Friday, 26 August 2011

[Tadabbur Hadith Arbain (T.H.A)]: Hadith Pertama (bahagian 1)

Semua kita sedia maklum, betapa antara punca kemunduran dan kebobrokan masyarakat Muslim dewasa ini, adalah kerana mereka telah jauh terpesong daripada ajaran Islam yang sebenar. Dan jika didetailkan lagi kenyataan di atas, yang dimaksudkan jauh daripada ajaran Islam, ialah jauh daripada sumber rujukannya, yang telah dijamin keselamatan buat mereka-mereka yang berpegang teguh dengan keduanya, itulah Kitabullah (yakni Al-Quran) dan juga sunnah Rasul-Nya (yakni Al-Hadith).

 

Di tanahair kita Malaysia, untuk belajar tentang ilmu tafsir Al-Quran, banyak sumber yang boleh kita datangi untuk mempelajarinya. Selain lambakan tok guru-tok guru yang memang arif dalam ilmu tafsir, kitab-kitab tafsir pun mudah didapati di kedai-kedai buku. Sayangnya, untuk hadith, kita sebetulnya kekurangan pakar yang mampu mengajarkan kita tentang hadith. Baik dari segi ketulenan dan kesahihan sesebuah hadith, mahu pun intipati dan mesej sebenar yang terkandung di sebalik sesebuah hadith. Kitab syarah hadith pun, masih kurang di pasaran tempatan.

 

Walau bagaimana pun, tidak ada salahnya untuk kita memulakan langkah awal untuk mempelajari ilmu hadith ini. Dan di antara kitab basic tentang hadith, dan mudah di dapati di pasaran, adalah kitab "Hadith Arbain (Hadith 40)" nukilan Imam Nawawi Rahimullah. Imam Nawawi, di dalam mukaddimahnya menyebut, 42 hadith yang ia pilih untuk dimuatkan di dalam kitabnya itu, adalah hadith-hadith penting dan mencakup seluruh aspek agama secara menyeluruh. Terkandung di dalamnya kaedah agama yang penting dan disifatkan sebagai paksi putaran Islam oleh para ulama'. Oleh yang demikian, mari kita tadabbur hadith-hadith di dalam Hadith Arbain ini bersama-sama, dalam aspek semasa, agar tampak betapa relevan dan hidupnya hadith Nabi SAW di dalam kehidupan kita, dan betapa ianya tidak lapuk di telan zaman.

 

Hadith yang pertama yang diletakkan oleh Imam Nawawi, adalah hadith berikut:-

 

عَنْ أَمِيْرِ الْمُؤْمِنِيْنَ أَبِيْ حَفْصٍ عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ : سَمِعْتُ رَسُوْلَ اللهِ صلى الله عليه وسلم يَقُوْلُ : إِنَّمَا اْلأَعْمَالُ بِالنِّيَّاتِ وَإِنَّمَا لِكُلِّ امْرِئٍ مَا نَوَى . فَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ إِلَى اللهِ وَرَسُوْلِهِ فَهِجْرَتُهُ إِلَى اللهِ وَرَسُوْلِهِ، وَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ لِدُنْيَا يُصِيْبُهَا أَوْ امْرَأَةٍ يَنْكِحُهَا فَهِجْرَتُهُ إِلَى مَا هَاجَرَ إِلَيْهِ .

[رواه إماما المحدثين أبو عبد الله محمد بن إسماعيل بن إبراهيم بن المغيرة بن بردزبة البخاري وابو الحسين مسلم بن الحجاج بن مسلم القشيري النيسابوري في صحيحيهما اللذين هما أصح الكتب المصنفة]

Arti Hadits / ترجمة الحديث :

Dari Amirul Mu'minin, Abi Hafs Umar bin Al Khottob radiallahuanhu, dia berkata: Saya mendengar Rasulullah Shallallahu'alaihi wasallam bersabda : Sesungguhnya setiap  perbuatan tergantung niatnya.  Dan  sesungguhnya  setiap  orang  (akan dibalas) berdasarkan apa yang dia niatkan. Siapa yang hijrahnya karena (ingin mendapatkan keridhaan) Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya kepada (keridhaan) Allah dan Rasul-Nya. Dan siapa yang hijrahnya karena dunia yang dikehendakinya atau karena wanita yang ingin dinikahinya maka hijrahnya (akan bernilai sebagaimana) yang dia niatkan.

(Riwayat dua imam hadits, Abu Abdullah Muhammad bin Isma'il bin Ibrahim bin Al Mughirah bin Bardizbah Al Bukhori dan Abu Al Husain, Muslim bin Al Hajjaj bin Muslim Al Qusyairi An Naishaburi dan kedua kitab Shahihnya yang merupakan kitab yang paling shahih yang pernah dikarang)

 

 

Perhatikan hadith ini. Menurut Ustaz Adlan Bin Abd Aziz di dalam bukunya "20 Persoalan Asas Tentang Hadis", hadith mempunyai dua bahagian, iaitu SANAD dan MATAN. Sanad ialah salasiah periwayat-periwayat bagi sesebuah hadith, bermula daripada penulis atau pengumpul hadith, sehinggalah kepada matannya iaitu perkataan, perbuatan atau pengakuan Nabi SAW.. Dalam hadith di atas, sanad adalah yang berwarna MERAH. Matan pula adalah kandungan atau teks hadith, yang mana di dalam hadith di atas, yang berwarna BIRU. Menurut Prof. Madya Dr. Mohd Asri Zainul Abidin di dalam bukunya "Selangkah ke Arah Memahami Al-Sunnah", untuk menilai sanad sesebuah hadith, ilmu-ilmu yang diperlukan adalah seperti berikut:

 

           i.            Sejarah para periwayat (tarikh al-ruwah)

         ii.            Ilmu Al-Jarh wa al-Ta'dil, yakni sifat perawi hadith yang menyebabkan hadith yang diriwayatkannya diterima atau ditolak

 

Manakala untuk memahami matan sesebuah hadith, ilmu-ilmu berikut diperlukan:

 

         i.            Ilmu Gharib al-Hadith, yakni perkataan-perkataan yang terkandung di dalam matan hadith yang tidak jelas atau sukar difahami

       ii.            Ilmu Sabab Wurud al-Hadith, iaitu apa yang membawa kepada kewujudan hadith pada hari-hari kemunculannya

      iii.            Ilmu Nasikh dan Mansukh hadith

     iv.            Ilmu Mukhtalaf dan Musykil hadith, yakni ilmu untuk memahami hadith yang kelihatan bercanggah dengan hadith lain, atau yang kelihatan bercanggah dengan fakta Al-Quran atau fakta sains dan sebagainya

 

Maka tadabbur kita ini, akan sedaya upaya melihat hadith ini daripada aspek-aspek yang disebutkan tadi. Juga, point-point yang tidak disebutkan di dalam kitab-kitab syarah Hadith Arbain, insyaAllah.

 

Bersambung….

 

No comments:

Post a Comment