Ilahi, setiap kali
bila kurenungkan kemurahanMu
yang begitu sederhana mendalam
aku pun tergugu
dan membulatkan sembahku padaMu [1]
PadaMu
Kutitipkan secuil asa
Kau berikan selaksa bahagia
PadaMu
Kuharapkan setitis embun cinta
Kau limpahkan samudera cinta [2]
Barangkali, antara punca kereta keluaran Negara kita lemah dari segi kualitinya, adalah kerana rendahnya standard piawai yang diguna pakainya. Sedangkan produk-produk berjenama lagi mahal harganya, mampu mengekalkan kualitinya dengan menetapkan standard yang tinggi, agar semua pelanggan atau pembeli berpuas hati dengan produknya.
Kerana itulah, banyak kebaikannya tatkala kursus Perubatan di IPT tempatan menggunakan standard yang tinggi untuk memasukinya; kerana dengan standard yang tinggi ini, pelajar-pelajar yang mengikuti kursus tersebut dapat dipastikan merupakan pelajar-pelajar yang benar-benar layak, benar-benar rajin, dan benar-benar sanggup untuk mengharungi cabaran getir demi menjadi seorang doktor. Lantas peratus kegagalan seterusnya kekurangan doktor perubatan di Negara kita, dapat dikurangkan, lalu berbahagialah rakyat dan umat kita dengan kecukupan bilangan pegawai perubatan ini hendaknya.
Umar al-Khatttab R.A., mempunyai standardnya tersendiri dalam menilai manusia.Tatkala duduk di jabatan Khalifah, orang ramai tersusun menunggu giliran untuk menemuinya. Termasuk di kalangan mereka adalah tokoh-tokoh dan pembesar-pembesar seperti Abu Sufyan, mantan petinggi Quraisy, Al-Absyamiy dari Bani Abdu Syams yang termasuk keluarga Arab yang paling tinggi nasabnya, Suhail Bin Amr, tokoh bicara bangsa Arab, dan sebagainya. Namun, yang dipersilakan masuk terlebih dahulu adalah insan-insan yang dilihat “rendah” tarafnya sosialnya, seperti Bilal Bin Rabah, bekas hamba abdi, kemudian Suhaib Ar-Rumiy dan Salman Al-Farisi, warga “non-bumiputra” tanah Arab, diikuti Ibnu Mas’ud, mantan pengembala ternak.
Melihatkan susunan yang “tiada protokol” ini, Abu Sufyan menjadi berang. Bagaimana bisa Umar Al-Khattab boleh membiarkan bekas pembesar agung Mekah ini “mencemar duli” menanti terlalu lama, sedang mereka-mereka yang “berpangkat rendah” diberikan keutamaan menemui Sang Khalifah terlebih dahulu? Namun, Suhail Bin Amr, teman seangkatannya yang sangat bijak pantas berkata; “Wahai Abu Sufyan, demi Allah! Aku tidak peduli dengan pintu Umar dan izinnya. Akan tetapi, yang aku khuatiri adalah pabila kita dipanggil di Hari Kiamat nanti, maka mereka (sahabat-sahabat seperti Bilal etc. yang terlebih dahulu dijemput masuk ke pintu Umar tadinya) akan masuk Syurga, sedang kita ditinggalkan, lantaran sesungguhnya mereka dan kita ketika diseru, ternyata merekalah yang menyambutnya, sedang kita terlambat. Mereka telah mengenal, sedang kita mengingkari. Oleh kerana itu pantaslah bila mereka didahulukan, sedang kita dikemudiankan.”[3]
Saudaraku,
Islam tidak pernah meletakkan standard berdasarkan keturunan, atau seniority, hingga yang VIP dan kaum kerabatnya mendapat keistimewaan dalam layanan, atau yang telah lama mempunyai kad keahlian NGO gerakan islam tapi kini lembap, harus diletakkan pada maqam atau level yang tinggi, seakan maksum, sehingga sebarang kritikan atau terguran padanya seakan “serangan kepada kepimpinan” yang tidak bisa dimaafkan. Tidakkah mereka pernah mendengar betapa standard yang diguna pakai oleh Nabi SAW dan para sahabatnya yang mulia tidaklah sebegitu, hingga bisa saja teladan agung kita ini menerima pandangan dan pendapat daripada pengikutnya? Hingga, di saat Abu Bakar memegang tampuk kekhilafahan yang pertama, antara pesan-pesan awalnya ialah; “Jika aku berbuat baik maka dukunglah aku, jika sebaliknya maka luruskanlah aku..” [4] Standard ini diteruskan juga oleh penggantinya Umar Al-Khattab; “nasihati aku juga terhadap urusan kalian yang telah Allah limpahkan padaku,”[5] kata Umar saat memulakan hari-hari awalnya sebagai Khalifah.
Sungguh, para kerendahan kati itu terkandungan kualiti yang tinggi. Kenapa? Renungkanlah kata-kata penuh hikmah Tuan Guru Nik Aziz ini; "Bila kita susah, kadang-kadang orang benci pada kita. Pada masa itu, kita lebih rapat dengan Tuhan. Sebab tu orang susah merupakan orang yang rapat dengan Allah SWT. Kerana itu, saya sangat-sangat gembira jika dapat duduk bersama dengan orang-orang yang susah yang doa mereka lebih mudah diterima kerana rapatnya mereka dengan Allah SWT...." [6]
Ya Allah, berikanlah kami manfaat, daripada pergaulan dengan orang-orang yang dekat dan dicintai oleh diriMu…
RUJUKAN
[1] Adaptasi (dengan sedikit perubahan) dari puisi berjudul Saat-saat Sedar oleh Emile Verhaeren. Rujuk novel “Ayat-ayat Cinta”, ms. 439
[2] Ibid. ms. 477
[3] Kisah ini turut diceritakan di dalam buku Dr. ‘Aidh Bin Abdullah Al-Qarni, “Hidupkan Hatimu”, terbitan Irsyad Baitus Salam
[4] Syaikh Mahmud Al Mishri, “Sahabat-sahabat Rasulullah (Jilid 1)”, terbitan Pustaka Ibnu Katsir, ms. 164
[5] Ahmad Abdul ‘Aal ath-Thahthawi, “The Great Leaders: Kisah Khulafaur Rasyidin”, terbitan Gema Insani, ms. 191
[6] Sidang Media selepas Konvensyen Armalah Kelantan 2010 pada 8 Julai 2010 bertempat di Putik, Pengkalan Chepa. Rujuk blog http://reformisjalanan.blogspot.com/2011/05/siapa-yang-rapat-dengan-tuhan.html
No comments:
Post a Comment