Monday, 9 May 2011

Kenyataan Rasmi Futuwwah Terhadap Isu Menjadikan Kristian Agama Rasmi Malaysia

Futuwwah Training & Consultancy (Futuwwah) konsisten dalam pendapat kami betapa seseorang atau sesebuah golongan tidak boleh dikatakan bersalah, sehingga dibuktikan bersalah. Hal ini sesuai dengan firman Allah SWT di dalam Al-Quran, surah Hujurat [49], ayat ke-6:-

 

“Wahai orang beriman, sekiranya datang kepadamu orang fasiq dengan membawa sebuah berita, maka “tabayyun”lah (check & re-check) agar kamu tidak menimpakan musibah terhadap sesebuah kaum lantaran kejahilan (ketidak tahuan) kamu, yang menyebabkan kamu menyesal di atas perbuatanmu itu.”

 

Memastikan kesahihan sesebuah berita ini tidak khusus demi menjamin keadilan umat Islam sahaja, tetapi juga demi memastikan non-Muslim pun tidak terzalimi. Bahkan Islam menjamin keamanan dan keselamatan mereka, seperti yang dinyatakan oleh Nabi Muhammad SAW;

 

“Barangsiapa yang menyakiti “ahlu zimmi” (non-Muslim) maka aku (Nabi Muhammad) akan menjadi seterunya. Dan siapa yang aku menjadi seterunya, dia pasti kalah di Hari Kiamat.”

(Hadith riwayat Al-Khatihb dengan sanad yang baik)

 

Baginda Nabi Muhammad SAW turut mengingatkan;

 

“Barangsiapa yang menyakiti orang zimmi (non-Muslim) dia telah menyakiti diriku. Dan barangsiapa menyakiti diriku, bererti dia menyakiti Allah.”

(Hadith riwayat Imam Thabrani dengan sanad yang baik)

 

Kami menyeru gerakan Islam khususnya dan umat Islam umumnya, agar berpegang pada bukti dan pembuktian, bukan menghukum orang berdasarkan khabar angin, serta mencontohi keadilan yang telah dicontohkan oleh tokoh-tokoh Islam sebelum ini, seperti keadilan yang pernah dicontohkan oleh Abdul Rahman Al-Ghifaqi, seorang tokoh tabi’in. Saat menjadi Gabenor Andalus, beliau bahkan memberikan keadilan kepada ahli zimmi, mengembalikan hak mereka yang dirampas, mengembalikan gereja-gereja kepada pemiliknya mengikut perjanjian yang sah, serta sentiasa membuka ruang dan peluang untuk sesi dialog bersama mereka.

 

Kami juga konsisten terhadapsikap kami terhadap sebarang akta yang zalim, seperti akta yang menghukum seseorang tanpa perbicaraan. Sedang Allah SWT yang Maha Adil sahaja membukakan mahkamahnya demi memberikan pengadilan kepada hamba-Nya di Akhirat kelak, bagaimana bisa manusia sendiri bersikap sombong dan angkuh menghukum orang tanpa melalui perbicaraan? Oleh yang demikian, biar pun kami menyelar tindakan Utusan Malaysia yang menyiarkan khabar angin ini, kami turut menyelar sebahagian orang yang mencadangkan agar akhbar itu di “ISA”kan.

 

Marilah kita konsisten dalam setiap pendirian kita, serta berlaku adil terhadap sesama kita, baik kepada teman-teman kita, mahupun terhadap “lawan” atau pesaing kita.

 

 

 

Ir. Faridul Farhan Abd Wahab 

Pengarah Urusan Futuwwah Training & Consultancy

 

No comments:

Post a Comment