia yang mempunyai pegangan dan keikhlasan. Dengan dua perkara ini mereka tidak memerlukan jumlah yang ramai atau senjata yang cukup. Mereka mempunyai keyakinan dan kejujuran yang sudah cukup untuk menggantikan perisai dan kuda.”

”Kita akan tunggu hingga mereka mula mengaut kekayaan. Apabila mereka mula memiliki rumah dan istana. Apabila mereka mula bersaing memiliki amah dan khadam. Apabila mereka mula berlumba untuk merebut kuasa. Ketika itu kita akan berjaya kalahkan mereka dengan cara yang sangat mudah tanpa perlu bersusah payah”.

 

GPS oh GPS! Kini, ku tidak perlu khawatir lagi dari tersesat jalan…

 

 

Kenyataan Rasmi FUTUWWAH berkenaan sistem ujrah PTPTN

Di dalam sebuah webforum yang tsiqah (boleh dipercayai hujahnya), ada perbahasan menarik tentang status sebenar sistem ujrah PTPTN yang baru sahaja diperkenalkan. Jika hujah dan perbahasan yang dikemukakan oleh panel fiqh web forum ini benar, pihak kami (Futuwwah Training & Consultancy – Futuwwah) memandang serius perkara ini dan berharap pihak berkenaan mengambil langkah-langkah yang sewajarnya demi memastikan PTPTN benar-benar syariah compliance. Kami meyakini betapa semua transaksi yang bebas daripada riba’ seperti yang diperintahkan oleh Allah akan membawa kepada barakah di dalam kehidupan kita, sedang berpegang kepada sistem riba’ hanya mengundang dosa dan isytihar “perang” dari Allah S.W.T. Jika Allah sudah siap memerangi kita, apakah ada makhluk di dunia yang bisa melindungi dan menyelamatkan kita?

Semoga hujah pihak terbabit dikaji dan mendapat perhatian yang sewajarnya dari pihak berkenaan. Jika pun hujah yang dikemukakan ternyata salah, anggaplah ianya pendapat yang ikhlas untuk memenuhi tuntutan "saling berpesan ke arah kebenaran, saling berpesan ke arah kesabaran" daripada panel fiqh webforum itu kepada pihak PTPTN yang dikasihinya. Kita semua inginkan kebaikan, baik kebaikan di kehidupan kini, mahupun kebaikan di alam yang kekal abadi.

 Berikut perbahasannya beserta sumber webforum tersebut:-

[PTPTN] Helah Dalam Sistem Ujrah
super sensitif: baca atas risiko sendiri. Ini adalah pendapat peribadi dan bukan pendirian rasmi AFN

Salam,


1- Setelah meneliti dokumen PTPTN dalam sistem Ujrah, saya mempunyai beberapa perspektif seperti yang akan dibentangkan.

2- Perubahan sistem 3% kepada 1% yang dinamakan sistem Ujrah sebenarnya mempunyai helah tertentu yang harus diketahuï sebelum diisi.

3- Baki yang dikira bukan baki semasa, tetapi adalah baki pada tahun tertentu, dalam kes ini Jun 2008.

4- Perjanjian yang adil sebenarnya hendaklah menggunakan jumlah asal pinjaman seperti yang terdapat dalam perjanjian asal.

5- Menggunakan baki pada tarikh yang berlainan sebenarnya menimbulkan keraguan, contohnya apabila peminjam telah meminjam pada tahun Jun 2000 hingga Mei 2003 (selama 3 tahun).

6- Dalam kes ini, peminjam telah dikenakan kos sebanyak 3% dari tahun 2003 hingga 2008.

7- Justeru, jika pinjaman asal bernilai RM 24000, dengan dicampur dengan kos di atas (3 % x 5 tahun) akan bernilai RM 24000 + RM 3600.

8- Dengan anggapan peminjam belum lagi membayar sebarang jumlah sehingga tarikh tersebut, jumlah yang dinilai dalam perjanjian ini sebenarnya bernilai RM 27600.

9- Melaluï sistem Ujrah, peminjam akan dikenakan 1% daripada jumlah (RM 27600) ini bernilai RM 276, selama 126 bulan iaitu 10.5 tahun.

10- Justeru, peminjam akan dikenakan tambahan sebanyak RM 276 x 10.5 iaitu RM 2898.

11- Maka jumlah sebenar yang dikehendaki dibayar oleh peminjam adalah RM 27600 + RM 2898 iaitu RM 30498.

12- Maka peminjam akan membayar RM 30498 setelah meminjam sebanyak RM 24000.

13- Ini melibatkan pertambahan jumlah sebanyak RM 6498 daripada jumlah asal pinjaman, atau 27.075% daripada jumlah asal.

