Tuesday, 3 May 2011

Kenyataan Rasmi Futuwwah Terhadap "Gosip" Terbunuhnya Osama Bin Laden

Sebagai umat Islam, kami di Futuwwah Training & Consultancy (Futuwwah) mendoakan rahmat dan keampunan Allah SWT untuk Osama bin Laden , jika benarlah beliau benar-benar telah dibunuh oleh tentera Amerika Syarikat. Inilah yang dituntut oleh Islam sewaktu menerima berita kematian saudara seagamanya. Sebesar manapun kesalahan seorang muslim, jika ia mati dalam keadaan agamanya Islam, keampunan terhadapnya harus dipohon oleh saudara muslimnya yang lain.

Apa yang kita tahu, Osama bin Laden tidak pernah mengaku terlibat dengan peristiwa “9/11”, bahkan keterlibatan Osama bin Laden dengan keganasan pun masih harus dibuktikan. Penentuan seseorang itu terlibat dengan pengganas atau tidak, tidak seharusnya bergantung kepada “lidah Amerika”, sebaliknya perbicaraan yang adil menurut prinsip Islamlah yang harus menentukan siapa pengganas dan siapa yang bukan. Jikapun benar beliau terlibat dengan keganasan, sudah tentu kita tidak menyokong keganasan tersebut. Bahkan semua bentuk keganasan sewajarnya mendapat tentangan dan celaan daripada kita, termasuk keterlibatan Amerika Syarikat sendiri dalam keganasan yang sudah terbukti untuk sekian lama.

Lihatlah sendiri serangan dan penjajahan Amerika terhadap Afghanistan dan Iraq yang masih berpanjangan hingga ke hari ini. Atau sokongan yang tidak kunjung putus mereka kepada kejahatan Zionis Israel. Apakah ini tidak dinamakan keganasan, dan dunia akan aman dengan keangkuhan yang dipamerkan oleh mereka?

Marilah kita bersikap adil kepada semua orang. Keganasan tidak seharusnya dibiarkan “bias” dengan hanya dikaitkan dengan masyarakat Islam semata-mata. Moga setiap Muslim akan sedar hal ini dan lebih tegas dengan “samseng-samseng” seperti Amerika, bukan hanya mengiyakan apa saja yang mereka kata.

Sekian,

 

Ir. Faridul Farhan Abd Wahab

Pengarah Urusan Futuwwah Training & Consultancy

 

1 comment:

  1. kematian yang diragui..masih berharap mendapat pencerahan daripada pihak yang berwajib..

    ReplyDelete