Tuesday, 26 April 2011

Program Motivasi Sains & Al-Quran SMA Nilai


NILAI, 24 April 2011 - Pada 23 dan 24 April 2011, telah berlangsungnya Program Motivasi Sains & Al-Quran di Sek. Men. Agama (SMA) Nilai, hasil kerjasama dengan Futuwwah Training & Consultancy. Program ini dihadiri oleh seramai 48 orang pelajar Tingkatan 4 dan 5 manakala dari pihak Futuwwah dihadiri oleh seramai 12 orang fasilitator.

Program bermula dengan Majlis Perasmian oleh Puan Aisyah, wakil guru SMA Nilai di samping ucapan guru kaunselor, Puan Siti Suria dan wakil Futuwwah iaitu Pengurus Besar, En. Abu Hanifah bin Mohd Kamal. Dalam majlis perasmian ini, pihak sekolah mengalu-alukan usaha Futuwwah dalam membantu memperbaiki akademik dan sahsiah para pelajar.

Sejurus majlis perasmian, program bermula dengan Ceramah 1 yang bertajuk "Sains & Al-Quran" yang disampaikan oleh Ustaz Mohd Shahman bin Md Azmi, Senior Consultant Futuwwah. Dalam slot ini, dihidangkan aplikasi Sains menurut acuan Al-Quran dan sekaligus menarik minat para pelajar dalam mempelajari Sains dan Pengajian Al-Quran. Sesudah itu, para pelajar dibahagikan kepada kumpulan-kumpulan kecil untuk slot LDK 1 iaitu "Menuju Puncak IPT" di mana slot ini, para fasilitator yang terdiri dari pelajar IPT dan golongan professional memberi gambaran tentang cabaran dalam mengharungi cabaran akademik ke IPT dan sekaligus memberi motivasi supaya memajukan diri dalam bidang akademik di samping menjaga imej sebagai seorang pelajar Muslim. Selepas solat Zuhur, para peserta terlibat dengan LDK 2 iaitu "Explorace Sains Solat" yang merupakan aktiviti luar di mana setiap kumpulan akan berlumba-lumba untuk menyelesaikan setiap check point. Pada setiap check point, setiap fasilitator akan menjelaskan tentang Sains Solat iaitu hikmah-hikmah yang terselindung sekiranya melakukan ibadah Solat. Pada malam hari, selepas Solat Isyak, berlangsung LDK 3 iaitu "Serangan Pemikiran" yang menerangkan usaha-usaha golongan musuh Islam yang sentiasa berlumba-lumba merosakkan pemikiran umat Islam tanpa disedari. Inilah antara slot yang perlu diberi penekanan untuk memastikan setiap peserta sentiasa berjaga-jaga dalam menghadapi cabaran di luar sana.

Pada keesokan harinya, seawal pukul 5.15 pagi, semua peserta dan fasilitator bangun pagi dan menunaikan ibadah Qiamullail secara berjemaah yang bertujuan mendekatkan hubungan diri dengan Allah. Selesai sarapan pagi, berlangsungnya slot Ceramah 2 iaitu "Kepentingan Tarbiyyah Kepada Pelajar" yang disampaikan oleh En. Abu Hanifah bin Mohd Kamal, Pengurus Besar Futuwwah. Dalam ceramah ini, diberinya penekanan tentang kerosakan ummat yang cukup hebat melanda manusia dan perlunya umat Islam bertindak agresif dengan melaksanakan program tarbiyyah secara konsisten dan berterusan. Tarbiyyah ini lah yang menjamin seseorang atau sesuatu terselamat dari kehancuran dan azab Allah. Selepas itu, slot yang terakhir berlangsung iaitu LDK 4 yang bertajuk "Peranan Pemuda". Dalam slot ini, setiap peserta diberikan gambaran tentang amanah yang perlu dipikul iaitu amanah kepada agama, Allah, ibu bapa, adik beradik, sekolah, guru-guru, rakan-rakan dan masyarakat. Ini kerana, hanya pemuda yang mampu bertindak dan mencorak masyarakat menjadi lebih baik.

Pada akhir program, berlangsungnya Majlis Penutup oleh Puan Rashidah, GPK SMA Nilai. Beliau secara terbuka menyatakan kerisauan sekiranya para pelajar keluar ke masyarakat kerana cabaran yang cukup hebat menanti mereka di luar sana. Beliau juga berharap agar program yang berlangsung ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh para pelajar. Dalam majlis ini, turut disampaikan sijil dan cenderahari kepada semua fasilitator yang terlibat.


Gambar-gambar sepanjang program berlangsung:







 



 
 




ABU HANIFAH BIN MOHD KAMAL
Pengurus Besar,
Futuwwah Training & Consultancy

No comments:

Post a Comment