14- Sebenarnya, setelah dikira, sistem ini adalah satu helah bagi PTPTN mendapatkan kembali bayaran balik dengan cara potongan gaji.

15- Setelah menandatangani perjanjian sistem Ujrah ini, peminjam akan membayar secara potongan gaji tanpa boleh mengelak daripada membayar pinjaman ini.

16- Ini bermakna, keuntungan adalah kepada PTPTN, yang mengambil 27.075% daripada pinjaman asal, DAN pembayaran on-time melaluï potongan gaji.

17- Saya melihat ini sebenarnya adalah helah untuk memaksa peminjam membayar melaluï potongan gaji, dan bukan sebagai satu “ihsan” untuk mengurangkan beban peminjam.

18- Saya melihat ini adalah helah bagi memastikan peminjam yang selama ini hanya membayar RM 50 sebulan, yang entah bila akan habis membayar pinjamannya, akan membayar RM 200+ sebulan mulaï tarikh sistem Ujrah diluluskan.

19- Lebih menguntungkan pihak PTPTN, ia akan berlaku secara clean atas topeng Syari`ah.
ألا ترون يا من وافق لهذا أنه ربا مبينا وغشا مخفيا؟

WaLlahu a`lam.


Sila rujuk juga artikel berikut:
al-fikrah.net/index.ph...mp;t=19473

Sunday 20 March 2011

Kenyataan Rasmi Berkenaan Serangan Ke Atas Libya

Pihak Futuwwah Training & Consultancy mengutuk sekeras-kerasnya tindakan pihak luar yang melakukan campur tangan dan serangan terhadap negara Libya yang mengakibatkan puluhan nyawa terbunuh dan ratusan cedera. Kami percaya bahawa kedaulatan sesebuah negara perlu dihormati dan tidak boleh diceroboh sewenang-wenangnya.

Krisis politik dan kepimpinan yang berlaku di negara Arab termasuk Libya sepatutnya diselesaikan mengikut saluran tertentu dan bukanlah dicampuri ataupun diceroboh oleh pihak luar sehingga mengorbankan rakyat jelata.

Kami turut menggesa agar serangan tersebut dihentikan dengan segera demi menghormati kedaulatan negara Libya. Kami juga turut menyeru agar Presiden Libya, Muammar Ghadafi turut mendengar suara rakyatnya, mengasihi mereka dan berhenti daripada terus bertindak menyerang rakyat yang tidak bersalah untuk mengelak krisis berpanjangan.


Abu Hanifah bin Mohd Kamal
Pengurus Besar,
Futuwwah Training & Consultancy

Tuesday 15 March 2011

Kenyataan Rasmi Berkenaan Tsunami Jepun

Pihak Futuwwah Training & Consultancy (Futuwwah) ingin mengambil kesempatan ini untuk melahirkan rasa simpati serta mengucapkan takziah kepada rakyat Jepun di atas bencana alam Tsunami yang menimpa mereka. Futuwwah juga memohon maaf di atas kelewatan ucapan belangkasuwa ini hadir.

Sesungguhnya Allah telah merakamkan di dalam al-Quran, surah Ar-Rum, ayat ke-41, betapa kerosakan yang terjadi di atas daratan dan lautan itu, adalah dalam rangka la'allahum yarjiun "mudah-mudahan mereka kembali." Kembali merasakan keagungan Allah dan kerdilnya kita sebagai manusia di sisi-Nya. Kembali merenung dan muhasabah diri kita, seraya memperbaiki segala khilaf dan kesilapan kita. Kembali merasakan nilai-nilai kemanusiaan, yang melangkaui bangsa dan batas geografi.

Kami berdoa moga-moga Allah kurniakan kekuatan kepada rakyat Jepun untuk bangkit kembali selepas tragedi ini, seperti mana mereka pernah bangkit selepas tragedi Hiroshima, serta moga Allah kurniakan hidayah buat mereka dalam melayari kehidupan yang mendatang.

Ir. Faridul Farhan Abd Wahab
Pengarah Urusan,
Futuwwah Training & Consultancy

Tuesday 8 March 2011

Surah al-Kauthar

Asbabun Nuzul:
Diriwayatkan bahawa orang-orang Quraisy yang bodoh adalah penentang Nabi s.a.w. dan dakwah yang dibawanya, dengan melakukan kejahatan, tipu daya, penghinaan dan ejekan untuk mempengaruhi orang ramai supaya jangan lagi menghiraukan lagi seruan kebenaran yang dibawa Baginda dari Allah seperti Asb ibn Wail, Uqbah bin Abi Mu’ith, Abu Lahb, Abu Jahl dan lain-lain. Mereka sering mengatakan: “Celaka, putus” kepada Nabi. Mereka menunjukkan kata-kata itu kepada orang-orang yang telah kematian anak lelaki mereka. Seorang dari mereka berkata: “Biarkanlah dia, dia akan mati juga tanpa kami seksa, sedangkan urusannya akan berakhir juga.” Hinaan ini dilakukan agar dengan harapan agar hati Baginda bergetar dan menderita.

