Saturday, 6 August 2011

The Others

The Others merupakan sebuah filem psychological horror lakonan pelakon jelita Nicole Kidman. Filem terbitan tahun 2001 ini mengisahkan tentang seorang ibu tunggal, Grace Stewart (lakonan Nicole Kidman) yang tinggal di sebuah rumah kampung bersama-sama 2 orang anaknya. Kedua anaknya, Anne dan Nicholas mengidap sebuah penyakit ganjil iaitu photosensitivity yang menyebabkan mereka tidak boleh terdedah kepada sinaran cahaya matahari. Untuk itu, semua tingkap dan pintu rumah itu sentiasa di dalam keadaan tertutup, demi memastikan keselamatan anak-anaknya itu.

 

Malangnya, kehadiran 3 orang pembantu rumah ke dalam kehidupan 3 beranak ini, turut mengundang masalah baru ke dalam kehidupan mereka, apabila sang anak, Anne menyedari betapa mereka tidak bersendirian di dalam rumah itu. Biar pun tidak mempercayai pada mulanya, akhirnya Grace terpaksa akur betapa rumah itu turut didiami hantu yang mula “menyibuk” di dalam kehidupan seharian mereka. Ironinya, setelah menyedari betapa 3 orang pembantu rumahnya itu sebenarnya sudah lama meninggal dunia, twist cerita ini akhirnya terbongkar di mana justeru Grace dan 2 orang anaknya itulah yang hantu, sedang “hantu” yang mereka sangkakan itu, the Others di dalam rumah itu, sebenarnya adalah manusia-manusia hidup, yang masih berada di alam nyata, sedang mereka sendiri berada di alam mereka.

 

Sebetulnya, the Others yang ingin saya bicarakan di sini, tidak ada kena-mengena dengan jalan cerita filem the Others yang dinyatakan di atas. Cuma, tajuknya sahaja kebetulan sama.

 

Apakah yang menyebabkan seorang isteri, yang baru kehilangan suami yang amat dicintainya, tetap tegar melayari kehidupan tanpa kehadiran “buah hatinya” di sisi? Jika tidak memikirkan tantang anak-anak, berapa ramai di kalangan ibu tunggal yang berterusan kecewa, hingga tahap menjadi gila, atau membunuh diri, lalu meninggalkan anak-anak yang masih kecil terkapai-kapai tanpa belai kasih insan bergelar ibu dan bapa?

 

Atau, apakah yang menyebabkan seorang Imam Ahmad Bin Hambal tegar menerima seksaan dan penganiyaan, demi mempertahankan hujah betapa Al-Quran itu bukan makhluk, biar pun –nasihat para ulamak lain di zamannya- keadaan sebegitu memberikannya rukhsah dan kemaafan jika mengiyakan sahaja kata Sang Khalifah? Mungkin pengasas mazhab Hambali ini akan terlepas daripada seksaan, tetapi bayangkan sahaja umat yang ternanti-nanti jawapan terhadap isu Al-Quran itu mahkluk daripada imam mereka yang mulia, siapakah yang sanggup menanggung dosa tersesatnya mereka dek fatwa yang maha songsang itu?

 

Kerana itu, wajar Sayyid Qutub mengungkapkan tentang hakikat kehidupan yang sebenarnya. “Manusia yang hidup untuk dirinya sendiri…” kata Sayyid Qutub, “..akan hidup sebagai insan yang kerdil dan matinya juga sebagai insan yang kerdil. Tetapi orang yang hidup untuk orang lain (the Others) akan hidup sebagai manusia besar dan mati pun sebagai manusia besar!”

 

Apakah yang diungkapkan oleh Nabi kita SAW saat sakratul maut datang menjemputnya? “Ummati! Ummati” “Umatku! Umatku!” dek kerana hidupnya ar-Rasul sentiasa memikirkan tentang The Others, tidak sekadar dirinya sendiri.

 

Apakah yang difikirkan oleh Nabi Ya’kub A.S saat gering di perbaringan? “Anak-anakku, apakah yang akan kamu sembah sepeninggalanku.” Betapa kerisauan Nabi Allah Ya’kub akan aqidah zuriat keturunannya, akan pewarisan legacy dakwahnya, akan hala tuju The Others sepeninggalannya, paling mendominasi minda dan jiwanya biar di saat nyawa sudah menghampiri tenggorokannya. "Kami akan menyembah Tuhanmu dan Tuhan nenek moyangmu, Ibrahim, Ismail dan Ishak, (yaitu) Tuhan Yang Maha Esa dan kami hanya tunduk patuh kepada-Nya." jawab mereka (anak-anak Nabi Ya’kub) mantap. (rujuk surah 2:133)

 

Belajarlah untuk memikirkan tentang the Others, nescaya dikau kan melihat masalahmu kecil, keluhmu kerdil, dan nasibmu masih sangat baik berbanding the Others di luar sana.

 

Air mata sang daie pun menjadi mahal, lantaran ia tak kan semudah dan semurah itu ditumbangkan di hadapan orang, lantaran umat di belakangnya menuntut ketegaran yang berpanjangan daripada sang daie.

 

Melihat manusia yang diuji menjadikan kita rendah diri dan insaf. Mungkin dia yang dilihat oleh orang lain sedang dalam ketenatan cabaran tetapi sebenarnya sedang tenggelam dalam rahmat dan kasih sayang Tuhan. Melihat orang yang susah, mereka yang dizalimi, mereka yang kesempitan atau menderita kesakitan menyebabkan kita terlintas segera dalam perasaan “dia di sisi Allah mungkin lebih baik daripada diriku ini” (DrMAZA.com)

 

Biar pun tak se”cun” Nicole Kidman, sentiasalah hidup untuk “mereka”, the Others.

 

 

-penulis, Ir. Faridul Farhan merasakan sifat keluh-kesah dapat dihilangkan dengan mula memikirkan tentang beruntungnya kita berbanding orang lain-

No comments:

Post a Comment