KEPONG, 28 Jan- Program Kepimpinan Majlis Tertinggi Asrama Sekolah Menengah Teknik Tuanku Jaafar (STTJ), Negeri Sembilan telah berlangsung di Kem Perah, Kepong pada 28 Januari hingga 30 Januari 2011. Seramai 17 peserta lelaki dan 13 peserta perempuan telah menyertai program tersebut, barisan fasilitator pula seramai 3 orang lelaki dan 3 orang perempuan. Manakala Cikgu Nazry selaku kaunselor sekolah STTJ turut terlibat sepanjang program berjalan di sertai 2 orang guru pengiring perempuan.
Ketibaan para peserta, fasilitator dan guru pengiring disambut oleh wakil dari Kem Perah untuk menguruskan penginapan dan beberapa aktiviti yang telah dijalankan. Program bermula dengan perasmian ringkas serta sesi berkenalan dengan para fasilitator kepada para peserta program. Seterusnya aktiviti “Night Walk” dikendalikan oleh wakil Kem Perah dengan berjalan sekitar kawasan berhampiran.
Pada hari kedua program aktiviti “Jungle Trekking” dimulakan seawal 8 pagi dan dibantu oleh wakil Kem Perah, aktiviti ini disertai oleh semua peserta, fasilitator dan guru pengiring. Aktiviti berjalan hampir dua jam dengan melalui pemandangan sekitar kawasan berhampiran serta menelusuri kawasan hutan FRIM dengan pelbagai informasi baru tentang pokok-pokok serta kegunaannya yang disampaikan oleh wakil Kem Perah. Pengalaman ini memberikan suasana yang baru kepada para peserta di samping menambahkan pengetahuan berharga tentang alam flora yang terdapat di sini.
Di samping itu juga sesi ceramah telah dikendalikan oleh wakil Futuwwah Training and Consultancy iaitu En. Muhammad Nor Fazali Fazil dan En. Mohd Noor Mohd Tahir. Kepetahan dan kepelbagaian teknik dalam menyampaikan ceramah oleh kedua-dua wakil tersebut telah menarik minat yang mendalam kepada para peserta untuk memahami akan penyampaian yang diberikan. Tajuk-tajuk ceramah pada kali ini adalah Siapakah Pemimpin dan Acuan Pemimpin Ideal.
Tidak dilupakan aktiviti Latihan Dalam Kumpulan (LDK) juga telah diselitkan sepanjang program sebagai kesinambungan dari ceramah-ceramah yang telah disampaikan. Di samping juga untuk melihat pemahaman para peserta serta aplikasi yang boleh dimanfaatkan oleh mereka sebagai pemimpin di asrama sekolah yang mereka diami. Begitu juga dimasukan elemen permainan yang ringkas sebelum memulakan LDK yang mempunyai hubung kait akan isu yang dibincangkan di dalam LDK tersebut.
Sebagai kesimpulan dari pemerhatian sepanjang program dan juga hasil dari evaluasi dari para peserta berkenaan program kepimpinan ini menampakan hasil yang memuaskan dari segi penglibatan para peserta dalam setiap sesi soal jawab dan komitmen yang diberikan sepanjang program berlangsung dan objektif program juga sedikit sebanyak telah berjaya dicapai, namun pemahaman para peserta terhadap apa yang telah disampaikan serta impak jangka panjang setelah program ini harus dipantau secara berkala demi melihat hasil yang telah diperoleh oleh para peserta sepanjang program ini dapat diterjemahkan oleh mereka sebagai pemimpin asrama di STTJ.
Disediakan Oleh,
MOHD HALIMI ABDUL AZIZ
Ketua Fasilitator,
Program Kepimpinan SMTTJ
Program Kepimpinan SMTTJ
No comments:
Post a Comment