Lalu surah ini diturunkan untuk menghapuskan rasa dukacita Nabi agar tidak bersedih dan hendaklah bergembira serta menetapkan hakikat kebajikan yang terus menerus yang sudah ditentukan oleh Allah baginya, atau hakikat putusnya rahmat Allah dan kecelakaan yang telah ditentukan bagi musuh-musuh Baginda.


Perbahasan:

(108: 1) Sesungguhnya Kami telah mengurniakan kepadamu (wahai Muhammad) nikmat yang melimpah-ruah.

Allah mengurniakan kepada Nabi Muhammad nikmat kebajikan yang banyak dan melimpah-limpah tidak tersekat dan tidak terputus iaitu bertentangan dengan kempen-kempen yang dilancarkan oleh tokoh-tokoh Quraisy yang biadab itu. Bagi siapa yang ingin memeriksa nikmat kebajikan yang melimpah-ruah dikurniakan Allah kepada Rasul-Nya ia akan menemuinya pada segala aspek yang difikirkan olehnya iaitu ia akan menemuinya pada banyak nikmat iaitu:

a) Nikmat Nubuwwah
b) Nikmat Hubungan dengan Allah
c) Nikmat Al-Quran: Satu surah dari al-Qur'an merupakan satu ni'mat kebajikan yang melimpah-ruah tidak berkesudahan
d) Nikmat Al-Mala'ul A'la (para Malaikat yang tertinggi): Yang sentiasa mendoakan rahmat ke atas Rasulullah s.a.w dan mendoakan rahmat ke atas orang-orang yang mendoakannya
e) Nikmat Sunnah Rasulullah s.a.w.: Berjuta-juta manusia bersilih ganti menurut sunnahnya. Berjuta-juta lidah dan bibir tak berhenti-henti menyeru namanya. Berjuta-juta hati sentiasa cinta akan sirahnya dan sentiasa mengingatinya sampai hari Qiamat.
f) Nikmat Kebajikan: Yang melimpahi umat manusia dari seluruh generasi dengan sebab dakwahnya sama ada manusia yang mengenal nikmat kebajikan itu dan beriman dengannya atau manusia yang tidak mengenalnya tetapi turut dilimpahi nikmat ke atas mereka.

Terdapat banyak hadith dari berbagai-bagai saluran yang menerangkan bahawa al-Kauthar itu ialah sebuah sungai di dalam syurga yang dikurniakan kepada Rasulullah s.a.w., tetapi menurut Ibn 'Abbas sungai itu merupakan salah satu nikmat daripada nikmat-nikmat kebajikan yang melimpah-ruah yang dikurniakan kepada Rasulullah s.a.w. dan pendapat ini amat munasabah dengan keterangan ayat al-Qur'an.


(108: 2) Kerana itu dirikanlah solat dan berkorbanlah dengan ikhlas kerana Tuhanmu.

Setelah menerangkan nikmat yang melimpah-ruah yang bertentangan dengan kempen-kempen orang-orang kafir itu Allah memerintah Rasul-Nya s.a.w. supaya mensyukuri nikmat itu dengan kewajipannya yang pertama, iaitu kewajipan melahirkan keikhlasan dan pemusatan hati kepada Allah dalam amal ibadat dan tujuannya dalam mengerjakan solat dan menyembelihkan binatang korban dengan ikhlas kerana Allah tanpa menghiraukan kesyirikan orang-orang musyrik dan tanpa menyertai upacara ibadat mereka mengikuti perbuatan mereka yang menyebut-nyebut selain dari nama Allah ketika menyembelih korban-korban mereka. Keterangan yang berulang-ulang supaya disebutkan nama Allah sahaja ketika disembelih binatang-binatang korban dan diharamkan binatang-binatang sembelihan yang disebut nama lain dari nama Allah menunjukkan betapa besarnya perhatian agama Islam dalam usaha membersihkan seluruh kehidupan dari kesan-kesan syirik bukan hanya sekadar membersihkan fikiran dan hati sahaja. Islam adalah agama keesaan dalam erti katanya yang sebenar dan agama Tauhid yang bersih dan jelas, kerana itu ia memburu dan menyerang syirik dalam segala bentuk rupanya dan di mana-mana sahaja sama ada dalam hati, dalam ibadat dan dalam adat resam kehidupan. Kehidupan lahir dan batin ini merupakan satu kesatuan dan Islam melayani kehidupan sebagai satu kulli/kesemestaan yang tidak berbelahbahagi dan membersihkannya dari segala noda syirik dan membawa kehidupan ini tawajjuh kepada Allah dalam bentuknya yang bersih dan jelas sebagaimana yang kita dapat lihat dalam masalah binatang-binatang sembelihan dan lain-lainnya dari syi'ar-syi'ar ibadat dan tradisi-tradisi kehidupan


(108: 3) Sesungguhnya orang yang benci kepada engkau dialah orang yang putus keturunan.

