Monday, 11 April 2011

Mereka Contoh Remaja

Pernahkah kita terbayang, siapa contoh yang terbaik untuk kita kagumi dan ikuti? Terdetikkah kita sejenak bahawa hidup yang kita lalui mungkin mengikut jejak contoh yang tidak baik? Setiap manusia pasti akan dipengaruhi seseorang di dalam perjalanan hidupnya. Baik bapanya,ibunya, sahabatnya, bapa saudaranya, atau mungkin juga watak lakonan kegemarannya.

Pengaruh mudah diterima seseorang apabila sifat kagum yang tinggi diletakkan pada seseorang yang lain. Mari kita semak semula, siapa agaknya yang mungkin telah kita terpengaruh dalam menentukan perjalanan kehidupan dan sikap/tabiat kita.

Wahai remaja sekalian, sewajarnya kalian meneliti semula watak contoh kita. Sewajarnya kita terus mencari ciri-ciri watak dan individu-individu yang baik untuk kita contohi. Baik individu itu ditontoni di kaca TV, dibaca didada akhbar dan majalah, dihayati & didengari dalam kisah sejarah dan seerah, dan tidak lupa yang diukir didalam kitab suci al-Quran.

Remaja, tahukah kalian siapa remaja Islam terhebat yang perlu kita kagumi dan contohi? Mari kita selidiki.

1) Zubair bin Al-Awwam.

Berapa umur beliau ketika memeluk Islam? Ibnu Hisham meriwayatkan bahawa Zubair memeluk Islam ketika usianya 16 tahun. Semenjak itu belia di sisi Rasulullah SAW dalam menyebarkan Islam.

Pernah dalam satu peperangan seperti yang digambarkan oleh anaknya Urwah: “Ketika kecilnya beliau telah berperang dan telah mematahkan tangan seorang lelaki, lalu lelaki tersebut bertemu dengan ibunya Sofiah lalu ibunya bertanya: “Kenapa dengan kamu?”, lelaki itu memberitahu bahawa Zubair telah mematahkan tangannya dalam peperangan, seraya ibunya melantunkan sebuah syair menggambarkan bahawa Zubair adalah seorang yang kuat tenaganya serta pantas langkahnya yang bisa menjatuhkan dan mengalahkan orang lain.

Ini bermakna, ketika di sekolah menegah atau di tingkatan 3 lagi Zubair telah bergiat dalam aktiviti Islam! Di bangku sekolah juga, Zubair telah mengalahkan musuh yang menentang Islam!

2) Talhah bin Ubaidullah

Talhah merupakan antara yang terawal memeluk Islam. Diriwayatkan, bahawa Talhah juga telah memeluk Islam seawal usia 15/16 tahun! Siapa Talhah yang perlu remaja kalian kagumi ini? Rasulullah menggelarkan beliau sebagai seorang "Syahid yang hidup". Ini kerana keadaan fizikalnya ketika itu yang sudah cedera akibat terlibat dengan banyak pertempuran bersama baginda.

Hadis Nabi berkenaan kehebatan beliau:
"Barangsiapa yang ingin melihat syahid yang sedang berjalan di muka bumi ini, lihatlah pada Talhah ibn Ubaidillah".

Adakah kecederaan yang di terima Talhah itu kerana kelemahannya dalam ilmu pertempuran? Tidak sama sekali, sesungguhnya luka dan cedera yang diterima Talhah adalah kerana pengorbanan beliau dalam melindungi dan mempertahankan Rasulullah daripada musuh-musuh di medan perang!

Remaja sekalian, siapa sebenarnya yang kalian sedang sanjungi dan contohi? Kisah dua sahabat di atas hanya 2 dari yang lain. Masih banyak yang menjadi remaja kegemilangan Islam. Masih berdegil dan terus bermimpi untuk mencontohi Juara Akademi Fantasia? Masih tergila kepada penyanyi remaja Justin Bieber? Atau mungkin watak Harry Porter?

Ayuh remaja sekalian, jejaki contoh yang terbaik, jadikan mereka sebagai impian dan ikutan. Mereka yang antaranya ialah Zubair dan Talhah. Semoga Allah bersama kalian.


Hasil Nukilan,
Abdullah Din Suhaimi

No comments:

Post a Comment