Tuesday, 21 June 2011

[Q&A]: Perkara yang tetap & anjal di dalam Islam

Soalan

 

Salam

Akhi, Islam kan kombinasi antara aspek ketegaran dan keanjalan. Contohnya, tegar pada tujuan dan matlamat, anjal pada bentuknya. Tegar pada dasar, anjal pada perkara furu’. Tegar pada nilai agama dan akhlak, anjal pada urusan dunia dan ilmu pengetahuan. Boleh enta tolong jelaskan?

 

-via sms, 15 Jun 2011

 

Jawapan

 

Wa’alaikumus salam warahmatuLLAH

 

Pertamanya, saya minta maaf kepada sang penanya kerana terlewat untuk memberikan jawapan yang lebih detail, sekadar mampu mengesyorkan sang penanya untuk membaca buku Jum’ah Amin Abdul Aziz “Tsawabit wa Mutaghayyirat” sahaja tatkala membalas smsnya.

 

Keduanya, suatu hal yang rasanya kita semua harus faham adalah sesi soal-jawab via sms adalah kurang ideal, kerana sms sangat limited, maka untuk memberikan jawapan yang baik tentunya sulit. Oleh yang demikian, saya akan selalu cuba untuk memberikan jawapan yang lebih baik lewat email, blog dan sebagainya.

 

Di dalam al-Quran al-Karim, Allah SWT menggambarkan Islam seperti berikut:-

 

“Tidakkah kamu perhatikan bagaimana Allah telah membuat perumpamaan kalimat yang baik seperti pohon yang baik, akarnya teguh dan cabangnya (menjulang) ke langit,

pohon itu memberikan buahnya pada setiap musim dengan seizin Tuhannya. Allah membuat perumpamaan-perumpamaan itu untuk manusia supaya mereka selalu ingat.”

(Surah Ibrahim [14]:24-25)

 

Mungkin, contoh pohon yang akarnya tegap, mantap, stabil, sedang badannya flexible mampu mengikut tiupan angin, ialah pohon kelapa. Hingga wajar, pohon kelapa sering kali menghiasi gambaran “paradise” ciptaan manusia. Pantai yang indah, tiupan angin sepoi-sepoi, putihnya pasir dan birunya laut. Dengan pohon kelapa mengindahkan lagi pemandangan tersebut.

 

Akar yang teguh perlu untuk menjaga survival sang pohon. Maka dalam konteks ini, aqidahlah akar itu. Aqidah yang disampaikan oleh para Nabi-Nabi sepanjang zaman, adalah aqidah yang sama. Iaitu persoalan tauhid. Persoalan keesaan Allah. Persoalan kepentingan mengikut sunnah Nabi yang diutus untuk umat dan zaman itu, seperti yang dinukilkan oleh Quran:-

 

“Dan Kami tidak mengutus seorang rasul pun sebelum kamu, melainkan Kami wahyukan kepadanya: "Bahwasanya tidak ada Tuhan (yang hak) melainkan Aku, maka sembahlah olehmu sekalian akan Aku"

(Surah Al-Anbiya’ [21]:25)

 

Sedang hal-hal lain, termasuk isu feqah, isu politik, isu semasa dan sebagainya, berobah-robah sesuai dengan perkembangan zaman. Sifat anjal inilah yang menjamin kerelevanan Islam hingga akhir zaman. Firman Allah:-

 

“..Untuk tiap-tiap umat di antara kamu, Kami berikan syariat (aturan) dan minhaj (jalan yang terang)...”

(Surah Al-Ma’idah [5]:48)

 

Jika Islam tidak ada sifat anjal ini, ia tidak akan “menikmati” tiupan angin, yang menjadikan angin kemudiannya “merajuk” dengan dirinya. Dengan berkembangnya zaman, berkembangnya sains dan teknologi, Islam tidak akan menjadi relevan, bahkan akan menjadi musuh Sains seperti yang terjadi dengan Gereja, andainya Islam tidak punya sifat anjal ini. Maka di dalam ilmu Syariah, kita pelajari ilmu Maqasid Syariah (tujuan adanya hokum-hukum syarak), kerana Islam hadir untuk memberikan kesejahteraan buat manusia, bukan menyusahkannya.

 

Firman Allah:

 

“Too Haa. Kami tidak menurunkan Al Qur'an ini kepadamu agar kamu menjadi susah;”

(Surah TooHaa [20]:1-2)

 

Malangnya, Islam kelihatan hodoh kerana kita strict pada hal yang sifatnya anjal, misalnya isu-isu semasa, pendekatan, program dan sebagainya, sebaliknya longgar pada hal yang sepatutnya kita tetap lagi strict, seperti ibadah yang mengikut sunnah. Mungkin guide yang harus kita ambil dalam memahami relevannya tsawabit dan mutaghayyirat di dalam Islam ini adalah dengan berpegang kepada 2 kaedah fiqh berikut:-

 

“Dalam aspek muamalah harian, semua perkara hukumnya harus kecuali ada dalil yang mengharamkan.”

 

“Dalam aspek ibadah khusus, semua perkara adalah haram kecuali ada dalil yang mengharus/ menghalalkannya.”

 

Moga jawapan ringkas ini memadai buat kita semua.

 

Walla hu’alam.

 

Ir. Faridul Farhan Abd Wahab

P.Eng, MIEM, Sijil Pengajian Syariah

 

 

 

No comments:

Post a Comment