Dalam ayat pertama Allah menerangkan bahawa Nabi Muhammad s.a.w. bukanlah seorang yang terputus, tetapi seorang yang dikurniakan ni'mat kebajikan yang melimpah-ruah dan berterusan. Dalam ayat yang akhir ini pula Allah menjelaskan bahawa orang yang terputus itu bukannya Nabi Muhammad s.a.w., tetapi orang-orang yang memusuhi dan membencinya dan janji Allah itu amat benar kerana sebutan nama mereka telah terputus, sedangkan Nabi Muhammad s.a.w. terus disebut dan disanjung tinggi. Pada hari ini kita dapat saksikan kebenaran Firman Allah yang Mulia ini dalam gambaran (kemasyhuran namanya) yang gemilang dan amat luas tidak pernah disaksikan oleh orang-orang zaman dahulu yang telah mendengar nama beliau. Keimanan, kebenaran dan kebajikan tidak mungkin terputus. Ia akan menghulurkan dahan-dahan dan cabang-cabangnya dan menunjangkan akar umbinya jauh ke dalam. Yang terputus ialah kekufuran, kebatilan dan kejahatan biarpun bagaimana ia membesar dan kuat. Di hadapan kita terpampang contoh yang diterangkan dalam ayat ini sebagai satu contoh yang jelas dan abadi. Di manakah tokoh-tokoh Quraysh yang mengejek Nabi Muhammad s.a.w. dengan ejekan-ejekan yang hina dan menarik hati orang ramai? Ketika itu mereka menyangka bahawa mereka telah berjaya menghancurkan Nabi Muhammad s.a.w. dan menyekat jalan da'wahnya, di mana mereka sekarang? Di mana nama-nama mereka dan kesan-kesan peninggalan mereka dibandingkan dengan ni'mat-ni'mat kebajikan yang melimpah-ruah yang dikurniakan kepada Rasulullah yang dicap mereka sebagai manusia yang terputus keturunannya itu? Da'wah kepada Allah, kepada kebenaran dan kepada kebajikan tidak mungkin terputus. Dan penda'wahnya juga tidak terputus. Bagaimana ia mungkin terputus, kerana ia sentiasa mempunyai pertalian yang kukuh dengan Allah yang Maha Hidup, Maha Kekal, Azali dan Abadi. Hanya kekufuran, kebatilan dan kejahatan sahaja yang terputus bersama pejuangnya walaupun dalam setengah-setengah ketika ia kelihatan panjang umur dan akar-akarnya menunjang jauh. Amatlah benar Firman Allah yang Maha Agung dan amatlah bohong tanggapan kaum Musyrikin yang melakukan tipu daya yang jahat itu.


Rujukan:
1) Sayyid Qutb, “Tafsir Di Bawah Naungan Al-Quran (Juz 30),” Perniagaan Jahabersa, 2008.



Hasil Nukilan,

ABU HANIFAH BIN MOHD KAMAL
Pengurus Besar,
Futuwwah Training & Consultancy.

Friday 4 March 2011

Filem: Antara Pro & Kontra

Apabila berbicara tentang filem atau drama mungkin ada sebahagian orang yang memandang serong terutamanya aktivis-aktivis yang mempunyai semangat Islam.  Bagi mereka, apa-apa yang  datangnya dari filem/drama semuanya negatif dan merosakkan. Ditambah pula dengan lambakkan filem/drama yang bertemakan cinta, seram dan komedi, dan juga serba-serbi rancangan yang haru-biru,  maka tidak hairan adaikata ada yang mengambil keputusan untuk  mengharamkan langsung TV. Sedangkan, di pihak yang lain, ada pula segolongan orang yang terlalu mengambil mudah dan ringan. Bagi mereka, apa sahaja yang ditayangkan boleh untuk ditonton atas alasan sebagai hiburan dan untuk merehatkan penat lelah. 

Walau apa pun alasan dan hujah yang diberikan, saya bersikap pertengahan. Neutral. Bagi saya, filem/drama boleh jadi negatif dan juga boleh jadi positif. Mungkin ada yang tidak bersetuju dengan pandangan saya. Terpulang. Itu hak anda dan anda berhak untuk tidak bersetuju dengan pendapat saya. Masing-masing ada hujah tersendiri dan saya tidak berhak memaksa anda untuk menerima pendapat saya, begitu juga sebaliknya.  

