Wednesday, 18 May 2011

'Berlapang Dada dalam Perkara yang Tidak Disepakati'

Ketika Pengarah Urusan (M.D) Futuwwah, Ir. Faridul Farhan Abd Wahab sedang bersiap untuk mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung isu “sumpah laknat” Trio Dato’ T, beberapa kader Futuwwah kemudiannya membantah pandangan dan pendirian M.D mereka itu.

Ir. Faridul berpendapat Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang juga merupakan Ketua Pembangkang tidak perlu bersumpah. “ini bersandarkan hadith #33 di dalam matan Arbainnya Imam Nawawi yang menyebut, bukti -yang dalam kes zina ini bererti 4 orang saksi- harus di datangkan oleh sang penuduh, sedang yang tertuduh dikehendaki bersumpah. Tetapi, sumpah sang tertuduh hanyalah setelah sang pendakwa mendatangkan 4 orang saksi itu tadi. Dalam kes sumpah laknat ini, memandangkan sang penuduh iaitu trio Dato’ T tidak mendatangkan sebarang saksi, maka saya berpendapat, atas dasar apa Dato’ Seri Anwar harus dibebankan untuk bersumpah?”

Bendahari sekaligus Senior Consultant Futuwwah, sdr. Mohd Shahman Azmi pula berbeza pandangan dengan bosnya itu.  “benar, secara umum sememangnya Dato’ Seri Anwar boleh memilih untuk bersumpah atau tidak. Tetapi memandangkan beliau adalah public figure serta untuk mengelakkan fitnah yang lebih besar serta kegoncangan di dalam masyarakat, saya sependapat dengan Dr. Mohd Asri serta Ustaz Zaharuddin iaitu yang paling baiknya Dato’ Seri Anwar patut bersumpah. Jika beliau memang tidak bersalah, apa salahnya bersumpah sahaja untuk menutup terus isu ini?”

Perbezaan pendapat di antara dua kader Futuwwah ini, walau bagaimanapun dilihat dari sisi positif oleh kader Futuwwah yang lain. Menurut sdr. Mohd Noor, perbezaan pendapat di dalam hal-hal kecil atau furu’iyah sememangnya perkara yang lumrah di kalangan kader Futuwwah. “sedang para sahabat Nabi yang mulia pun boleh berbeza pendapat, apatah lagi insan-insajn kerdil seperti kami? “

“Saya yakin perbezaan pendapat di antara akhi Faridul serta akhi Shahman tidak akan menggugat persahabatan dan tautan ukhuwah di antara mereka. Sebagai insan yang komited dengan Islam, perbezaan di dalam hal khilafiyah sememangnya dibenarkan, asal tidak mengganggu ukhuwah dan persahabatan sesama kita. Dan inilah yang telah dan sedang berlaku di dalam Futuwwah. Di Futuwwah, kami membenarkan perbezaan pendapat, asal ianya tidak menggugat ukhuwah Islamiyah serta melanggar adab sopan yang telah disyariatkan.”

Semoga sikap para kader Futuwwah dalam menyikapi perbezaan di kalangan mereka bisa menjadi contoh kepada kita semua.


No comments:

Post a Comment