Tuesday, 5 April 2011

Captain Three Lions

Tiba-tiba, kem latihan pasukan bola sepak England kecoh dengan ura-ura arm band (lilitan ketua pasukan) milik jaguh Man. Utd., Rio Ferdinand bakal dilucutkan, untuk diserahkan kembali kepada “pendahulunya”, John Terry. Biar pun kecoh seketika, tetapi isu siapa yang bakal mengemudi pasukan The Three Lions ini bukanlah menjadi agenda utama, kerana yang paling mustahak ialah permainan bola sepak itu sendiri. Wajar, dua lagi tokoh kapten, sorang bernama Frank Lampard, dan yang sorang lagi bahkan memegang lilitan kapten itu di kelab asalnya, Liverpool -itulah Steven Gerard- langsung tidak menunjukkan “berahi” mereka untuk merebut gelar “kapten” itu. Hatta anak muda sepotensi Wayne Rooney pun –yang oleh banyak orang disebut-sebut mempunyai apa yang “diperlukan” untuk mengepalai The Three Lions- pun tidak menghangatkan keadaan dengan berbicara keinginan untuk bergelar “kapten.”

Ramai pemain yang berpotensi dalam sesebuah pasukan. Bahkan ramai juga yang punya bakat memimpin dan layak bergelar “kapten.” Tetapi daripada sekian banyak bintang di atas padang, hanya beberapa orang sahaja yang menyebut secara terbuka keinginan, keghairahan dan kemaruk diri mereka untuk bergelar “kapten.” Salah seorang daripadanya (yang menyatakan secara terbuka minatnya untuk menjadi kapten)  adalah David Beckham, yang akhirnya diserahkan tanggung jawab itu untuk beberapa tahun lamanya. Tetapi hakikatnya, seorang pemain bola akan sentiasa focus dan all out untuk pasukannya, bukan untuk jawatan kapten. Dan sebegitulah seharusnya dengan dai’e Islam.

Di dalam tarbiyah, kita disogokkan dengan kisah sahabat Nabi R.A dan juga kisah-kisah tabi’in. Anehnya, pelakuan, sikap dan jiwa kita terlalu jauh daripada kehidupan generasi ulung ini. Ini mungkin dek kerana kisah sahabat dan tabi’in ini sekadar “pemberian contoh”, bukan “dijadikan contoh.” Kita hanya membaca kisah mereka, tetapi tidak mengambil pelajaran dan menghidupkan panduan-panduan yang diberikan mereka di dalam kehidupan. Lalu berpecahlah dai’e-dai’e Islam sesama mereka, lantaran sebuah fenomena yang bahkan mampu dihidu oleh orang yang di luar kalangan mereka (baca: orang umum), iaitu fenomena hubbur riasah (cintakan pangkat dan kedudukan).

Para pendahulu kita, baik di kalangan para sahabat R.A mahupun para tabi’innya, sentiasa benci kepada jawatan, tetapi sentiasa terkehadapan dalam bab dakwah dan jihad. Perhatikanlah kata-kata salah seorang tokoh di kalangan tabi’in, tepatnya Abdul Rahman Al-Ghafiqi. Al-Ghafiqi, saat ditawarkan pangkat dan kedudukan oleh Gabenor Andalus Al-Samah Bin Malik, beliau bahkan menjawab;

“Wahai gabenor, saya ini rakyat biasa. Saya datang ke negeri ini untuk berada di barisan hadapan tentera Islam. Saya telah mewakafkan diri saya ini untuk mencari keredaan Allah. Saya hunuskan pedang saya ini untuk menegakkan kalimah Allah di muka bumi. Dengan izin Allah, engkau akan dapati saya akan sentiasa bersamamu selagi engkau berada di atas kebenaran. Saya adalah orang yang paling mentaatimu selagi engkau mentaati Allah dan rasul-Nya, kecuali dalam soal yang membabitkan kuasa dan kedudukan.”

Kita mempunyai ramai “tokoh” dan “pemimpin”, sayangnya kita kekurangan “pekerja” dan “mujahidin.” Sedangkan yang diperlukan oleh umat ini ialah “khadam” yang sentiasa berkhidmat untuk mereka, dan merasakan betapa jawatan yang paling hebat dan diidam-idamkannya hanya satu:- kuli kepada dakwah, hamba kepada Allah.

“Dan katakanlah: "Bekerjalah kamu, maka Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang mukmin akan melihat pekerjaanmu itu..”
(Surah at-Taubah [9]:105)

Marilah kita kembali ke barisan hadapan “pekerja” dakwah, bukan orang yang hanya mahu berada di posisi “mengarah” pasukan dakwah. Bahkan yang namanya “panglima” dakwah itu, tempatnya di saf hadapan, bukan hanya “mengaum” dari kejauhan.

No comments:

Post a Comment