Di sini, saya tidak ingin berbahas panjang mengenai hukum menonton filem/drama (tentunya di rumah, bukan di panggung wayang!) dan perkara yang berkaitan dengannya. Anda boleh meneliti pendapat para Ulama’, Sheikh dan para Ustaz yang terpecaya. Silakan saja. Fokus saya sebenarnya adalah untuk membawa pembaca menilai dahulu sebelum menjatuhkan halal atau haram atau baik dan buruknya filem/drama itu.

Persepsi: Filem barat negatif,  filem timur positif
Saya bukannya “kaki wayang” dan saya kurang mengetahui & mengikuti perkembangan dunia filem/drama semasa. Saya cuma baca menerusi akhbar atau menonton apa yang ditayangkan di TV sahaja. Umumya, orang mengetahui atau melabel filem/drama dari barat semuanya negatif. Penuh dengan propaganda, aksi-aksi yang tidak sepatutnya, serta 1001 lagi keburukkan. Manakala, filem/drama dari timur pula, orang ramai umumnya beranggapan baik. Ada unsur dan adab tatasusila “ketimuran”. 

Namun, pada hemat saya (yang terhad), kedua-duanya ada baik dan buruknya. Tidak semua filem/drama dari barat negatif dan tidak semua filem/drama dari timur positif. Filem/drama berunsur dokumentari, perang dan sejarah yang dihasilkan dari barat banyak yang berkualiti dan bagus (walaupun dari segi ketepatan fakta mereka masih boleh dipertikaikan). Begitu juga dengan filem/drama yang berunsur kekeluargaan dan sebagainya. Bahkan terkadang lebih bagus dari filem/drama dari timur. Manakala, filem/drama dari timur tidak semuanya yang “bersih”, terkadang ada juga lebih “barat” dari “barat”. 

Sama ada dari barat atau timur, saya tidak menolak kedua-duanya secara total. Pada saya, baik atau buruknya sesuatu filem/drama itu, bergantung kepada isi/mesej ataupun “content” nya. Sudah tentu ia perlu mengikut neraca syariat terlebih dahulu! Walaubagaimanapun, kita tidak dapat membuat banyak pilihan. Isu-isu seperti tidak menutup aurat bagi wanita (rambut), bersentuhan antara lelaki dan wanita (contoh watak ibu & anak, berpegang tangan suami & isteri dalam filem/drama), ikhtilat dan isu-isu lain yang berbangkit harus ditanggani dengan bijak. Kebanyakkan filem/drama isu-isu seperti inilah yang menghantui sebahagian daripada kita untuk memilih “mengharamkannya” walaupun mesej yang diketengahkan dalam filem itu cukup bagus (filem/drama berunsur dokumentari, pendidikan, kekeluargaan dsbg). 

Saya punya pendirian adalah selagi mana tidak ada unsur yang jelas bertentangan/diharamkan syariat (eg; Lucah dsbg), maka bagi saya, ianya jatuh dalam ketegori “mubah” atau diperbolehkan. Mungkin akan ada yang bertanya bagaimana pula dengan filem/drama yang tidak menutup aurat (rambut bagi wanita, seluar pendek bagi lelaki dsbg)? Maka ingin saya lontarkan persoalan berikut: Bagaimana pula dengan berita? Dokumentari? Iklan? Perlawanan bola sepak? dll.  Justeru, Sekali lagi, saya tidak ingin meyentuh tentang isu-isu tersebut. Silakan anda bertanya dengan orang yang lebih faqih. Di sini, saya hanya memberikan sedikit pencerahan dan guide line untuk memilih filem/drama yang bagus dan bermutu.

InsyaAllah, minggu-minggu mendatang saya akan cuba review/ulas beberapa buah filem dari barat & timur yang cukup bagus untuk ditonton yang saya ketegorikan sebagai “bersih”. Antaranya, dokumentari “Earth”, filem “Dead Poets Society”, “Laskar Pelangi”, “I Not Stupid”, “I Not Stupid Too”, “Homerun”, “The kite Runner”, “The King’s Speech” dan beberapa lagi.

Filem tempatan ketandusan idea
Seperti yang saya sebutkan sebelum ini, filem/drama tempatan kita terlalu klise. Tema yang sama diulang putar samada cerita CINTA, SERAM & KOMEDI ataupun gabungan antara salah satu tema tersebut. Semuanya bertujuan untuk hiburan. Di sini, saya boleh setuju dengan pendapat mereka yang mengharamkan filem/drama seumpama ini. Kita ambil contoh filem/drama CINTA umpamanya. Bagi saya langsung tiada manfaat apabila CINTA digambarkan atau “ditakrifkan” perlu keluar berdating, berpegang tangan, sering menelefon bertanya kabar, berSMS, hantar bunga dan sebagainya. Sesetengah filem/drama pula ada yang menyelitkan unsur-unsur gejala sosial (clubbing, minum arak, adengan panas, drift, merempit dsbg). 

