Friday 29 April 2011

M.D. Futuwwah Rasmikan Majlis Penutup SASER

Seremban – Pada hari Jumaat, 29hb April 2011, Pengarah Urusan Futuwwah Training & Consultancy, Ir. Faridul Farhan Abd Wahab, atas kapasitinya sebagai seorang Jurutera Profesional muda, telah diberi penghormatan oleh pihak SM Sains Tuanku Munawir (SASER) –salah sebuah sekolah terbaik tanahair untuk beberapa tahun lamanya- untuk merasmikan Majlis Penutup Bulan Sains & Teknologi SASER sekaligus menyampaikan ceramah motivasi kepada seluruh pelajar SASER.

 

Di dalam ceramahnya, Ir. Faridul menyentuh pelbagai isu, daripada kebocoran radiasi di Loji Nuklear Jepun, kepada sejarah tentang betapa berkaitnya Palestin dengan Tanah Melayu, kepada kepentingan kekuatan dalaman (rohani) bagi menampung dan melengkapkan kekuatan intelek, kepada cabaran untuk menjadi multi discipline (Ir. Faridul, selain mempunyai Ijazah di dalam bidang Kejuruteraan, turut mempunyai Sijil dalam Pengajian Syariah) serta kesedaran betapa setiap daripada kita harus memainkan peranan umpama seorang “hero” kepada masyarakat kita yang sedang rosak. Selain itu, beliau turut menegur sebahagian anak muda yang bersikap biadap terhadap guru-gurnya, sedangkan sehebat-hebat Lee Chong Wei, beliau tetap menghargai sekaligus menghargai segala sumbangan dan tunjuk ajar mentornya, Dato’ Misbun Sidek. Selain melaungkan slogan Albert Einstein berbunyi “Science without religion is lame, religion without science is blind” Ir. Faridul turut melaungkan slogan “Uncle Ben” yang memang sering beliau sebut-sebut dalam sebarang program yang dihadirinya: “with great power, comes great responsibility.”

 

Ir. Faridul kemudiannya diberikan penghormatan untuk menyampaikan hadiah kepada semua pemenang pertandingan-pertandingan yang dijalankan sepanjang Bulan Sains & Teknologi ini. Selesai upacara di Dewan, Ir. Faridul telah dibawa melihat pameran yang dijalankan. Pameran itu adalah hasil kreativiti guru dan pelajar-pelajar SASER, hasil adaptasi ilmu sains yang telah mereka pelajari.

 

Selesai menyaksikan “pelancaran roket” oleh para pelajar, Ir. Faridul telah disajikan dengan jamuan ringan oleh pihak pentadbir SASER.

 

Pihak Futuwwah ingin merakamkan penghargaan yang tidak terhingga kepada SASER di atas penghormatan yang diberikan kepada wakil kami, dan berharap Futuwwah akan dapat bekerja sama lagi dengan SASER di masa-masa akan datang.

 

No comments:

Post a Comment