Monday, 28 February 2011

Perlukah Ditegur?

Banyak di antara kita yang berniat baik ketika ingin menegur atau mengkritik rakan-rakan sekerja atau sama tempat belajar atas sebab-sebab tertentu. Namun, seringkali terjadi ia berakhir dengan perhubungan yang rosak, masam muka dan kebencian.
Si penegur percaya orang yang ditegur dapat membaiki dirinya. Biasanya mereka percaya kritikan yang diberi adalah membina yang bertujuan membawa kebaikan. Justeru, banyak orang yakin salah satu cara yang berkesan untuk membantu orang lain adalah dengan menegur kesilapan dan kelemahan mereka, dengan ini dapat membantu mereka menjadi seorang yang baik tingkah laku pada masa hadapan.

Ironinya
Namun, banyak juga pakar psikologi yang berpendapat bahawa tidak ada kritikan yang membina kerana aktiviti mengkritik adalah sejenis aktiviti memberi maklum balas negatif pada orang yang dikritik.
Kebanyakan orang tidak memiliki skill menerima kritikan dengan terbuka. Mereka akan menjadi defensif dan mempertahankan tindakan mereka. Kritikan tertolak.

Faktor
Salah satu faktor yang menyebabkan teguran ditolak adalah cara teguran dilemparkan. Kebiasaannya orang tidak tahu yang mana satu kritikan dan yang mana satu tuduhan.
Contohnya, ayat berikut, “Awak kenalah lebih berdisiplin.” Ini bukanlah teguran, tetapi tuduhan. Kebanyakan kritikan sebenarnya hanya meruntuhkan semangat dan maruah si penerima kritikan. Akhirnya, orang yang dikritik menjadi pasif dan tidak mahu melakukan apa-apa, takut terbuat silap kerana takut ditegur. Semangat sukarela dan daya kreativiti terbunuh.

Penyelesaian?
Apabila terpaksa mengkritik, jangan berlebih-lebihan. Jangan sampai berleter dan marah-marah. Gunakanlah bahasa positif. Gunakan bahasa persuasif. Elakkan bahasa negatif. Elakkan bahasa suruhan.

Contoh ayat negatif: “Awak silap”.
Sebaliknya, katakanlah, “Saya tak bersetuju dengan pandangan awak.”

Contoh ayat suruhan: “Fikir-fikirkanlah…”
“Fikir-fikirkanlah…” adalah sangka buruk terhadap seseorang, seolah-olah menuduhnya malas berfikir.

Jangan mengkritik terlalu am. Ucapkanlah ayat yang lebih spesifik dan lebih tepat. Jangan berkata, “Awak pemalas.” Perkataan pemalas tidak spesifik. Katakan padanya, “Tolong siapkan semua kerja sebelum hari Jumaat.”

Spesifikkan ayat.
Akhir sekali, jangan membuat andaian. “Kenapa awak tak fikir dulu sebelum buat macam ni?” dari mana kita tahu orang itu tidak berfikir habis-habisan? Banyak orang berniat baik apabila menegur, tetapi menyebabkan orang yang dikritik tidak seronok mendapat rakan atau ketua seperti mereka. Niat perlulah disertai dengan cara yang betul, barulah baik hasilnya.

 
Hasil Nukilan,


MOHD ASYRAF MD NOOR
Consultant,
Futuwwah Training & Consultancy

No comments:

Post a Comment