Persoalannya, untuk apa “ditonjolkan” gejala-gejala sosial di dalam filem/drama tersebut? Yang lucunya, alasan penerbit/pengarah filem ialah untuk melahirkan rasa “keinsafan” atau “kesedaran” dikalangan masyarakat. Aduh! Mentaliti apa seperti ini? Adakah dengan memaparkan adengan-adengan sebegitu, masyarakat boleh insaf dan sedar? Sedangkan, statistik setiap tahun menunjukkan peningkatan kadar masalah sosial dan jenayah yang semakin membarah!  Jadi, dimana “kesedaran” nya?. 

Alasan yang sama digunapakai apabila filem/drama seram ditayangkan. Untuk melahirkan rasa “keinsafan & kesedaran”. Sekali lagi saya ingin bertanya, di mana “keinsafan” nya? Yang saya nampak, masyarakat semakin takut dan percaya kepada HANTU, bomoh, dan perkara tahyul-mahyul. Jadilah kita masyarakat yang jumud, beku minda dan percaya kepada perkara khurafat dan sebagainya. Dunia semakin maju dan berkembang tetapi kita masih ditakuk lama bahkan kembali mundur. Ketika masyarakat dunia berbicara tentang teknologi, masyarakat kita berbicara tentang zombie kampung pisang!

Cerita komedi juga 2x5.Tidak banyak manfaat yang dapat diambil. Bahkan terkadang boleh membawa kepada perkara negatif. Contohnya seperti  gelar-mengelar dengan pelbagai gelaran, penggunaan “trade mark” atau “ayat-ayat jenaka” tertentu, juga “istilah-istilah” tertentu untuk “mengenakan” rakan, “gurauan melampau” yang tidak kena pada tempat dan sebagainya. Ini semua jika tidak dikawal boleh membawa kerosakkan akhak/adab kepada masyarakat. Bukan maksud saya tidak boleh berlawak jenaka. Boleh. Cuma ala kadar. Pertengahan. Tidak terlalu melampau dan tidak terlalu meremehkan.

Filem Islami
Saya akui filem/drama berunsur Islam masih lagi baru dan kecil di negara kita. Namun, trend semasa menunjukkan bahawa masyarkat semakin menerima filem/drama seperti ini. Peningkatan ini mencerminkan bahawa adanya masa depan dan peluang yang cerah untuk filem/drama bergenre seperti ni diangkat ke tahap yang lebih jauh. Seingat saya, filem bergenre Islami ini mula mendapat tempat dan pengaruh setelah munculnya filem Ayat-ayat Cinta dan Ketika Cinta Bertasbih dari Indonesia. 

Pujian harus diberikan kepada pengarah, penerbit dan penulis filem ini. Mereka membuat “ijtihad” yang saya rasakan cukup “berani” untuk berkecimpung dalam dunia perfileman/drama, ketika mana persepsi masyarakat Islam yang masih “orthodox” atau “konservatif” terhadap dunia perfileman (persepsi umum: Islam mengharamkan filem, filem penuh dengan maksiat, merosakkan, kotor dsb).

Awal sebelum itu, saya rasa telah ada filem/drama berunsur Islam dari Iran, cuma pengaruhnya tidak sampai ke sini. Apa pun, syabas saya ucapkan! Pun begitu, masih ada ruang yang saya rasakan boleh diperbaiki. Paling tidak mereka telah mencuba dan memulakan langkah. Jika penerbit filem/drama barat berusaha mendoktrinkan fahaman serta menonjolkan “way of life” mereka melalui filem/drama, maka mengapa tidak kita menggunakan wadah yang sama untuk memperlihatkan keindahan Islam, atau menjawab tuduhan dan salah faham barat terhadap Islam melalui filem/drama?

Sungguh, wahana filem/drama lebih mudah untuk membentuk opini dan persepsi masyarakat. Jika tidak, masakan anak-anak muda mudah benar menurut /terpengaruh apa sahaja yang ditonjolkan di dalam filem/drama. Di sini, kita dapat lihat bahawa filem/drama mempunyai pengaruh yang sangat besar dan mampu membentuk cara berfikir masyarakat. 

Bagi mereka yang terlalu “syadid” terhadap dunia perfileman ini, saya sarankan agar berlapang dadalah. Ini hanyalah sebahagian dari ruang Ijtihad yang luas dan masih boleh diperdebatkan. Silakan saja jika anda tidak mahu menonton filem/drama atau  mengharamkannya langsung. Itu ijtihad anda. Tetapi jangan sampai menuduh atau memperkecilkan hasil ijtihad dan usaha orang lain.

Filem wahana dakwah?
Saya teringat isu terbaru mengenai Bob Lokman yang disentuh “hidayah” Allah. Alhamdulillah, Allah masih membuka ruang untuk beliau kembali mengenali Islam. Apa yang menariknya adalah beliau tidak terus meninggalkan dunia perfileman, tetapi beliau hanya memilih watak-watak “bersih” seperti manjadi datuk, bapa, ustaz, imam, bilal, tok siak dll. Apabila ditanya mengapa beliau tidak meninggalkan dunia perfileman/drama, antara jawapan yang diberikan adalah supaya mudah bagi beliau untuk mendekati dan mendakwahi rakan artis yang lain. Beliau merasakan adanya tanggungjawab yang perlu dipikul. MasyaAllah, semoga Allah memberkati niat dan usaha murni beliau.

Sama seperti Yusuf Islam (Yang dahulunya dikenali sebagai Cat Steven sebelum Islam, antara penyanyi barat yang terkenal). Walaupun selepas memeluk Islam, beliau meninggalkan “kerjaya” nya sebagai penyanyi, namun beliau akhirnya kembali sedar bahawa Islam sama sekali tidak melarang hiburan. Cuma yang menjadi isunya, hiburan yang bagaimana Islam benarkan. Dan Alhamdulillah beliau kembali merakamkan lagu-lagu berunsur Islam, keamanan, dan keadilan yang mendidik bahkan mendapat sambutan masyarakat antarabangsa.  

Justeru saya melihat filem/drama sebenarnya mempunyai potensi yang sangat besar sebagai salah satu wahana dakwah untuk menyampaikan mesej Islam. Cuma, masih belum ramai yang berani menerokainya lataran persepsi negetif dan bimbang “terpalit” dengan perkara-perkara yang dilarang dalam agama. Bagi saya, itu bukannya isu. Jika Indonesia dan Iran mampu melakukannya, mengapa tidak kita? Mungkin langkah awal yang boleh diambil adalah dengan membuat filem berusur kemasyarakatan, pendidikan, kekeluargaan, keadilan, dokumentari, sejarah, sains dan sebagainya. 

Filem dokumentari dan sejarah umpamanya, terlalu sedikit penerbit/pengarah tempatan yang berani mengetengahkan tema-tema sebegini. Sudah barangkali tentu takut rugi dan tidak mendapat sambutan (sepertimana yang terjadi pada filem Leftenan Adnan, Syukur 21 dll). Mungkin kerana itu filem/drama kita lebih memfokuskan kepada tema CINTA, SERAM, dan KOMEDI. Pungutan sudah tentu mencecah jutaan ringgit. Amat jarang (hampir tiada lansung)  filem/drama yang  membangun peradaban dan membentuk minda yang intelektual. Yang banyak hanyalah filem/drama picisan yang kontang nilai murni dan moral apatah nilai Islam. Apa sangat yang boleh diharapakan  dan diperoleh menerusi filem-filem seperti Mami Jarum, Anak Mami, Senario Lagi, Lagi-lagi Senario, KL Drift, Anak Halal, dan Ngangkung (Sekadar menyebut beberapa nama) ?

Cabaran, rintangan & hala tuju filem Islami
Oleh itu, saya mengharapkan akan muncul lebih ramai lagi penerbit, pengarah dan penulis skrip yang berani tampil kehadapan untuk mengetengahkan filem-filem yang bergenere Islam. Tidak perlu mengubahnya sekaligus, ubahlah secara bertahap jka tidak mampu. Jika merasakan masih lagi berat untuk menghasilkan karya seperti ini, mulakan dahulu dengan filem/drama yang bertemakan kemasyarakan, kekeluargaan, pendidikan dan sebagainya (Contoh seperti filem Laskar Pelangi, I Not Stupid (Singapura), dll).

Saya yakin ruang dan peluang yang ada terbuka luas jika kita berusaha untuk merealisasikannya. Tidak semestinya sesuatu filem yang bermutu itu bermakna perlu menelan belanja jutaan ringgit. Tidak sama sekali! Terkadang filem yang biasa-biasa, tetapi kekuatan mesej dan skrip yang bagus, sudah cukup untuk menambat hati penonton (contohnya filem Homerun (Singapura) , Dead Poet Society, The King’s Speech,  dll). Saya rasa sudah sampai masanya kita membuat perubahan dengan menyajikan masyarakat kita dengan filem/drama yang bermutu, baik dari segi mesej, skrip, jalan cerita, teknologi dan sebagainya. 

Bagi para penonton pula, saya sarankan agar lebih bijak memilih filem/drama yang boleh mendidik minda dan jiwa. Cuba-cubalah ubah mentaliti kita yang  telalu suka filem/drama yang “ketawa berdekah-dekah” atau “ menangis teresak-esak” atau “meremang bulu roma”. Sekali lagi, dunia bertambah maju dan bergerak kehadapan, adakah kita masih lagi di takuk lama dibuai tarian & nyanyian filem Hindustan atau Puaka itu-ini juga jenaka poyo yang tiada nilai? Fikir-fikirkan...


Hasil Nukilan,

MOHD SHAHMAN MD AZMI
Senior Consultant,
Futuwwah Training & Consultancy

Tuesday 1 March 2011

Kebangkitan Islam?


Pak Imam A : “Syukur, Islam dah bangkit di tanah Arab!”
Politikus B : “Itu cuma kebangkitan rakyat. Lihatlah kuasa rakyat!”
Sejarawan C : “Itu fenomena biasa bagi pemerintah yang zalim. Sejarah mungkin berulang~ (menyanyi)”
Aktivis D : “2000 orang terbunuh”

Pelbagai reaksi masyarakat yang dapat kita lihat daripada peristiwa pemberontakan beramai-ramai di negara-negara Arab. Ada yang optimis bahawa ia suatu peristiwa yang dinanti-nantikan oleh seluruh masyarakat Islam. Tidak kurang yang pesimis mengatakan ia tidak memberi sebarang makna kepada dunia Islam dengan alasan, sesiapa pun pasti memberontak jika pemerintahnya zalim begitu. Di sini, saya ingin berkongsi beberapa soalan yang terlintas di fikiran. (Disertakan juga ulasan kepada soalan tersebut)

Bagaimana mereka boleh bersatu?
Walaupun sudah berpuluh-puluh tahun pemerintah ini berlaku zalim, kenapa baru kini rakyat bersatu? Saya merasakan pasti ada satu gerakan underground yang gencar. Gerakan tersebut mampu mencetus semangat yang luar biasa hebat, sehingga mampu menyatupadukan seluruh rakyat Tunisia, Mesir, Bahrain, Libya dan sebagainya di negara masing-masing. Terbaru, Muammar Gadaffi menyalahkan al-Qaeda sebagai dalang di sebalik pemberontakan di negaranya. Syabas kepada pencetus gerakan ini yang berjaya menyeru jutaan manusia sehingga mampu bergerak sebagai sebuah pasukan yang patuh, taat dan berdisiplin (kecuali satu kes terpencil di mana seorang wartawan asing diserang secara seksual di tengah-tengah lautan manusia itu).

Bahrain bakal dikuasai syiah?
Perasan atau tidak, media mengatakan bahawa penunjuk perasaan di Bahrain adalah terdiri dari kalangan penganut agama Syiah. Manakala pemerintah diraja Al Khalifa adalah golongan Sunni. Allahu Akbar! Ini adalah fitnah yang besar buat kita golongan Sunni. Menakutkan jika “Revolusi Iran” terjadi di Bahrain. Umat Islam ditindas, diseksa dan dibunuh oleh puak Syiah yang mengaku muslim.

Kiamat hampir tiba?
Perang Dunia Ke-3, Planet Nibiru, dan Pemanasan Global. Semuanya adalah jangkaan-jangkaan bahawa kiamat akan terjadi pada 2012. Kita pula meyakini bahawa Islam pasti menang sebelum datangnya kiamat. Gempa bumi, ribut taufan, banjir dan gunung berapi. Bumi bagaikan memberi isyarat. Ditambah dengan maksiat yang banyak berlaku, seolah-olah ini semua petanda kiamat sudah dekat. Adakah kita bakal menyaksikannya sendiri?
(Sebagai umat Islam, haram mempercayai tahun 2012 bakal terjadi kiamat.)

Kesimpulan
Nabi mengajarkan wasatiah. Pertengahan itu yang terbaik. Dalam pesimis menilai pemberontakan di tanah Arab ini sebagai suatu semangat nasionalisme atau sosialisme, janganlah sampai tidak menghargai pengorbanan mereka. Lalu tiada ibrah yang diambil. Dalam optimis mengatakan Khalifah Islam akan tertegak kerana kebangkitan rakyat ini, janganlah sampai tidak realistik. Banyak lagi ruang kosong yang perlu diisi selepas kejatuhan empayar yang besar. Mungkin juga, kejatuhan empayar tersebut lebih memburukkan keadaan. Apa-apa pun, kita doakan yang terbaik buat para Muslim di sana dan di seluruh dunia. Moga kebangkitan rakyat ini menyedarkan yang terlena, baik dari kalangan muslim, ataupun kafir laknatullah.

“Katakanlah (Wahai Muhammad): “Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.” [Aal 'Imraan 3: 26]

MashaAllah…inilah perancangan Allah.


Hasil Nukilan,

HANAFI AB KADIR,
Consultant,
Futuwwah Training & Consultancy